
Ketika kecil, saya tinggal di rumah kedai berhadapan sawah padi. Di hadapan kediaman kamilah, Jelapang Padi Selangor bermula. Ketika itu tidak banyak bantuan kepada golongan petani seperti sekarang, semuanya lebih kepada daya usaha sendiri, tapi golongan pesawah antara wajah gigih yang memastikan kita mempunyai nasi di atas meja. Mereka insan gigih yang terus menabur bakti demi industri padi dan beras negara. Mereka hidup seadanya tanpa topeng.
Imbas ke hadapan. Pagi itu, lif pejabat dipenuhi wajah sama seperti semalam. Semua kelihatan kemas, senyuman plastik tersungging di bibir, seolah-olah dunia ini hanya ruang untuk watak-watak yang bahagia. Salah seorangnya, Amir, sentiasa menjadi tumpuan kerana ceria dan ringan tangan membantu orang lain. Gambar-gambarnya di media sosial penuh warna: bercuti di pantai, makan malam bersama kawan, meraikan pencapaian kerja. Namun setiap malam, selepas lampu pejabat dipadam, Amir duduk lama di kerusi, memandang kosong ke luar tingkap. Hatinya letih, tetapi esok pagi dia akan memakai ‘topeng’ yang sama dan melakonkan watak yang semua orang mahu lihat.
Kisah Amir tidak asing. Ramai antara kita hidup begitu — memakai topeng setiap hari. Topeng ini tidak kelihatan di wajah, tetapi ia menutup emosi kita. Kita pura-pura gembira ketika hati resah, pura-pura kuat ketika jiwa rapuh, pura-pura sempurna supaya dunia tidak melihat kelemahan kita. Sejak pandemik, kita terbiasa dengan topeng fizikal, dan bagi sesetengah orang, ia memberi rasa selamat. Menutup wajah bermakna kita boleh menyembunyikan penat atau sedih tanpa orang sedar. Sekarang, walaupun topeng tidak lagi wajib, ramai yang tetap memakainya — bukan kerana virus, tetapi kerana ia menjadi ‘dinding pelindung’.
Budaya pencitraan dan tekanan sempurna
Kita hidup dalam budaya yang menekankan imej. Dari kecil, kita diajar untuk ‘jaga nama baik’, untuk tidak ‘menconteng arang ke muka keluarga’. Nilai ini mengajar kita sopan dan berhati-hati, tetapi jika keterlaluan, ia menjadikan kita takut menjadi jujur. Kita sembunyikan kelemahan kerana bimbang menjadi buah mulut orang.
Media sosial pula memperkuat tekanan ini. Kajian psikologi mendapati pengguna media sosial sering mengalami fomo (fear of missing out) apabila melihat hidup orang lain yang kelihatan lebih seronok. Kita lupa bahawa apa yang kita lihat hanyalah detik terpilih, bukan keseluruhan kisah. Hasilnya, kita merasa hidup sendiri terlalu hambar, dan mula mencipta persona maya untuk kelihatan lebih menarik.
Harga hidup berpura-pura
Memakai topeng sepanjang masa memberi kesan mendalam. Pakar psikologi menyebutnya ’emotional dissonance’ — pertembungan antara apa yang kita rasa dengan apa yang kita tunjukkan. Lama-kelamaan, keadaan ini menyebabkan keletihan emosi dan rasa kehilangan identiti. Kita seperti pelakon yang tidak tahu bila boleh berhenti berlakon.
Topeng mungkin memberi perlindungan, tetapi ia juga menjadikan kita jauh daripada orang lain. Tiada siapa benar-benar mengenali kita, dan kita sendiri keliru siapa kita yang sebenar. Hidup jadi pentas yang melelahkan, dan setiap malam kita pulang dengan rasa kosong.
Keberanian jadi diri sendiri
Membuang topeng memerlukan keberanian. Ia bermula dengan keberanian mengaku bahawa kita tidak sentiasa baik-baik sahaja. Berani berkata, ‘Saya perlukan rehat’, atau ‘Saya tidak mampu buat ini sekarang’. Berani menerima kegagalan sebagai sebahagian daripada proses belajar.
Dalam dunia yang suka menghakimi, kejujuran adalah satu bentuk keberanian radikal. Apabila kita berani dilihat seadanya, hubungan menjadi lebih tulen. Mereka yang kekal bersama kita pada waktu sukar adalah mereka yang benar-benar ikhlas. Hidup terasa lebih ringan kerana kita hanya memikul beban sebenar, bukan beban lakonan.
Melangkah perlahan menuju keaslian
Perjalanan membuang topeng tidak perlu drastik. Ia boleh bermula dengan menyaring apa yang kita kongsikan di media sosial. Tidak semua kejayaan perlu dipamerkan, dan tidak semua kesedihan perlu ditutup rapat. Berkongsi secara jujur tentang cabaran membantu orang lain merasa tidak bersendirian.
Berhenti membandingkan diri dengan orang lain adalah langkah penting. Ketika melihat kejayaan orang lain, cuba jadikan ia inspirasi, bukan ukuran. Ingat bahawa mereka juga ada hari-hari buruk yang tidak dipaparkan.
Belajar berkata ‘tidak’ boleh jadi sukar pada awalnya, tetapi ia melindungi kesejahteraan diri. Bayangkan seorang ibu muda yang berani menolak kerja lebih masa kerana mahu pulang menyusukan anak. Dia mungkin bimbang dilihat tidak komited, tetapi akhirnya rasa lega kerana memilih keluarganya.
Luangkan masa dengan orang yang menerima anda seadanya. Duduk di warung dengan kawan lama yang membuat anda ketawa hingga lupa masa, atau berbual dengan ahli keluarga yang melihat anda membesar. Dalam ruang ini, anda bebas menjadi diri sendiri tanpa rasa dinilai.
Menulis jurnal pula memberi peluang untuk meluahkan emosi tanpa penapis. Seseorang pernah berkata, “Kertas tidak menghakimi”. Dalam catatan itu, kita boleh melepaskan marah, sedih, takut, dan akhirnya menemui ketenangan.
Hidup lebih tenang bila jujur
Hidup tanpa topeng membawa banyak manfaat. Kita menjadi lebih kreatif kerana tidak lagi sibuk mengekalkan imej. Hubungan menjadi lebih mendalam kerana orang melihat kita seadanya. Tekanan berkurang kerana kita tidak lagi perlu menjaga persepsi orang setiap masa.
Lebih penting, kita mula menghormati diri. Kita belajar mendengar emosi, menjaga kesihatan mental, dan menghargai diri tanpa syarat. Kejujuran dengan diri sendiri adalah langkah pertama kepada kehidupan yang lebih seimbang.
Hadiah untuk diri
Bayangkan jika lebih ramai memilih hidup tanpa topeng. Masyarakat akan menjadi lebih empati kerana kita mula melihat sisi manusia sebenar, bukan sekadar pencapaian atau penampilan. Dunia akan menjadi ruang yang lebih lembut, kerana orang tidak takut menunjukkan luka dan orang lain tidak cepat menghakimi.
Hari ini, cuba ambil satu langkah kecil. Berhenti seketika daripada menatal media sosial. Luahkan rasa anda kepada seseorang yang anda percayai. Lihat wajah di cermin tanpa mengkritik, hanya menerima. Dunia mungkin tidak akan berhenti menilai, tetapi anda boleh memilih untuk hidup tanpa skrip yang ditulis orang lain.
Hidup tanpa topeng adalah hadiah untuk diri. Ia membebaskan, meringankan, dan mengembalikan kita kepada siapa kita yang sebenar. Dan mungkin, dalam keberanian menjadi diri sendiri, kita memberi inspirasi kepada orang lain untuk menanggalkan topeng mereka juga.
Mohamed Nasser Mohamed adalah karyawan dan editor perunding terbabit dengan lebih 150 penerbitan sejak 2008.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.