
Kalau saya masih muda, dan masih seorang pengarang — maka saya adalah pengarang muda — saya yang sedang dipanjat tua akan menasihatkan diri saya yang dikhayalkan muda itu dengan beberapa nasihat.
Saya yang tua akan memberi nasihat kepada saya yang muda, dan masih seorang pengarang, dengan lima nasihat berguna.
Nasihat pertama ialah supaya lebih perlahan melangkah. Saya selaku pengarang dipanjat tua teringat akan sebuah esei oleh Gabriel Garcia Marquez — yang mesra dikenali sebagai Gabo — seorang penulis agung dan penerima Hadiah Nobel Kesusasteraan. Dalam esei itu yang saya lupa judulnya, Gabo memperihalkan satu perbualan dengan seorang lagi penerima Hadiah Nobel, Mario Vargas Llosa dari Peru. Menurut Llosa, setiap kali seorang penulis mula duduk untuk menulis, perkara pertama yang harus ditentukannya ialah sama ada dia ingin menjadi penulis yang baik, ataupun penulis yang buruk.
Membaca itu saya sebagai pengarang tua sangat takut dan gerun. Mana tidaknya, beberapa tahun kemudian, selepas perbualan Gabo dengan Llosa itu, beliau bertemu dengan seorang novelis muda yang baru enam bulan menerbitkan bukunya yang pertama, dan sudah pun bersedia menerbitkan buku kedua. Dia berbangga dan menceritakan ke sana sini perihal karya pertamanya itu.
Terkejut, Marquez menasihatkan supaya memperlahankan langkah dan memberi lebih perhatian kepada mutu karya. Penulis muda itu menjawab dengan acuh tak acuh, kira-kiranya begini jawapan dia: “Ah, itu tidak penting. Saya tidak perlu terlalu berhati-hati. Anda, lagipun, punya ramai pembaca yang menunggu untuk meneliti karya anda. Saya tidak.”
Pada saat itu, Gabo teringat akan perbualannya dahulu dengan Llosa. Saya yang sudah semakin tua terlongo dan berfikir, ya ampun inilah sebenarnya maksud Llosa.
Saya akan memberitahu saya yang masih muda, agar mesti menulis dengan baik.
Nasihat kedua saya yang gara-gara sudah tua memikirkan nasib sebagai seorang pengarang muda ialah tentang bagaimanakah caranya menulis sebuah novel. Soalan ini bukan senang untuk dijawab. Ia terikat kepada keputusan di atas, iaitu sama ada saya memilih untuk menjadi penulis yang baik atau yang buruk.
Saya akan memberitahu saya yang masih muda, untuk memilih jalan penulis yang baik ialah untuk melakukan penyelidikan, mendekati penulisan sebagai sebuah pertukangan, berjuang dengan teks — menulis, menyemak, menyusun semula, kadang-kadang membuangnya terus, lalu menemuinya kembali lama kemudian. Untuk memilih jalan penulis yang buruk pula ialah sekadar menulis tanpa mempedulikan apa yang ditulis, atau bagaimana ia ditulis.
Saya yang sudah tua akan berusaha meyakinkan saya yang masih muda untuk percaya bahawa bagi menulis sebuah novel, seseorang iaitu saya, harus melakukannya dengan cinta dan kesungguhan. Ada kalanya karya itu perlu dibuang ke dalam tong sampah; ada kalanya ia terbit dicetak, dan apabila itu berlaku, ia bukan lagi berada dalam kawalan kita.
Sebagai pengarang tua, saya sentiasa dalam pegun bila ada karya saya yang saya anggap lemah, namun disambut baik. Ada pula karya yang saya sangka kuat, tetapi tidak dipedulikan pembaca.
Nasihat ketiga daripada saya yang sudah kian tua di saat ini kepada saya yang kekal muda di saat lampau adalah tentang membaca. Saya sering mengatakan membaca itu sangat penting untuk seorang pengarang. Namun saya juga harus berleter kepada saya yang muda itu perihal cara membaca.
Kesusasteraan dihidupkan oleh penulis — oleh seniman sastera. Namun terdapat dua cara membaca. Yang pertama ialah cara pembaca biasa, pencinta sastera. Mereka ini adalah pembaca. Peminat sastera. Sebagai pengarang yang tua saya memesan kepada saya selaku pengarang yang muda agar tidak hanya menjadi pencinta sastera. Ini kerana cara membaca kedua itu lebih mustahak.
Yang kedua ialah cara membaca yang membantu kita memperdalam penghargaan terhadap karya — pembaca begini memiliki wibawa tertentu, yakni mengetahui lebih daripada kita sebagai pembaca. Perhatikan, saya yang tua berkata ‘mengetahui lebih’, kerana itulah tua sangat penting untuk menasihati muda. Sebagai pengarang yang sedang menuju tua, saya akur sastera bukan algebra, yang memaksa sepuluh orang hadirin mencapai jawapan yang sama. Kesusasteraan ialah ruang yang meraikan perbezaan dan kepelbagaian.
Malah perkara terakhir yang harus kita idamkan dalam sastera ialah kesepakatan. Karya agung ialah karya yang melahirkan pelbagai jawapan daripada satu pertanyaan. Pada masa yang sama, kita harus ingat bahawa membaca ialah suatu tindakan yang sangat peribadi. Setiap daripada kita membawa kecenderungan sendiri ke halaman: kita memilih pengarang yang kita kagumi, genre yang kita gemari, dan kita memberi respons kepada sesebuah buku dengan cara yang unik kepada diri kita.
Ini membawa saya kepada nasihat keempat, iaitu perihal menjual buku. Ini kerana sebagai pengarang tua saya sudah melihat kekangan dan cengkaman dalam wilayah pasaran yakni wujudnya apa yang saya namai sebagai sebuah pembacaan kolektif. Kolektif ini, yang sering disebut sebagai ‘publik pembaca’, menentukan — dan boleh dimanipulasikan untuk menentukan — apa yang harus dibaca, atau tidak dibaca. Betul, ada penerbit boleh mengangkat tinggi, dan kemudian boleh pula menghempas karya tertentu.
Saya yang tua akan memesan kepada saya yang muda, tetapi masih seorang pengarang, perihal publik pembaca yang boleh direkayasa, yang apabila ia diciptakan, ia berkuasa membentuk pasaran itu sendiri. Ketika muncul permintaan terhadap sastera wanita, maka terhasillah fiksyen oleh wanita, untuk wanita, tentang wanita. Ketika ada permintaan terhadap sastera didaktik, maka terbitlah fiksyen yang dipenuhi unsur pendidikan. Pasaran melahirkan novel motivasi, novel fantasi, novel seram, roman, novel remaja, erotika; di Malaysia, novel Islami, di Amerika Syarikat mungkin novel gospeli. Semua kategori ini wujud untuk memenuhi kehendak publik pembaca sebagaimana ditentukan oleh kekuatan pasaran. Penerbit, pengedar, dan penjual buku bergantung pada data pembelian untuk menganalisis trend, dan secara tidak disedari, kita sebagai pembaca dan lebih dahsyat sebagai pengarang telah diprofilkan dan dibahagi-bahagikan dengan rapi.
Saya yang sudah tua akan memberitahu saya masih muda bahawa pasaran telah menjadikan membaca suatu hobi yang mahal, bukannya suatu keperluan, dan hal ini semakin parah dengan persaingan daripada reels, video pendek TikTok, media sosial, dan permainan video.
Ini membawa saya ke nasihat kelima, daripada seorang Faisal Tehrani yang makin tua, kepada Faisal Tehrani yang kekal muda itu. Yakni haruskah penulis tunduk kepada kehendak pasaran, atau kepada publik pembaca yang diciptakannya? Ini ialah persoalan moral dan etika.
Saya yang tua akan mengingatkan saya yang masih muda, bahawa percayalah hakikat seorang penulis, pada gilirannya, boleh mencipta pembacanya sendiri — lebih-lebih lagi penulis yang bertahan selama empat dekad. Mengapa empat dekad?
Dekad pertama ialah tempoh pengenalan, apabila penulis memperkenalkan dirinya kepada publik pembaca, dan dengan itu kepada pasaran. Dekad kedua ialah tempoh penentuan diri, apabila penulis mungkin menentang atau mencabar pasaran dan pembacanya. Pada tahap ini ramai yang tersungkur dan ditinggalkan — sama ada oleh pasaran, atau oleh pembaca. Dekad ketiga, jika penulis bertahan, ialah tempoh status kultus, apabila pengarang tidak lagi terancam oleh turun naik pasaran, kerana dia telah memperoleh pengikut setia: apa sahaja yang ditulis akan dicari dan dibaca. Dekad keempat, jika nasib mengizinkan dan penulis masih hidup, ialah ambang keabadian, apabila karya awal terus beredar dan karya baharu juga diterima. Penulis sebegini menjadi titik rujukan, kerana karyanya dapat dibaca dan dihargai merentasi generasi: datuk-nenek, ibu bapa, anak, cucu di bawah satu bumbung, membuka halaman yang sama.
Saya yang sudah tua perlu bergegas memberitahu Faisal Tehrani yang masih muda, bahawa barangkali ada juga dekad kelima — tanpa batas waktu. Untuk mencapai tahap ini, hanya segelintir yang beroleh peluang. Daripada seratus penulis, mungkin seorang yang terus dibaca. Penulis sebegini melampaui pasaran; malah pasaran sendiri bergantung kepadanya. Saya yang sudah tua melabel penulis yang mencapai makam sedemikian sebagai sebahagian daripada kanun moden.
Saya yang tua perlu tegas memberitahu saya yang dulu muda bahawa berpeganglah kepada kesusasteraan itu wujud untuk berhujah; untuk memberikan sanggahan; untuk mengganggu dan menggoncang. Saya harap saya yang muda akan mendengar nasihat saya yang sudah tua satu masa dahulu. Kerana itulah, akhirnya kelak menjadi tekad, yakni ‘vocation’ saya sebagai seorang pengarang.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.