
Saya pertama kali menemui Janet DeNefee pada tahun 2007 atau 2008. Itulah pertama kali saya ke Pesta Sastera Ubud di Bali. Orangnya genit, bijaksana, sangat memahami, ramah dan hangat. Dia mungkin tidak mengingat saya lagi.
Meskipun sudah mencipta nama di Malaysia, dalam dunia sastera; saya masih belum siapa-siapa di arena sastera serantau. Jadi saya tidak percaya beliau akan mengingat saya. Banyak tahun kemudian, pada 2025, saya kembali di Ubud, di Pesta Sastera yang didirikan oleh Janet DeNeefe pada 2004. Saya bertemu beliau semula di Honeymoon Guesthouse, Jalan Bisma.
Untuk apa, dan entah kenapa pengarang dari serata dunia mahu datang berkampung di kota desa yang jalannya kecil sempit, berbahang berhabuk, dan macet luar biasa? Lagi untuk apa beratus penaja Festival Penulis dan Pembaca Ubud (untuk menyebut semua memakan masa lebih sepuluh minit ketika upacara pembukaannya) mahu dan bermurah hati memberi wang untuk menjayakannya?
Pesta Sastera Ubud kini memasuki prestijnya tersendiri. Memang Janet pengasas, tetapi dia percaya dan berani melepaskan. Maka datang kurator besar seperti penyair Namal Siddiqui untuk menggerakkannya, ia kini antara perayaan sastera terulung di dunia. Paling eksotik, dan saban tahun ia menjelma hidup di tengah kota budaya Bali yang penuh magis, iaitu Ubud.
Jadi setiap Oktober, ribuan pencinta kata, idea, ilham dan bahasa indah akan rapat-rapat di sini, menyahut segala detik kesempatan untuk berbicara, berhujah, berfikir sama, berbagi ilham sesama para penulis, penyair, dan pemikir dari segenap penjuru dunia.
Lama dahulu, Pesta Sastera Ubud ini pernah ditertawakan sebagai pesta ‘makcik ekspatriat yang gemar membaca’. Kini ia tidak lagi boleh dipandang ringan atau dijadi bahan seloroh. Majlis pembukaannya disertai oleh penyair Neal Hall, penyajak hak asasi manusia dengan puisi-puisinya yang aduh sangat politikal. Ia kini padat wacana dan buku-buku-buku.
Ia juga berdenyut di tengah jelapang kebudayaan yang kaya, ada tarian tradisional Bali, Indonesia; persembahan jalanan malam yang panjang, kenduri tengah hari yang mengilhamkan sastera, jelajah bersejarah di lorong kecil Ubud, pelancaran buku sana sini, bengkel seni di kafe dan restoran, serta jamuan jiwa yang tidak putus-putus di bawah langit dengan awan kumulus.
Selepas banyak tahun, Janet pengasasnya berjaya menjadikan Pesta Sastera Ubud ini sebagai sebuah pesta penceritaan, sebuah pertembungan lebuhraya akal dan rasa. Suatu destinasi di mana seniman datang mencari makna, ilham, dan persaudaraan melalui kata dan budaya.
Makanya sawah bendang menghijau yang belum dituai padinya, pokok pisang berbuah sekali, hutan dan hutan, dan hutan menjadi latar bagi pelancaran buku, lantas di celah kafe kecil akan ada perbualan tentang cerita dan roh pertentangan, menukar tiap ceruk kota yang biasanya tenang itu penuh dengan pembaca dan penulis yang datang dari kejauhan.
Dua puluh dua tahun, Pesta Sastera Ubud masih mempesonakan. Bila ia dimulai pada 2004 ia hanyalah lahir sebagai satu pengharapan untuk masyarakat Bali menyembuhkan diri selepas tragedi pahit pengeboman Bali pada 2002. Tetapi dari luka parah itu terlahir pelangi; dan dari trauma, terjelma iltizam untuk menyatukan manusia melalui kekuatan kata — tidak kiralah apa kepercayaan pun. Nama-nama besar dunia sastera berharap-harap mahu datang ke Ubud. Antara yang sudah mampir adalah Margaret Atwood, Richard Flanagan, Wole Soyinka, Peter Carey, Max Lane, Jean Couteau dan Eric Buvelo.
Tema Pesta Ubud tahun ini adalah “Aham Brahmasmi — Aku Adalah Semesta”. Sebuah ungkapan Sanskrit yang bermakna kesembuhan dari, dan dengan lingkungan. Makanya pengarang dan pembaca diminta duduk bersama-sama, diam merenungi hubungan antara diri dan alam, antara penciptaan dan kesedaran. Nyaris tiga ratus pengarang bakal hadir, suara muda suara matang dan suara ternama dari benua-benua yang berbeza bergabungan.
Saya akan muncul di dua acara dalam rangka mempromosi novel saya ‘Bedar Sukma Bisu’ yang diterjemahkan oleh arwah Zawiyah Baba (kakak Suhaimi Baba) sebagai ‘The Prau with the Silent Soul’ terbitan Penguin Random House SEA, bersama-sama novel ‘The Koro Riots’.
Dalam satu acara itu, saya akan mengungkapkan mengenai ‘apa yang harus dilakukan kita pengarang’, menyorot pengalaman saya diharamkan dan dituduh sebagai pembawa ajaran sesat oleh regim dahulu. Dalam acara itu antara gandingan saya ialah Banu Mushtaq, cerpenis India yang memenangi International Booker Prize 2025 untuk kumpulan cerpennya ‘Heart Lamp’.
Dalam satu acara lain yang lebih tertumpu, saya akan bersama dengan novelis Turki, Ayşegül Savaş yang menulis dalam bahasa Inggeris di mana novelnya ‘The Anthropologists’ menjadi salah satu bacaan kegemaran penjenayah perang dari Amerika Syarikat, Barack Obama. Juga, dalam acara itu akan ada panel dari Jerman, yakni pengarang dari Jerman Timur, Jenny Erpenbeck, yang juga merupakan penulis novel ‘Kairos’, yang memenangi International Booker Prize 2024.
Kami akan cuba berbincang dan berkongsi bagaimana cinta boleh menjadi penyembuh, tetapi juga penjahanam hidup. Kami akan berbincang tentang rasa bersalah, trauma perang dan bahana politik dalam hidup manusia.
Pesta Sastera Ubud memang hebat, gemilang dan spektakular. Ia tidak terus lahir untuk menjadi gemilang tanpa perjalanan panjang. Ia pernah digelakkan, tidak didanai, tumbuh perlahan; tetapi kini ia dikenali dan diburu pengarang besar dunia. Di pulau Bali yang orang mengenakan bikini di pantainya, di pedalaman yang lebih sopan penuh adat — Ubud ditumbuhkan secara organik. Masyarakat sendiri bekerjasama menghidupkan secara serius.
Di Malaysia, kita pernah ada George Town Literary Festival, tetapi kerajaan Pulau Pinang, maaflah ya, terlalu buta seni. Pesta itu kini dikecilkan menjadi kelab buku pembaca sastera Inggeris; hilang gengsi, dan hidup segan mati tak mahu. Bila ditegur tidak pula mahu berubah dan terus-terusan sombong perasan megah amat.
Padahal salah seorang pembicara utamanya dahulu penulis yang hari ini menjadi Perdana Menteri Malaysia yang kesepuluh.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.