
“Saya demam teruk, sejuknya buat hingga menggigil. Telan dua pil, saya gagahkan juga menulis…” Ini sebahagian daripada penulisan Hishamuddin Aun siaran FMT 31 Ogos lalu. Artikel ditulis sehari terdahulu. Jelas semasa menulis Hishamuddin mengalami demam teruk. Hanya dengan menelan dua biji ubat, Hishamuddin gagahkan diri untuk terus menulis. Begitulah semangat dan dedikasinya, menulis walaupun dalam keadaan kesihatan terganggu. Sememangnya itulah Hishamuddin Aun.
Artikel yang ditulis mengenai bola sepak. Diberi tajuk ‘Nidzam beransur ansur jadi idola’. Artikel itu adalah yang terakhir ditulis oleh Hishamuddin. Pada hari ia disiar Hishamuddin dimasukkan ke Hospital Sultan Idris Serdang. Selama satu bulan Hishamuddin dirawat di hospital itu. Tiga hari lalu Hishamuddin pergi menyahut panggilan Ilahi.
Kawan-kawan memanggilnya Hisham. Saya mula mengenali Hisham semasa Allahyarham memulakan karier kewartawanannya sebagai pemberita kadet di Bernama pada September 1979. Tidak lama kemudian Hisham berhijrah ke News Straits Times Publication, bermula di Berita Harian. Di situ Hisham mekar sebagai antara wartawan terunggul tanah air. Kariernya terus memuncak. Memegang pelbagai jawatan penting termasuk pengarang sukan Berita Harian, pengarang Harian Metro dan kemuncaknya ketua pengarang Kumpulan NSTP. Setelah meninggalkan NSTP, Hisham dilantik penasihat Astro Awani dan dua tahun lalu menjadi kolumnis di FMT.
Sesungguhnya Hisham suka menulis. Ada passion for writing. Tulis dengan rasa bertanggungjawab dan jujur dalam memberi pandangan dan menyalur maklumat kepada khalayak. Maka bukanlah sesuatu yang aneh apabila Hisham terus menulis dalam keadaan sakit dengan hanya dua biji ubat to give temporary relief.
Memang Hisham boleh menulis dengan baik dalam bahasa Melayu dan Inggeris, dan penulisannya sedap dibaca. Setuju atau tidak dengan apa yang ditulis soal lain. Hakikatnya penulisan memang sedap. Bahasa yang digunakan cantik. Begitu juga susunan ayat. Paling penting Hisham bercakap benar menerusi penulisannya. Tiada tohmahan, tiada fitnah.
Pelbagai perkara ditulis termasuk politik. Pergolakan PKR, Bersatu dan ragam PAS sering mendapat perhatian, dan tentunya sukan. Sememangnya sukan khususnya bola sepak dekat di hati dan amat diminati. Mungkin kerana Hisham boleh bermain bola sepak dengan baik semasa usia muda.
Hisham mengukir nama sebagai penulis bola sepak yang dihormati sejak membuat liputan sukan itu pada era kegemilangan bola sepak tanah air. Zaman Soh Chin Ann, Santokh Singh, R Arumugam dan pastinya, Mokhtar Dahari.
Suatu keistimewaannya ialah kebolehan menyelami arena bola sepak negara, bukan sekadar buat liputan biasa. Hisham kenal pemain secara peribadi. He earned their respect dan trust maka banyak rahsia Hisham tahu. Ada yang tulis dan ada rahsia tinggal rahsia. Prinsip ‘don’t quote me‘ dan ‘off the record‘ dipegang ketat.
Semasa Mokhtar Dahari diminta oleh NSTP menulis kolum di akhbar Berita Harian, Hisham menulis untuk striker kebanggaan negara itu. Istilahnya ghost writing. Apa yang Mokhtar luahkan secara lisan Hisham keluarkan dalam penulisan. Tiada tokok tambah. Straight facts.
Apabila ada isu yang difikir wajib diketengahkan, Hisham akan melahirkan penulisan yang tajam. Keakraban dengan pegawai sukan mahu pun pemain tidak menghalangnya mendedahkan apa yang mesti didedah.
“Kalau Hisham ada masa isu naturalised players sekarang ini FAM tak tidur malam bro,” kata seorang kawan lama yang saya temui di Masjid Sungai Sekamat Kajang sebelum kami mendirikan sembahyang jenazah semalam. Memang betul apa yang dikatakan si kawan lama itu. Namun semasa isu itu tercetus Hisham berada di hospital.
Untuk kolum di FMT, Hisham pernah menampilkan artikel ‘FAM berterus-teranglah‘ dan ‘FAM ditangkap tertidur‘. Juga ‘Dana mencurah tapi FAM mengecewakan‘. Sekadar tiga contoh. Bayangkan jika Hisham menulis isu FAM-FIFA yang sedang kita hadapi ini.
Apabila Hisham menulis artikel ‘Adakah keadilan buat Faisal Halim?’, Allahyarham menunjukkan sifat prihatin dan peduli. Mahu memastikan pembelaan dilakukan untuk pemain itu yang kita tahu apa yang telah berlaku ke atasnya.
Apa pun bagi saya Hisham adalah seorang kawan baik yang baik dan amat rendah diri meskipun semasa berada di puncak karier sebagai wartawan. Pada satu hari lama dahulu saya terserempak Hisham di sebuah kedai makan di Lucky Garden, Bangsar. Hisham sedang menikmati nasi padang bersama pemandunya, Chew (maaf lupa nama penuh beliau). Bos dan drebar duduk semeja makan bersama. Si bos waktu itu pengarang nombor satu di NSTP dan sudah dianugerahkan gelaran Datuk sebanyak tiga kali. That speaks volume of the man. At the top but remain firmly on the ground. Humble.
Hisham suka bergurau. Hampir setiap hari Allahyarham berbual WhatsApp dalam kumpulan penulis sukan veteran yang saya bertuah ada didalamnya. Sering bertanya akan kesihatan kami. Instead of saying “are you all well?“, Hisham suka berkata “are you all feeling in the well?”
Jika Hisham tidak sihat akan beritahu kami: “I am not feeling in the well lah today“. Kata-kata lucu itu sudah tiada.
Hishamuddin Aun sudah tiada namun sumbangannya pada kewartawanan tetap dihargai. Peninggalannya diabadi.
Semoga Allah mencucuri rahmat ke atasnya, dan ditempatkan dalam kalangan solihin. Al-Fatihah.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.