Adakah keadilan buat Faisal Halim?

Adakah keadilan buat Faisal Halim?

Dianiaya bukan sekadar hampir tamatkan kerjayanya, ramai harapkan nasib ‘Mickey’ akan terbela jua akhirnya.

hishamuddin-aun

Jumaat ini akan bermulalah musim baharu Liga Malaysia 2025/2026 dengan perlawanan sumbangsih Piala Sultan Ahmad Shah menjadi trofi pertama sebagai rebutan. Turut dikira sebagai perlawanan pertama liga, tiga mata akan menjadi habuan pemenang di antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Sultan Ibrahim (SSI) — ulangan kepada pertemuan yang sepatutnya berlangsung sebagai pembuka tirai musim lalu.

Jika tiada sebarang aral, pemain sayap kebangsaan Faisal Halim akan tersenarai dalam kesebelasan utama skuad Gergasi Merah — sesuatu yang dinafikan daripadanya musim lalu apabila dia menjadi mangsa kejadian simbahan asid pada 5 Mei tahun lalu — hanya lima hari sebelum perlawanan — oleh dua individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya sehingga disahkan melecur tahap empat.

Sambil mendoakan tonggak Harimau Malaya itu sembuh segera dan teruskan perjuangan dalam sukan kegemarannya, Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika itu mengarahkan polis melakukan siasatan rapi.

Ketua Polis Negara Razarudin Husain dan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Mohd Shuhaily Mohd Zain ketika itu turut dipanggil ke Pejabat Perdana Menteri (PMO) untuk Anwar meminta supaya siasatan disegerakan dan pelakunya dihadapkan ke muka pengadilan.

Serangan asid yang hampir melumpuhkan semangat Selangor FC itu — sesuatu yang luar biasa dan tidak pernah terjadi hingga menimbulkan kebimbangan terhadap nasib pemain lain — mendorong Gergasi Merah menarik diri daripada perlawanan itu, namun didenda RM100,000 oleh Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang turut mengenakan pemotongan tiga mata.

Bagaimanapun, MFL pada 27 Jun 2024 menggunakan budi bicara mengurangkan denda berkenaan kepada RM60,000 manakala pemotongan tiga dibatalkan susulan titah murka Sultan Selangor, Sultan Sharafudin Idris Shah — dengan bayangan untuk menarik keluar Selangor FC daripada Liga Super — yang menganggap hukuman awal MFL itu dibuat tanpa ihsan dan tidak berperikemanusiaan.

Sambil itu, Faisal menderitai empat pembedahan sepanjang menjalani rawatan di sebuah hospital swasta di Shah Alam dan tampil buat kali pertama dalam satu sidang media pada 13 Jun 2024 dalam keadaan masih trauma dan tidak pasti mengenai masa depannya dalam bola sepak.

Parut di mukanya masih baru terbentuk tetapi berkat semangat dan kesungguhannya, Faisal atau mesra dengan panggilan Mickey membuat kemunculan semula di atas padang bersama skuad Gergasi Merah dengan masuk sebagai pemain gantian dalam perlawanan liga menentang Kelantan Darul Naim (KDN) FC di Kelana Jaya pada 10 Ogos 2024 — lima bulan selepas melecur dialaminya.

Seterusnya membantu Selangor meraih kemenangan 1-0 ke atas Cebu FC dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) pada 3 Okt, jaringan hatrik ketika Gergasi Merah membelasah KDN FC 7-0 pada 8 Mac lalu di samping dipanggil skuad Harimau Malaya kendalian Peter Cklamovski pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 bertemu Nepal (25 Mac), selebihnya adalah sejarah.

Begitupun, parut yang jelas di wajahnya akan sentiasa mengingatkan ramai bahawa keadilan ke atasnya belum tertunai sambil kembalinya dia ke SSI Jumaat ini — 11 bulan selepas serangan asid ke atasnya — menuntut segala janji kepadanya diharapkan dipenuhi.

Kita semua maklum bahawa Razarudin sudah pun bersara 22 Jun lalu sambil Shuhaily pula bertukar selaku ketua pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) mulai 1 Julai. Cuma, kita harap siasatan kes Faisal tidak diabaikan susulan rombakan di peringkat tertinggi polis.

Menyusuli pengumuman bahawa kes Faisal diklasifikasikan sebagai ‘tiada tindakan lanjut’ (NFA) oleh Jabatan Peguam Negara (AGC) dalam surat kepada peguam pemain itu Nik Zarith Nik Moustpha 18 Feb lalu yang bagaimanapun hanya diumumkan pada 8 Mei, banyak pihak yang berasa kecewa dan marah.

Parti-parti politik termasuk Pemuda Amanah, Pemuda MCA dan PAS turut menyatakan rasa tidak senang hati dengan perkembangan berkenaan di sebalik penjelasan bahawa kes itu tidak ditutup.

“Jangan sampai rakyat mengalami defisit kepercayaan kepada pihak berkuasa hanya kerana kegagalan dan sikap sambil lewa kerajaan dalam menjamin dan memastikan keselamatan warganya,” kata Ketua Pemuda PAS Afnan Hamimi Taib Azamudden yang menyifatkan ia satu titik hitam dalam arena sukan negara.

Ketua Penerangan Pemuda MCA Neow Choo Seong menambah: “Inikah cara kita melayan atlet negara? Keadilan mesti ditegakkan dan kes ini mesti terus dibuka. Menutup fail sekarang menghantar mesej yang salah seolah-olah pelaku boleh menyerang tokoh awam tanpa dikenakan sebarang tindakan dan sistem gagal melindungi mangsa, hatta wira negara seperti Faisal.”

Dalam pada itu, Shuhaily berkata siasatan kes Faisal masih diteruskan walaupun diklasifikasikan sebagai NFA — hanya kerana tangkapan tiga individu serta beberapa petunjuk termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV) dan lakaran wajah yang diedarkan sebelum ini tidak mempunyai kaitan dengan kes itu — tidak bermaksud siasatan ditutup, sebaliknya merupakan prosedur biasa dalam mana-mana siasatan jenayah.

Sebelum ini, 23 individu direkod keterangan dan tiga suspek ditahan, namun tiada bukti yang mengaitkan mereka dengan serangan itu. Siasatan juga mendapati suspek sebenar menggunakan nombor pendaftaran kenderaan palsu manakala hasil analisis forensik terhadap telefon suspek tidak menunjukkan sebarang bukti penglibatan dalam kejadian berkenaan. Rakaman CCTV serta lakaran wajah yang diperoleh juga tidak dapat mengenal pasti pelaku sebenar.

Nik Zarith dilaporkan 8 Mei lalu bahawa pihaknya sudah memohon kepada AGC pada 15 April agar kertas siasatan terhadap kes itu dibuka semula, namun tiada maklum balas daripada pihak terbabit setakat ini.

“Ini satu kesalahan serius. Hasil siasatan itu tidak membawa kepada mana-mana orang untuk ke muka pengadilan, jadi beliau tidak mendapat keadilan. Jangan tutup kes ini dan pihak berkuasa kena teruskan siasatan untuk menangkap pelaku. Kami percaya pada polis, kenapa NFA dan berhenti di sini? Kami menggesa supaya polis membuka balik siasatan ini dan AGC ada kuasa untuk mengarahkan polis meneruskan siasatan,” kata seorang lagi peguam yang mewakili Faisal, Mohd Haijan Omar.

“Polis mengatakan NFA tidak bermaksud siasatan telah dihentikan, jadi saya berasa lega ia masih diteruskan. Saya hanya harap polis akan melakukan lebih usaha lagi kerana kejadian seperti ini tidak dapat diterima ke atas ahli sukan kita,” kata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh Tseow Suan.

Tidak ketinggalan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Azalina Othman memaklumkan bahawa siasatan dan semakan lanjut terhadap kes serangan asid ke atas Faisal masih boleh dijalankan.

“Sekiranya terdapat perkembangan baharu pada masa akan datang, siasatan dan semakan lanjut terhadap kes ini masih boleh dijalankan,” katanya melalui jawapan bertulis bagi menjawab soalan Afnan Hamimi yang disiarkan di laman web Parlimen pada 31 Julai.

Cuma diharapkan ia bukan sekadar jawapan untuk menyedapkan hati ramai, sebaliknya menjadi ingatan kepada pihak berkuasa supaya meneruskan siasatan hingga selesai.

Bekas menteri undang-undang Zaid Ibrahim pula menggesa Faisal memfailkan saman undang-undang terhadap polis kerana penyelewengan tugas awam. Rasanya Faisal tidak akan tergamak ke tahap itu melainkan berdoa dan berharap keadilan untuknya akan diperoleh jua akhirnya.

Sambil Faisal didoakan terus cekal untuk menyerlahkan prestasi terbaiknya Jumaat ini — jaringannya ketika Harimau Malaya seri 3-3 dengan Korea Selatan dalam aksi Piala Asia di Qatar pada 25 Jan 2024 diiktiraf sebagai gol terbaik kejohanan — desakan ke atas polis tidak harus terhenti sehingga kes itu dimuktamadkan.

Tiada sesiapa juga harus berasakan kembalinya pemain berusia 27 tahun ini ke padang selepas satu kejadian yang boleh meragut nyawa atau menamatkan kerjaya bola sepaknya sebagai suatu bentuk kemaafan terhadap pelaku jenayah ke atasnya.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.