Nidzam beransur-ansur jadi idola

Nidzam beransur-ansur jadi idola

Penampilan berbezanya musim ini membuat pemain menghormatinya selain digemari penyokong Jang kerana merendah diri dan berterus terang.

hishamuddin-aun

Saya demam teruk, sejuknya buat hingga menggigil. Telan dua pil, saya gagahkan juga menulis rangkuman minggu keempat Liga Super (LS4) ini yang ceritanya masih tertumpu kepada Nidzam Jamil yang beransur-ansur memahat nama sebagai ‘comeback king’ (pencetus kebangkitan pasukan).

Buat minggu kedua berturut-turut, jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC) berusia 45 tahun itu — yang pernah mewakili NSFC selaku pemain pada 2006-2007 — bangkit daripada ketinggalan dua gol kepada Kuching City FC (KCFC) di Paroi pada Sabtu.

Keputusan seri 2-2 itu selepas KCFC mendahului menerusi Danial Asri (m-7) dan Ronald Ngah Wanjaa (m-48) mungkin tidak sebaik kebangkitan dua gol untuk menundukkan Selangor FC 2-1 pada 24 Ogos lalu yang terasa lebih manis.

Ia cukup membuat penyokong Jang semakin kemaruk. Selepas 25,550 hadir bagi perlawanan NSFC-Selangor, seramai 24,478 menonton perlawanan dengan KCFC.

“Bukan mudah sebenarnya menentang Kuching City kerana pasukan ini ada personaliti dan kekuatan tersendiri. Kedudukan mereka boleh dikatakan dalam kalangan empat pasukan terbaik liga ini. Jadi memang satu cabaran besar buat Negeri Sembilan walaupun beraksi di laman sendiri,” katanya.

“Kita gagal menyekat kebangkitan Negeri Sembilan pada penghujung permainan, membuatkan terpaksa berpuas hati dengan keputusan seri. Kita akui cabaran yang dilalui pasukan malam ini bukan mudah, tiada siapa yang menjangka kita mampu mendahului mereka pada sebahagian besar perlawanan,” kata ketua jurrulatih KCFC Aidil Sharin Sahak pula.

Kehadiran lima angka di Stadium Tuanku Abdul Rahman, (STAR), Paroi akan terus menjadi ukuran apabila NSFC akan menjadi tuan rumah tiga aksi liga menentang Sabah FC (27 Sept), PDRM FC (25 Okt) dan Terengganu FC FC (22 Nov).
Di celah-celah perlawanan berkenaan, NSFC akan berkunjung ke tempat lawan menghadapi PDRM FC (12 Sept) Imigresen FC (20 Sept), Penang FC (4 Okt), dan DPMM FC (2 Nov) Andai NSFC dapat memenangi perlawanan berkenaan, maka perlawanan berikut di Paroi menentang Terengganu FC (22 Nov) harus membuat stadium hampir runtuh.

Transformasi pasukan musim ini — daripada kedudukan kedua tercorot musim lalu — harus disandarkan kepada Nidzam. Pemain-pemain menghormatinya dan menurutkan semua arahannya. Penyokong Jang pula menyukainya kerana sikapnya yang merendah diri.

Secara beransur-ansur Nidzam sudah mula dilihat sebagai ‘cult figure’ (idola) seperti Awang Mahyan Awang Mohamad, jurulatih Sarawak dalam Liga Malaysia pada 1988-1990 dengan slogan Ngap Sayot bermaksud pasukan lawan mudah dikalahkan. Sarawak berjaya melangkah ke separuh akhir Piala Malaysia 1988 di samping berada dalam kedudukan enam teratas di kalangan 17 pasukan dalam carta Liga Malaysia 1988.

Selepas meletakkan jawatan ketua jurulatih Selangor FC pada 30 Oktober 2024 dipercayai gara-gara tekanan penyokong, Nidzam dilantik ketua jurulatih NSFC pada 13 Jun 2025. Mengambil alih daripada Azzmi Aziz dan K Nanthakumar yang masing-masing hanya mampu menyumbang dua kemenangan musim lalu, Nidzam tidak dijangka bermasalah membaiki pencapaian itu.

Tempoh tujuh setengah bulan dia direhatkan dilihat ramai sebagai tempoh bertenang untuk dia melihat kembali ke dalam dirinya di mana silap atau kekurangannya bersama Selangor FC. Mengakui dari awal tekanan hebat ke atasnya, dia membenarkan dirinya hanyut oleh arus cabaran — kekalahan 1-6 kepada JDT dalam final Piala FA pada 20 Ogos 2024 menyebabkan defisit keyakinan ramai terhadapnya.

Tapi Nidzam dilihat berbeza musim ini. Sentiasa tersenyum dan tidak mengenakan tekanan terlalu tinggi terhadap pemain-pemainnya, pasukannya nampak lebih harmoni dan tahu apa yang diharapkan daripada mereka.

Rasa saling menghormati di antara jurulatih dan pemain mungkin formula yang ditemui Nidzam untuk menuntut pemain-pemainnya mengerah yang terbaik di atas padang selain mahukan mereka berhabis-habisan.

“Tak ada apa pun, saya cuma minta pemain menikmati perlawanan,” katanya seperti kerap ditanya wartawan apa pesanannya di dalam bilik persalinan ketika rehat separuh masa. “Pemain-pemain berhak dapat pujian atas kerja keras. Tahniah kepada mereka,” tambahnya tanpa mahu mengambi kredit.

“Daripada pemain yang ada nama besar, saya lebih sukakan pemain yang sanggup langgar dinding demi pasukan,” tambahnya.

Selepas tiga aksi liga, Nidzam masih belum menurunkan pemain pertahanan Khuzaimi Piee dan penyerang Luqman Hakim Shamsudin di sebalik desakan penyokong mahu melihat kedua-duanya beraksi. Kedua-duanya, katanya, akan diturunkan apabila sudah bersedia.
Begitu juga dengan ‘supersub’, Mio Tsuneyasu — bertemu KCFC dia dimasukkan pada minit ke-61, bertemu Selangor FC masuk minit ke-68 dan bertemu JDT masuk pada minit ke- 76 — yang belum dicadang diturunkan sepenuh masa di sebalik sudah menjaringkan dua gol setakat ini.

Perlawanan minggu keempat mengalihkan seketika tumpuan daripada JDT yang melebarkan kemenangan kepada empat perlawanan berturut-turut hasil kemenangan 3-0 ke atas Imigresen FC di Stadium Batu Kawan hasil jaringan Jon Irazabal (m-43), Jairo da Silva (m-58) dan Joao Figueiredo (m-77).

Tertunda dari minggu pertama, Sabah FC pula mengikat Melaka FC 1-1 di Stadium Likas pada Jumaat yang memanjangkan rekod tanpa menang kedua-dua pasukan kepada tiga perlawanan.

Kuala Lumpur City FC kini menghimpun 10 mata daripada empat perlawanan untuk merapati JDT di tangga kedua. Gol-golnya dijaringkan Safawi Rasid (m-25), Paolo Josue (m-53) dan sepakan penalti Nicolao Cardoso (m-77). PDRM meraih gol sahu hati menerusi Kyaw Min Oo (m-90).

Berselang cuma lima hari selepas membolosi pintu gol lawan lima kali, Terengganu FC (TFC) pula dibolosi lima gol. Daripada persembahan yang ditakrif bertaraf lima bintang di Stadium Sultan Hassanal Bolkiah pada 22 Ogos, begitu cepat pula prestasi mereka merudum. Kelancaran gerakan dan ketajaman penyudah di depan gol ketika membelasah DPMM FC 5-0, Jumaat lalu sebaliknya bertukar menjadi sebuah pasukan yang kaku keras sewaktu tunduk 5-2 kepada Selangor FC di Stadium MBPJ, Kelana Jaya pada Rabu. Hatrik Chrigor Moraes dan satu jaringan Alvin Fortes memberikan tuan rumah pendahuluan 4-0 dalam separuh masa pertama di Stadium MBPJ pada Rabu.

“Selepas gol kita tidak dikira (Yann Mabella dihukum ofsaid pada minit ketujuh), pemain mula melakukan banyak kesilapan mudah terutama daripada segi komunikasi antara ‘back four’. Kita banyak melihat bola dan itu menyebabkan dibolosi empat gol mudah,” kata ketua jurulatih Terengganu FC, Badrul Afzan Razali.

Tempoh tiga minggu sebelum Negeri Sembilan FC berkunjung ke Stadium Batu Kawan untuk berdepan Imigresen FC dalam LS5 pada 20 Sept, harus dimanfaatkan Nidzam untuk memperkemaskan lagi pasukannya dari tangga keenam dengan empat mata ketika ini.

Tentunya dia tidak akan mahu episod duka bersama Selangor FC berulang — menerbitkan keterujaan penyokong pada awalnya tapi kemudian menghadapi tekanan berat daripada mereka.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.