FAM berterus-teranglah

FAM berterus-teranglah

Sulit sangatkah untuk nyatakan pertalian darah pemain warisan Harimau Malaya daripada biarkan pertikaian berlarutan?

hishamuddin-aun

Sahabat saya Lee Seng Foo, bekas wartawan Astro Arena yang kini bersama SPOTV, memuat naik satu pernyataan berserta persoalan menjelang perlawanan Harimau Malaya menentang Vietnam dalam aksi Kumpulan F, Pusingan Kelayakan Akhir Piala Asia 2027 di Stadium Nasional Bukit Jalil (SBNJ) 10 Jun lalu.

Menggunakan akaun media sosial Sengfoo88, dia menyenaraikan susur galur pemain warisan Malaysia yang tersenarai untuk perlawanan itu: “Corbin Ong (emaknya dari Malaysia), Dion Cools (emaknya kelahiran Sarawak), Matthew Davies (emaknya kelahiran Sabah), Stuart Wilkin (emaknya berasal dari Pahang) dan Nooa Laine (ayahnya dari Selangor).

“(Jon) Irazabal? (Facundo) Garces? (Gabriel) Palmero? (Joao) Figueirido? (Rodrigo) Holgado? (Imanol) Machuca?,” ditinggalkannya dengan tanda soal tanpa menyatakan pertalian darah mereka dengan Malaysia kecuali Hector Hevel, pemain kelahiran Voorschoten, Belanda yang datuknya berasal dari Melaka.

Lima daripada mereka adalah dari kumpulan pemain warisan terbaru yang didatangkan khusus untuk pertemuan dengan Vietnam itu sambil Palmero dan Hevel sudah disenaraikan dalam perlawanan menentang Nepal yang dimenangi Malaysia 2-0 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI), Iskandar Puteri, 25 Mac lalu.

Satu laporan media tempatan sebelum ini memetik Garces — antara pemain kelahiran Argentina dengan reputasi besar yang bermain untuk kelab LaLiga Sepanyol, Deportivo Alaves — sebagai menyatakan pertalian darahnya dengan Malaysia ialah melalui neneknya.

Bayangkan jika seorang wartawan seperti Seng Foo turut tertanya-tanya sedangkan menjadi tanggungjawabnya untuk berkongsi maklumat berkaitan asal-usul pemain berkenaan, apakah penyokong Harimau Malaya sendiri tidak mahu ambil tahu? Atau telan bulat-bulat bahawa penyenaraian mereka sudah diluluskan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa)?

Usah dikiralah peminat bola sepak Indonesia — yang beranggapan Harimau Malaya meniru langkah Persatuan Sepakbola Seluruh Indonesia (PSSI) menaturalisasikan pemain diaspora — dan penyokong Vietnam yang tidak dapat menerima kekalahan 0-4 pasukan mereka sebagai menamatkan badi kekalahan 11 tahun Harimau Malaya kepada skuad Pahlawan Bintang Emas itu.

Belum pun lama dan belum pun reda keghairahan daripada kemenangan Harimau Malaya itu, penyokong Indonesia mempersoalkan keabsahan pemain warisan yang diturunkan — kebanyakan mereka menuduh Malaysia menipu dan memalsukan dokumen bukti asal-usul pemain berkenaan kepada Fifa.

Mana mungkin kata mereka Malaysia memiliki pemain berdarah warisan yang lahir di Argentina dan Brazil terutamanya?

“Timnas Malaysia kena diskualifikasi Fifa,” kata pemegang akaun TikTok Disway.ID hanya beberapa hari lalu, sambil Seputar Timnas Indonesia memuat naik hantaran bertajuk “Presiden Fifa mengenakan sanksi (hukuman) ke atas FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia).

Laman cakaplah.com Indonesia pula melaporkan Harimau Malaya dilarang menyertai semua kejohanan antarabangsa sehingga 2027 — bermula dari kelayakan Piala Dunia 2026, Piala Asia 2027 dan Piala AFF 2026.

“Seperti dilaporkan di laman web rasmi Fifa dan AFC (Konfederasi Bola Sepak Asia), Isnin (30 Jun 2025), Malaysia mesti menerima larangan bermain di semua kejohanan antarabangsa kerana melanggar peraturan pemain naturalisasi.

“Keputusan itu diumumkan serentak pada sidang media di ibu pejabat Fifa di Zurich dan AFC di Kuala Lumpur pada 28 Jun 2025 berikutan penemuan pelanggaran dalam proses naturalisasi pemain keturunan Malaysia,” dakwa portal berkenaan.

Portal itu juga mendakwa semua keputusan perlawanan yang melibatkan pemain warisan atau pemain keturunan haram akan terbatal dan FAM didenda USD2 juta atau bersamaan RM9.5 juta. Malaysia dikatakan turut dilarang mengambil pemain berketurunan negara selama lima tahun kecuali melalui proses pengesahan berganda yang telah dilulus atau ditentukan oleh Fifa.

Namun, seperti dilaporkan portal sukan Malaysia, Majoriti, artikel yang dikeluarkan cakaplah.com itu jelas hanya mahu mencetuskan kemarahan penyokong susulan tiada sebarang mesyuarat dijalankan di Zurich atau Kuala Lumpur pada 28 Jun.

Sebagai menangkis tuduhan berkenaan, akaun Warta Malaysia menampilkan:

“Kecoh di laman media sosial mengenai berita palsu tentang skuad Harimau Malaya bakal dihukum oleh Fifa. Tuduhan tak berasas ini timbul apabila sebuah laman berita Indonesia disway.ID menerbitkan satu artikel berkenaan laporan palsu Harimau Malaya rasmi dihukum oleh Fifa.

“Ia mendakwa pasukan kebangsaan Malaysia dikenakan hukuman gara-gara isu melibatkan proses merekrut pemain warisan yang dikatakan melanggar peraturan Fifa. Susulan itu, sebuah laman berita Vietnam, Thanh Nien, juga telah telah melaporkan perkara sama berdasarkan sumber portal berita dari Indonesia itu sehingga menimbulkan salah faham banyak pihak.

“Malah, turut tular di media sosial adalah tangkap layar laman sesawang Fifa yang telah disunting pada tahap amatur dan memaparkan kenyataan palsu menggunakan nama Malaysia. Jelas sekali segala berita yang dikongsi ini adalah palsu serta tidak berasas yang disebarkan oleh sesetengah pihak bagi mencipta propaganda negatif kepada pasukan Harimau Malaya.”

Sebaliknya, FAM sendiri seperti meremehkan perkara itu. Daripada berterus-terang mengenai salasilah Palmero, Hevel, Irazabal, Garces, Figueirido, Holgado dan Machuca, badan induk itu seolah-olah menyarankan kepada pihak-pihak yang masih tidak berpuas hati supaya melanjutkan aduan kepada Fifa.

“Kalau nak dedahkan pun, kita tiada masalah. Tapi semuanya sudah disahkan oleh Fifa. Jadi kita ikut sahaja saluran dan prosedur yang betul,” kata Presiden FAM Mohd Joehari Ayub selepas Kongres Luar Biasa FAM di Subang Jaya, Isnin lalu.

Tapi tiada apa-apa yang didedahkan berkait salasilah pemain warisan terbaru berkenaan untuk menjawab persoalan ramai.

“Status mengenai salasilah beberapa pemain warisan baharu Harimau Malaya tidak harus dijadikan bahan perdebatan lagi. Semua pemain warisan yang ada sudah diperiksa oleh Fifa dan Fifa adalah satu badan yang tegas dalam semua perkara. Jadi semuanya sudah disemak oleh Fifa dan FAM hanya ikut prosedur serta arahan yang ditetapkan.

“Tiada masalah untuk kami dedahkan atau tidak. Namun, FIFA pun sudah semak dan kami mengikut sahaja keputusan daripada FIFA,” tambahnya.

Tentunya keadaan akan lebih mudah jika FAM mendedahkan susur galur pertalian darah pemain warisan Harimau Malaya daripada membiarkan soal berkenaan terus menimbulkan teka-teki dan pertikaian.

Soalan yang perlu ditanya ialah susah sangat ke untuk badan induk itu menyatakan asal usul pemain warisan Harimau Malaya kecualilah FAM mempunyai maklumat yang tidak mahu dikongsikannya.

 

Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.