
“Tak berapa jantanlah,” kata satu tajuk berita sebuah akhbar manakala satu yang lain berbunyi: “Mana FAM nak letak muka?” Menyimpulkan kedua-duanya pula, sebuah akhbar berbahasa Inggeris terpampang dengan tajuk: “Cafa snub hurts our credibility (Menyanggahi Cafa cemari kredibiliti kita).”
Jika terlelap sedetik ketika memandu boleh membawa kepada kehilangan jiwa, bayangkan implikasinya apabila sebuah organisasi besar seperti Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) – kini diperkuatkan kepakaran asing dalam ‘revolusi’ Harimau Malaya dan baru melantik seorang presiden kehormat yang keluar daripada ‘persaraan’ untuk dimanfaatkan pengalaman puluhan tahunnya – ditangkap tertidur.
Cafa ialah singkatan kepada Persatuan Bola Sepak Asia Tengah yang keanggotaannya terdiri daripada enam negara – Afghanistan, Iran, Kyrgyzstan, Tajikistan, Turkmenistan dan Uzbekistan dengan jumlah penduduk hampir 200 juta orang – lebih kecil daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dianggotai Malaysia yang mempunyai 47 negara kesemuanya.
Cafa 2025 pula ialah kejohanan dwitahunan Asia Tengah membabitkan lapan negara, dengan Malaysia dan Oman mendapat penghormatan sebagai pasukan jemputan. Undian pada 3 Julai lalu menetapkan Uzbekistan, Kyrgyzstan, Turkmenistan dan Oman dalam Kumpulan A manakala Tajikistan, Iran, Afghanistan dan Malaysia melengkapkan Kumpulan B kejohanan dari 29 Ogos hingga 8 Sept itu yang dianjurkan bersama oleh Uzbekistan dan Tajikistan.
Berbanding Malaysia di tangga ke-125 dunia, dua lawan skuad negara menghuni kedudukan lebih tinggi, Tajikistan 106 dan Iran 20 manakala Afghanistan 161. Dengan Iran dan Uzbekistan sudah layak ke Piala Dunia 2026 sambil Oman masih berpeluang dalam pusingan keempat kelayakan, maka Cafa 2025 dilihat satu kejohanan berkualiti yang dapat menambah pengalaman Harimau Malaya.
Dalam menerima secara rasmi jemputan ke kejohanan itu, FAM bagaimanapun terlepas pandang bahawa dua perlawanan awalnya – menentang Tajikistan (29 Ogos) dan Iran (1 Sept) – sama ada di luar atau terlalu hampir dengan kalendar perlawanan Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (Fifa).
Ia bermakna kelab-kelab yang diwakili empat daripada tujuh pemain warisan terbaharu Harimau Malaya – Facundo Garces, Gabriel Palmero, Imanol Machuca, Rodrigo Holgado – di Sepanyol, Argentina dan Colombia tidak wajib melepaskan pemain mereka. Begitu juga tiga lagi pemain warisan, Jon Irazabal, Hector Hevel dan Joao Figueiredo yang kini menyertai Johor Darul Ta’zim (JDT).
Tanpa paduan tenaga mereka yang dalam kemunculan sulung masing-masing membantu Harimau Malaya membenam Vietnam 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia 10 Jun lalu, skuad negara berisiko mengalami rentetan kekalahan dalam Cafa 2025, lantas akan menyebabkan ranking pasukan turun semula.
Teraba-raba mencari alasan untuk membatalkan penyertaan di Tajikistan, FAM pada Rabu menyalahkan perubahan terkini terhadap tarikh penganjuran yang kini jatuh di luar jendela antarabangsa Fifa menimbulkan cabaran besar dari sudut logistik, ketersediaan pemain dan tahap kesiapsiagaan skuad secara keseluruhan.
Ketua jurulatih Peter Cklamovski menjelaskan isu logistik, keperluan pemulihan pemain, serta implikasi terhadap bajet keseluruhan turut menjadi faktor penting dengan beliau tidak mahu menjejaskan kebajikan serta kondisi pemain atau menyertai kejohanan dengan skuad yang tidak lengkap.
“Ia satu perkembangan mengecewakan apabila kami sebagai pasukan kebangsaan membuat keputusan menarik diri daripada Cafa 2025. Kami sememangnya bercita-cita tinggi untuk bersaing dalam kejohanan itu. Ini senario yang sukar kepada pemain untuk ke sana (Tajikistan) dan bersedia menjalani
persiapan.
“Saya tidak mahu berkompromi dengan pemain. Kami perlu menghormati pasukan kerana kami ada pemain yang beraksi di Sepanyol, Colombia dan juga Argentina. Jadi sukar untuk kami dapatkan pemain ini. Saya fikir keputusan untuk menarik diri ini sesuatu yang wajar,” katanya.
Turut terheret dalam kemelut itu ialah Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang menghormati keputusan FAM menarik diri daripada Cafa 2025 sambil percaya pertimbangan rapi sudah dibuat oleh pihak jurulatih dan pengurusan skuad kebangsaan khususnya berhubung aspek persediaan pemain.
“Saya sudah baca kenyataan jurulatih (Cklamovski) dan saya percaya beliau lebih tahu mengenai persiapan pasukan. Saya akur dan terima sebab-sebab yang diberikan oleh jurulatih serta pihak persatuan,” katanya selepas merasmikan Sidang Kemuncak Pickleball Asia 2025 pada Khamis.
Apa yang Hannah tidak sedar ialah FAM mungkin “mamai” ketika memutuskan lebih dahulu untuk menerima undangan Cafa sedangkan bukannya badan induk itu tidak tahu kalendar Fifa lebih awal selain usaha menghimpun pemain dan persiapan sekurang-kurangnya seminggu semuanya memerlukan masa.
Lebih daripada itu, FAM – gedung menyatukan minda-minda terbaik bola sepak negara – tergamak menyalahkan penganjur sebagai melakukan perubahan terkini terhadap tarikh penganjuran yang tidak memberikan Harimau Malaya sebarang pilihan lain kecuali menarik diri.
Namun, alangkah malunya apabila Cafa dalam kenyataan balasnya pada Rabu meluahkan kekesalan berikutan tindakan Malaysia menarik diri daripada kejohanan itu sambil menjelaskan jadual saingan Piala Negara-negara Cafa 2025 tidak pernah berubah.
Dalam kenyataannya pada Rabu, Cafa menegaskan penyertaan Malaysia sebelum ini telah disahkan lebih awal dengan kesedaran penuh terhadap tarikh dan jadual kejohanan yang tidak pernah diubah sejak awal.
Penarikan diri Harimau Malaya pada saat-saat akhir terutama selepas undian dibuat telah mengganggu kelancaran penganjuran kejohanan, kata kenyataan itu lagi.
“Selepas apa yang berlaku, mana FAM nak letak muka? Perkara sebegini bukan sahaja memalukan negara tetapi menjejaskan hubungan dengan penganjur serta konfederasi lain,” kata pemerhati sukan tempatan, Mohd Sadek Mustafa, seperti dipetik Sinar Harian.
Menyifatkan tindakan FAM itu sebagai tidak profesional dan mencemarkan imej bola sepak negara di mata dunia, keputusan menarik diri pada saat-saat akhir menunjukkan kegagalan FAM dalam merancang dan mengurus kalendar pasukan kebangsaan dengan baik.
“FAM kena lebih matang dan profesional. Keputusan yang dibuat seperti ini langsung tidak membantu dalam usaha meningkatkan taraf Harimau Malaya di peringkat antarabangsa,” tambahnya.
Senada dengannya, pengkritik bola sepak tempatan Pekan Ramli menyimpulkan Harimau Malaya sepatutnya membuat keputusan menarik diri dari awal bagi mengelak implikasi lebih besar selepas menyedari mereka sebenarnya tersilap percaturan.
“Sepatutnya dari awal pengurusan pasukan kebangsaan menarik diri sebab mereka sudah tahu atau lebih arif mengenai perancangan pasukan. Mereka pasti sudah semak kejohanan itu di luar kalendar Fifa.
“Mungkin mereka silap membuat percaturan kerana kejohanan itu memang kita sudah tahu termasuk tarikh tidak pernah berubah dan kita tahu juga bila kalendar rasmi Fifa. Pemain warisan beraksi jauh di Argentina, Sepanyol dan Colombia, jadi mereka perlukan masa juga untuk sertai pasukan,” katanya.
Barangkali ada saja perlawanan bola sepak yang berlangsung setiap jam di merata pelosok dunia yang terbahagi kepada pelbagai zon masa. Pendek kata, bola sepak tidak pernah tidur pada bila-bila waktu pun setiap hari.
FAM — tidak terkecuali – tidak boleh terlelap walau sedetik pun, lebih-lebih lagi apabila ia membabitkan hubungan dengan negara luar yang menghormati Malaysia.
Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.