
Nampaknya sehari dua ini masih belum reda lagi heboh tentang kumpulan 4U2C dengan bekas pengurus/penerbit mereka mengenai soal hak cipta lagu. Masing-masing mendakwa mereka benar. Man Senoi dan Mama Rap selaku watak yang memainkan peranan mencungkil bakat kumpulan 4U2C, mempertahankan hak mereka manakala 4U2C pula menyatakan yang undang-undang tidak menghalang mereka menyanyikan lagu milik Man Senoi atas pentas konsert. Ini telah mengheret beberapa penggiat seni lagu turut sama memperkatakan tentang hak cipta. Ternyata isu hak cipta ini masih belum benar-benar difahami oleh penggiat seni serta pemain industri atau mungkin ada lubang di celah-celah akta ini yang masih boleh dilolos. Warganet apatah lagi, yang tak tahu pun masuk komen belaka. Ada yang menyebelahi Man Senoi, ada yang menyokong 4U2C. Dalam bergaduh tentang pemilikan hak ini, wajar kiranya untuk kita gunakan sifat timbang rasa secara baik dan profesional. Bak kata orang, untuk kali terakhir. Atau, adakah kerosakan perhubungan sudah tidak boleh diperbaiki lagi?
Itu satu hal. Yang masih lagi tak habis-habis bertelagah sejak dua-tiga tahun lepas ialah isu kumpulan XPDC terpecah tiga. Ada XPDC Militia dan ada XPDC Kita Peng-Yu. Ini terdiri daripada ahli yang pernah ada album. Tetapi, ada antara anggota dua band ini masih berkawan dan dilihat berbalas komen secara baik antara satu sama lain. Yang kelakarnya, timbul pula sebuah band bernama Real XPDC di mana barisannya tak ada seorang pun anggota asal dalam salah satu album kumpulan rock kesayangan rakyat itu. Bergaduh pula warganet membela band pilihan mereka atau mengutuk band mana satu yang tak mereka berkenan. Menariknya, band Real XPDC pun ada penyokongnya juga. Pelik! Selain isu XPDC, isu kumpulan Search terbelah dua dan kumpulan Ukays pun ada UK’s. Eh! Macam-macamlah hingga kita pun naik sibuk memerhati sambil makan bertih jagung.
Ketika seorang kawan saya dari luar negara bertanya apa yang menarik dan unik tentang orang Melayu, saya jawab lihat kumpulan XPDC. Dan semestinya, yang terkini – isu 4U2C. Ha! Ha! Jangan salah anggap. Maksud saya, bukanlah semata-mata tentang kumpulan tersebut atau semata-mata tentang bangsa Melayu itu sendiri. Tetapi, isu ini secara tak langsung telah menjadi lambang dan petunjuk penyakit bangsa kita ini. Perihal orang kita yang tak mahu belajar tentang hak serta tidak mahu menyelesaikan awal-awal tentangnya. Ini termasuklah tentang harta pusaka. Sebab itu kita tak hairan dengar adik-beradik, saudara-mara dan ipar duai bergaduh berebut harta mak bapak atau tok nenek. Orang kita, tentang hibah dan faraid pun masih tak faham dan tidak mahu bergerak untuk memahamkan. Selagi tak kena, kita malas ambil tahu. Dah terjelepuk baru menggelupur sana-sini.
“Apa kau ingat aku dah nak mati ke? Tak sabar nak ambik harta aku?” kata bapa kita.
Memperkatakan tentang hibah atau harta pusaka menjadi satu kepantangan bagi sesetengah orang kita. Membincangkannya awal-awal dianggap tak elok. Macam tak hormat orang tua dan mengharapkan mereka mati. Akibatnya apabila mak bapak meninggal dunia, anak beranak jadi susah kena panjat ke sana ke mari uruskan bab pusaka. Mulalah keluarga berantakan lebih-lebih lagi bila ipar duai pun masuk campur.
Di sini kita lihat hanya mereka yang berkesedaran tinggi sahaja berjaya menyelesaikan semua urusan pembahagian harta pusaka sama ada hibah atau wasiat sejak awal lagi demi untuk mengelak kekecohan. Bukan tak pernah berlaku, tiba-tiba tak pasal-pasal ada saudara-mara yang entah dari mana muncul mengaku dia pun berhak ke atas harta orang tertentu. Ada pula, tak semena-mena muncul isteri lain dan anak-anak lain. Tak ke haru? Seeloknya selesaikanlah sementara masih hidup.
Orang kita juga selalu ambil mudah dan kemudian terlalu bersangka baik. Ini bukan tak bagus tetapi ia tak selamat. Langkah paling tepat harus ada tindakan yang bukan sahaja betul tetapi juga selamat. Jika ada ahli keluarga atau kawan-kawan nak pinjam duit dengan jumlah yang besar misalnya, kita walaupun tak berapa senang hati akan beri juga tanpa ada janji dalam bentuk hitam putih. Pakai janji mulut saja bila mahu bayar semula. Akibatnya, duit dilarikan. Hutang tak bayar. Bila ditanya kenapa tak buat perjanjian, kita kata takkanlah dengan adik-beradik dan kawan-kawan sampai nak sain perjanjian?
Itulah silapnya kita sebab terlalu percaya. Alamatnya yang terperenyuk, kita ini yang berniat baik untuk menolong. Yang ditolong, selamba sahaja bersuka ria.
Kalau kita jujur dan ikhlas, ingatlah – bukan semua orang macam kita. Meskipun mungkin pakaiannya kemas, mulutnya manis mengucapkan tasbih dan tahmid tapi kalau mereka itu ‘kaki klepet’, tetaplah ‘klepet’. Kalau kita jenis tak berkira, belum tentu orang yang kita tak berkira itu sama macam kita.
Soal hak cipta, berebut nama band, menggunakan karya orang lain tanpa memberikan kredit atau bayaran – ini semua berlaku kerana kesedaran terhadap hak tak diambil peduli. Orang kita kebanyakannya bersikap takut untuk berterus-terang pada peringkat awal. Biarlah, biarlah. Sabar. Sehinggalah apabila kesabaran tak dapat ditahan lagi pada hujungnya, maka pecahlah pergaduhan. Waktu itu semua orang akan nampak kitalah yang buruk sebab kita melenting dan marah sedangkan orang yang menipu kita itu tenang sahaja. Biasanya, orang yang berniat jahat akan melangkah setapak lebih laju dengan segala perancangannya. Modus operandinya ialah mencari sokongan terdekat seramai mungkin dan kemudiannya berpura-pura menjadi mangsa penganiayaan. Penyudahnya orang yang menolongnya akan tersingkir. Sebab itulah perlunya perjanjian hitam putih.
P Ramlee sudah ajar dalam filem Tiga Abdul, apa-apa urusan harus ada ‘agreement’. Apabila Abdul Wahab dan Abdul Wahib membolot segala harta, mereka tahu Abdul Wahub tak boleh bawa ke mahkamah kerana ‘ayahanda tidak membuat hitam putih’.
Kesimpulannya, apa yang berlaku dalam isu yang saya sebutkan pada perenggan awal tadi memang ada sangkut-pautnya dengan penyakit bangsa kita ini. Kita ambil mudah, terlalu lurus bendul dan senang percaya walhal kepercayaan harus diikat dengan pemeteraian perjanjian secara profesional. Mesti sama-sama mencapai persefahaman. Kata orang, biar kita bergaduh dahulu ketika mula-mula hendak berbuat sesuatu jangan berantak di kemudian hari sehingga kita hilang hak sendiri. Akhirnya, yang dikejar tak dapat dan yang dikendong berciciran.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.