
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berkata, perkara itu akan dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) esok.
“Saya akan dapatkan angka dan kenyataan akan dibuat selepas selesai MMKN esok untuk menjelaskan beberapa perkara tentang influenza, beberapa kes yang berlaku di sekolah dan langkah susulan akibat bencana yang berlaku,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Anugerah Kecemerlangan Sagong Tasi Negeri Selangor 2025 di Shah Alam, hari ini.
Beliau berkata, Yayasan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) setakat ini telah menyalurkan bantuan bencana berjumlah RM400,000 untuk sekolah, manakala peruntukan di bawah Tabung Bencana sebanyak RM500 untuk sebuah rumah yang terjejas akan diberikan kepada mangsa.
Berdasarkan laporan awal, katanya, sekurang-kurangnya RM200,000 hingga RM400,000 diperlukan untuk pembaikan semula sekolah yang turut dibadai ribut.
“Kejadian ini adalah antara yang terburuk dalam tempoh tiga, empat tahun kebelakangan ini, biasanya bencana ini berlaku di kawasan utara Selangor seperti di kawasan bendang Sabak Bernam,” katanya menambah, peruntukan untuk mangsa mungkin ditambah dan kerosakan rumah perlu dinilai sebelum sebarang langkah diambil.
Dalam kejadian kira-kira 4.15 petang semalam, lima sekolah, sebuah dewan dan lebih kurang 40 rumah dilaporkan mengalami kerosakan.
Antara kawasan terlibat ialah SMK Sijangkang Jaya; SK Sijangkang Jaya; SK Kampung Medan; SRA Kampung Medan; SK Jalan Tanjung; Dewan Wawasan Batu 9; Pejabat Penyelaras DUN Sijangkang; kawasan perumahan Batu 9; dan kawasan industri Taman Sijangkang Jaya.
Sehubungan dengan itu, sebuah pusat pemindahan sementara (PPS) diaktifkan bagi menempatkan 18 individu daripada lapan keluarga susulan kejadian ribut itu.