Saravanan cadang Lebuh Ampang dinamakan ‘Chetty Street’

Saravanan cadang Lebuh Ampang dinamakan ‘Chetty Street’

Timbalan Presiden MIC berkata langkah itu akan menghargai peranan penting komuniti Chettiar dalam membentuk ekonomi awal Tanah Melayu.

lebuh ampang
M Saravanan berkata jalan itu suatu ketika dahulu dikenali sebagai ‘Chetty Theru’ atau ‘Lorong Ceti’ kerana pernah menjadi pusat kewangan bagi komuniti pedagang India Selatan. (Gambar Wikipedia Commons)
PETALING JAYA:
Timbalan Presiden MIC M Saravanan mencadangkan Lebuh Ampang di Kuala Lumpur dinamakan semula sebagai ‘Chetty Street’ bagi menghargai sumbangan bersejarah komuniti Chettiar terhadap pembangunan ekonomi Tanah Melayu.

Ahli Parlimen Tapah berkata, jalan itu suatu ketika dahulu dikenali sebagai ‘Chetty Theru’ atau ‘Lorong Ceti’, kerana pernah menjadi pusat kewangan bagi komuniti pedagang India Selatan, terutama dalam bidang peminjaman wang dan kewangan tidak formal.

“Mereka bukan sekadar pemberi pinjaman, tetapi pemangkin impian, pembina industri, dan arkitek senyap kepada kebangkitan ekonomi Tanah Melayu,” katanya dalam kenyataan.

Saravanan berkata, sejak awal abad ke-19, pemodal Chettiar menjalankan operasi dari rumah kedai sederhana, menawarkan kredit kepada pelombong bijih timah, pemilik ladang getah dan peniaga kecil ketika bank-bank British enggan memberi perkhidmatan kepada usahawan tempatan.

Beliau berkata, sumbangan komuniti itu amat penting dalam membangunkan industri getah dan bijih timah di Tanah Melayu, yang kemudian menjadi tonggak ekonomi kolonial.

Katanya, penggunaan sistem catatan bergu perakaunan, pembiayaan mikro yang disokong surat janji hutang dan geran tanah, serta amalan pinjaman berasaskan kepercayaan menjadikan mereka perintis dalam dunia kewangan Asia.

“Menamakan semula Lebuh Ampang bukan sekadar simbolik, tetapi pemulihan kebenaran sejarah, pengiktirafan terhadap legasi, dan satu sambutan terhadap keusahawanan berbilang budaya,” kata Saravanan.

Bekas menteri itu turut menyeru supaya identiti sejarah Lebuh Ampang sebagai pusat kewangan dikekalkan bagi mendidik generasi akan datang tentang keusahawanan diaspora dan kewangan tidak formal, selain memupuk nilai keterangkuman sebagai sebahagian daripada naratif kebangsaan.

“Biarlah nama Chetty Street bukan sekadar tertera pada papan tanda, tetapi hidup dalam hati setiap rakyat Malaysia yang melangkah di jalan itu,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.