
Pengerusi BN berkata, proses pembentukan kerajaan negeri kini berjalan mengikut aturan selepas parti yang mendukung kerajaan pimpinan Hajiji Noor diminta menghantar nama calon masing-masing.
“Kita telah diminta (mengemukakan senarai calon) dan BN telah pun menyerahkannya,” katanya dalam sidang media selepas taklimat situasi banjir negara di Pejabat Daerah dan Tanah Bagan Datuk, Perak, menurut Sinar Harian.
Zahid berkata, kerjasama antara parti dalam gabungan itu terutama hubungan dengan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berada dalam keadaan baik dan tersusun.
Katanya, koordinasi terjalin itu penting untuk memastikan proses pembentukan kerajaan negeri berjalan lancar tanpa pertikaian yang boleh menggugat kestabilan politik.
“Saya sendiri telah menghubungi ketua menteri yang baharu (Hajiji) dan perdana menteri (Anwar Ibrahim) bagi memastikan kestabilan politik di Sabah dapat dicapai.
“Walaupun pada peringkat awal, mungkin kecukupan majoriti mudah di kerajaan negeri itu dipertikai, tetapi jelas usaha-usaha yang dilakukan secara terselaras membuahkan hasil.
“Saya juga berterima kasih kepada Yang di-Pertua Negeri Sabah atas nasihat dan pandangan diberikan,” katanya.
BN hanya menang enam kerusi daripada 45 ditandingi pada PRN Sabah ke-17 Sabtu lalu, sekali gus prestasi terburuknya dalam tempoh beberapa dekad.
Terdahulu, Pemuda Parti Gagasan Rakyat Sabah (PGRS) menegaskan pendirian menolak penyertaan BN dalam kerajaan negeri.
Sayap itu berkata, GRS sudah memperoleh majoriti selesa bagi membentuk pentadbiran negeri, dengan 29 kerusi dimenangi GRS sendiri, lima (bebas), tiga (Upko), dan masing-masing satu daripada Pakatan Harapan dan KDM, di samping dua kerusi STAR.
Katanya, BN sendiri sebelum ini enggan bekerjasama dengan GRS, malah melancarkan serangan politik terhadap gabungan itu dan kepimpinan ketua menteri.
Semalam, Setiausaha Agung, Umno Asyraf Wajdi Dusuki, mengesahkan BN memberi sokongan untuk membentuk kerajaan Sabah dengan Hajiji sebagai ketua menteri.
Zahid sebelum ini berkata, BN sedia bekerjasama dengan parti yang ‘sehaluan’ bagi menubuhkan kerajaan negeri.