
Suatu petang saya dan isteri masuk ke sebuah kafe di pinggir Kuala Lumpur untuk menunaikan upacara harian kami iaitu – mengopi. Tak sangka ada beberapa orang kenalan turut berada di situ kerana rupanya di kafe tersebut sedang berlangsung program persembahan yang dibuat secara bulanan. Ada nyanyi-nyanyi dan main muzik oleh anak-anak muda yang berbakat tetapi tidak popular di dunia hiburan arus perdana. Mereka berada di dunia hiburan alternatif. Sejak dahulu kami memang banyak berada di program macam ini, luar daripada lingkungan yang selalu kita nampak di kaca TV. Di luar arus perdana ramai saja yang berbakat besar malah karya mereka sangat mengagumkan. Sehinggalah jika bernasib baik mereka berjaya lolos naik menjadi masyhur di dunia popular.
Saya dan isteri terhibur dengan persembahan anak-anak muda ini. Bagaimanapun, bukan anak muda sahaja tetapi turut membuat persembahan adalah seorang pak cik sekitar 60-an usianya. Berpakaian ringkas dan ‘rugged’, berambut paras bahu yang sudah pun putih, bagi saya memang cukup ‘stylo’. Dia menyanyi dua buah lagu lama sambil memetik gitar akustik. Antara nyanyian dan petikan gitar, dia selangi juga dengan monolog menjadikan persembahannya menarik. Pak cik ini mendapat tepukan gemuruh. Saya dapat tahu bahawa dia memang ‘otai’ di kawasan situ dan sering berpartisipasi dengan program di kafe ‘hipster’ tersebut. Kira mesti ada slot khas untuk dia sebagai penghormatan daripada anak-anak muda ini.
Sebaik persembahan daripada semua peserta terlibat selesai, pengacara mengumumkan slot seterusnya ialah ‘open mic’, yang mana jika ada penonton ingin naik ke pentas membuat sebarang persembahan sangat dialu-alukan. Maka naiklah dua tiga penonton menyanyi. Isteri saya mencabar untuk saya pergi. Saya tak mahu kerana tak bersedia tetapi apabila isteri terus menggalak, saya pergi juga ke pentas. Saya memperkenalkan terlebih dahulu nama pena saya dan kerjaya sebagai kolumnis bebas di Free Malaysia Today. Kena ‘promote’ jugalah, kan? Kemudian saya pun melantunkan dua sajak karangan saya yang memang disimpan di dalam nota telefon pintar. Gaya saya setiap kali ‘perform’ memang begitulah; bagi sesiapa yang biasa menonton tahu yang saya ada gelombangnya. Ada baris dibaca tenang, ada yang mendatar meleweh dan tiba-tiba suara menjadi keras, kuat dan melaung seperti orang marah. Sambil itu saya sempat melirik respons penonton yang diam kerana beri tumpuan penuh terhadap saya. Sehabis persembahan, saya mendapat tepukan kuat.
Selepas saya, ada seorang budak perempuan naik menyanyi. Saya sambung minum sambil isteri saya ‘melaporkan’ kepada saya reaksi penonton yang melihat saya baca sajak tadi.
“Semua orang terdiam, bang,” kata isteri saya kekaguman. Biasalah, isteri memang begitu. Dialah peminat kita paling setia kalau kita bagus dan jangan lupa dia jugalah pengkritik kita paling berani jika kita gagal mempamerkan kualiti yang baik. Itu kita kena hargai.
Tiba-tiba pak cik ‘otai’ yang menyanyi tadi naik semula ke atas pentas. Dia berdiri di mikrofon dan berkata ingin sekali lagi membuat persembahan. Dia pun membaca sebuah sajak dengan suara keras dan tangan tergawang-gawang. Selepas sajaknya habis, dia pun bercerita sedikit sejarah silam dia yang dahulunya memang kaki karang sajak. Dipetiknya nama beberapa penyajak dan dia bercerita yang ketika muda dia selalu lepak bersama penyajak-penyajak tersohor tanahair di Rumah Pena dan di markas Anak Alam.
“Dia terkejut dengan persembahan abang tadi. Itu yang dia tiba-tiba naik pentas sekali lagi mahu tunjuk dia pun ‘terer’,” kata isteri saya.
Saya hanya ketawa. Walaupun ada rasa begitu tetapi saya nafikan. Kedatangan saya ke situ hanya mahu mengopi dan saya naik pentas hanya untuk meraikan program, tiada niat lain. Bukan mahu mencabar sesiapa.
Tiba-tiba dua kenalan saya yang turut ada di situ datang ke meja saya. “Dia tergugat dengan abang tu. ”
“Aduh! Takkanlah macam tu,” kata saya.
“Iya!” jawab mereka yang senada dengan isteri saya. “Dan-danlah dia petik dia kenal sasterawanlah, dia lepak Rumah Pena semualah. Ha! Ha! Ha!”
“Ramai je orang boleh ‘claim’ macam tu. Konon mereka itu seangkatan seniman lamalah, ataupun dialah otai reformasi yang kena hentam belantanlah. Biasalah. Yang pasti, dia panas punggung lepas abang baca sajak,” ujar kenalan saya tadi. Tak tahu sama ada dia bersungguh atau sengaja nak mengusik saya. Saya tak ambil serius sangat dengan dakwaan mereka. Tetapi sebelum meninggalkan kafe, saya sempat menemui otai itu dan bersalam. Saya memuji persembahan dia. Dia ketawa tapi memang saya berasa senyumannya tawar dan ketawanya hambar.
“Nampak tak dia rasa tergugat?” soal isteri saya.
Barangkali! Tetapi perkara tergugat ini bukan perkara baru. Rasa ‘insecure’ memang benar-benar wujud. Ia ada di dalam bilik darjah, di universiti, di pejabat, di bidang pekerjaan atau di dalam keluarga sendiri. Tentang seseorang yang lebih tua atau lebih berkedudukan berasa tercabar apabila melihat orang muda atau ‘junior’ mendapat perhatian lebih. Atau berasa yang muda, baru dan junior ini mampu menewaskannya sampai boleh membuat dia tersingkir.
Lain tempat lain cabarannya tetapi rasa tergugat ini cukup tidak sihat dalam usaha mengejar kemajuan. Ada bakat baharu yang sedang meningkat naik tetapi dek kerana ketua jabatannya berasakan ‘budak’ ini membahayakan kedudukannya, maka apa sahaja idea daripada budak ini akan disekat.
“Mula-mula aku tak percaya. Tapi kemudian aku berpakat dengan kawan aku, si B”. Cerita kawan saya lama dahulu ketika dia bertugas sebagai pemberita di sebuah akhbar mingguan.
“Tulisan aku selalu kena ‘reject’ dengan editor tu. Pelik. Aku dan si B pun buat rancangan. Tulisan aku, aku bubuh nama B. Manakala rencana tulisan B diletakkan nama aku. Kau tahu apa jadi? Tulisan aku yang dibubuh nama B diambil manakala tulisan B atas nama aku kena ‘reject’. Apa maknanya tu?”
Sekecil-kecil perkara ini berlaku juga dalam lingkungan keluarga kita. Macam yang kita tonton dalam drama TV itulah! Persaingan sesama menantu untuk merebut kasih mak mentua. Perebutan antara Pak Lang dan Pak Teh untuk menjadi bapa saudara yang paling disayangi oleh anak-anak buah. Dari situ berlakulah pakatan dan rancangan sebuah kumpulan yang sekepala untuk membusukkan nama seseorang. Biasanya majoriti akan dilihat benar, yang minoriti akan tewas. Begitulah yang berlaku. Bunyinya lucu tapi jangan kata tak berlaku. Aneh-aneh manusia ini. Untuk meraih perhatian sanggup menikam belakang. Memang jijik budaya ini. Lambat nampaknya kita nak maju selagi gejala macam ini ada.
Lebih parah kalau gejala ini berlaku di peringkat atasan. Di peringkat jabatan, di peringkat kepimpinan parti politik sehinggalah kepada kepimpinan negara. Reformasi 1998 kalau kita lihat sebenarnya adalah pertembungan kuasa dua pemimpin teratas negara. Si otai mula berasa gelisah apabila junior semakin mengukuhkan kedudukan. Dua junior sebelum ini telah ditewaskan tetapi junior yang semakin hebat ini nampaknya liat. Dan…ya! Kita pun laluilah era reformasi yang menyaksikan ramai menjadi mangsa korban gara-gara ‘mereka’ berdua. Yang kecil-kecil di tepi jalan pun sampai hilang pekerjaan dan ada yang sehingga hari ini masih terkial-kial mencari rezeki manakala pihak yang berlawan di atas, hidup tetap sedap.
Perangai ‘cah keting’ atau cantas-mencantas disebabkan berasa tergugat ini barangkali sudah terisi secara fitrah di dalam hati perut manusia. Seperti dengkinya iblis kepada Adam. Seperti tergugatnya Qabil kepada Habil. Seperti si Kundor menyorokkan anak tirinya, Bawang Merah daripada putera raja kerana khuatir menggugat peluang anaknya sendiri, si Bawang Putih. Bila manusia lahir ke dunia, perangai ini sudah termasuk di dalam pakejnya sekali. Tinggal ia ketara atau tidak sahaja. Sebab itulah datangnya agama, iman dan ihsan untuk mensucikan kebusukan ini.
Alangkah indahnya jika sama-sama berpadu tenaga demi mengejar impian tanpa perlu ada rasa ingin menjadi juara. Betapa eloknya jika sama-sama merasa dan sama-sama berbakti. Percayalah kebolehan diri dan yakini rezeki yang dikurnia Ilahi. Pasti aman damai.
Saya pernah duduk dalam jabatan, pernah berada di pusat kekuasaan dan sudah semestinya mempunyai pertalian dalam kekeluargaan. Jika didapati di situ ada persaingan, ada pertembungan untuk mendapat kedudukan dan pangkat, atau pertandingan merebut kasih-sayang, saya angkat kaki. Saya tidak berminat dengan sebarang perlawanan. Kalau ada keikhlasan, jalankan sahaja apa yang perlu dibuat. Tak timbul soal siapa gugat siapa. Kalau anda mahu, ambillah. Saya tak mahu berebut. Saya memilih untuk beralah.
Artikel ini ialah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.