Elak pertembungan kunci menang PRN Sabah, kata Saifuddin

Elak pertembungan kunci menang PRN Sabah, kata Saifuddin

Ketua setiausaha PH berkata beliau diamanahkan ketuai rundingan dengan BN dan GRS bagi elak atau kurangkan pertembungan dengan rakan kerjasama.

Ketua Setiausaha PH Saifuddin Nasution Ismail berkata walaupun rundingan telah dimuktamadkan, masih ada permintaan daripada semua parti berhubung pembahagian kerusi bagi PRN Sabah. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Pakatan Harapan (PH) yakin kunci utama meraih kemenangan pada PRN Sabah ke-17 ialah mengelak sebarang pertembungan dengan Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS).

Ketua Setiausaha PH, Saifuddin Nasution Ismail, berkata beliau diamanahkan Pengerusi PH, Anwar Ibrahim untuk mengetuai rundingan dengan BN dan GRS bagi mengelak atau meminimumkan pertembungan dengan rakan kerjasama.

Pengarah bersama PRN Sabah itu berkata, rundingan pembahagian kerusi dengan BN menunjukkan hasil positif apabila tiada pertembungan antara kedua-dua parti berkenaan, manakala rundingan dengan GRS turut dimuktamadkan.

“Idea terbaik (rundingan kerusi) adalah elak (pertembungan) sama sekali, tetapi kalau tidak dapat elak, minimumkan sedapat mungkin. Tujuannya adalah meningkatkan kebolehmenangan.

“Itu yang saya selesaikan (rundingan kerusi) lebih kurang seminggu lepas, bila saya susun untuk GRS bertemu dengan Datuk Seri Anwar di Kuala Lumpur diikuti dengan pertemuan BN,” katanya dalam temubual eksklusif dengan Bernama di pejabatnya.

Beliau berkata, meskipun rundingan telah dimuktamadkan, masih wujud permintaan daripada semua parti berhubung pembahagian kerusi bagi PRN Sabah.

“Sehari dua ini ada satu atau dua permintaan di pihak BN, GRS serta PH. Saya percaya sehingga hari penamaan calon, satu atau dua kerusi itu masih boleh kita uruskan.

“Hakikatnya, kita dah pun muktamadkan (kerusi), tetapi dinamik (akar umbi) bawah itu membawa kepada permintaan, tapi umumnya saya boleh buat kesimpulan kita sudah selesaikan (rundingan dengan BN dan GRS).”

Menurutnya, proses rundingan kerusi tugas berat dan memerlukan masa panjang, namun pengalamannya sejak 1999 banyak membantu melancarkan proses itu.

“Proses rundingan ini ‘bottom line’ adalah kita mengelak sedaya upaya agar tidak berlaku pertembungan, tujuannya bagi meningkatkan kebolehmenangan kerana mengelak pertembungan sesama kita.

“Peranan saya lebih kepada melakukan rundingan kerusi…dan memakan masa lama, tekanan sangat berat dan tidak mudah sebenarnya.”

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 29 Nov ini hari pengundian bagi PRN Sabah, tarikh penamaan calon pada Sabtu ini dan pengundian awal pada 25 Nov nanti.

Sebanyak 73 kerusi Dewan Undangan Negeri dipertandingkan dan 10 calon PKR dilaporkan bakal bertanding.

Sepuluh kerusi itu sebahagian daripada 23 kerusi diperuntukkan kepada PH untuk ditandingi pada PRN Sabah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.