Juara: Pearly-Thinaah tebus kekecewaan di Terbuka Artik

Juara: Pearly-Thinaah tebus kekecewaan di Terbuka Artik

Wakil Malaysia hanya memerlukan 32 minit untuk menundukkan beregu Jepun dengan mata 21-7 dan 21-9.

Pearly Tan Thinaah Muralitharan
Beregu wanita negara, Pearly Tan-M Thinaah, menebus kekecewaan tahun lalu apabila muncul juara Terbuka Artik 2025.
KUALA LUMPUR:
Beregu wanita nombor satu negara, Pearly Tan-M Thinaah, menebus kekecewaan tahun lalu apabila muncul juara Terbuka Artik 2025 dengan aksi bertenaga di Arena Vantaan Energia, Vantaa, Finland.

Pilihan kedua kejohanan itu hanya memerlukan 32 minit untuk menundukkan beregu Jepun, Rin Iwanaga-Kei Nakanishi, dengan mata 21-7 dan 21-9 bagi meraih gelaran kedua dalam siri Jelajah Dunia BWF tahun ini, selepas Terbuka Thailand pada Mei.

Pearly-Thinaah, beregu nombor dua dunia, mempamerkan penguasaan penuh sejak awal permainan dengan corak serangan agresif dan pukulan kemas untuk mendahului 11-4 sebelum menutup set pertama 21-7 dalam masa 14 minit.

Momentum diteruskan pada set kedua apabila mereka terus menghukum lawan untuk mendahului 11-3, sebelum kesilapan Nakanishi yang gagal membalas pukulan Pearly menghadiahkan mata kemenangan 21-9.

Kemenangan ini merupakan kemenangan keenam daripada lapan pertemuan menentang pasangan Jepun itu sejak pertemuan pertama di Kejohanan Antarabangsa Sydney 2019.

Turut muncul naib juara Kejohanan Dunia 2025, Pearly-Thinaah sebelum ini meraih gelaran sulung musim ini di Terbuka Thailand, selain menamatkan cabaran sebagai naib juara di Terbuka Jepun, Terbuka Indonesia dan Masters Indonesia.

Pada edisi tahun lalu, mereka tewas 12-21 dan 17-21 kepada gandingan China, Liu Shengshu-Tan Ning di pentas final.

Selaku juara, Pearly-Thinaah membawa pulang hadiah wang tunai USD37,525 (kira-kira RM169,000), manakala Iwanaga-Nakanishi menerima USD18,050 (sekitar RM76,000).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.