PRU16: Pertembungan ‘sahabat’ PH-BN di Semenanjung sangat minimum, kata penganalisis

PRU16: Pertembungan ‘sahabat’ PH-BN di Semenanjung sangat minimum, kata penganalisis

Wong Chin Huat berkata jika berlaku pertembungan PH-BN pada PRU16, perpecahan undi akan buka ruang kepada Perikatan Nasional.

bn ph flag
Syaza Shukri menjangkakan ‘pertarungan persahabatan’ hanya berlaku di beberapa kerusi tertentu di Semenanjung pada PRU16, manakala Wong Chin Huat berpendapat pertembungan PH-BN tipis. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Walaupun berlaku ‘pertarungan persahabatan’ Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) dalam PRN Sabah ketika ini, tetapi penganalisis menjangkakan pertembungan sesama dua gabungan itu di Semenanjung pada PRU16 sangat minimum, jika mereka terus menjalin kerjasama.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, parti utama di Semenanjung masih berpengaruh dan mereka akan mengambil pendekatan mengelakkan pertembungan sesama rakan pada PRU16.

Beliau percaya kebanyakan kerusi akan dirunding untuk mengelakkan pertembungan BN-PH dan ‘pertarungan persahabatan’ dijangka hanya berlaku di beberapa kerusi tertentu.

“Walaupun PH lebih cenderung tiada pertembungan sesama rakan, tapi ia tak boleh dielakkan kerana di Sabah, PH kena akur Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan BN Sabah memang lebih kuat.

“Justeru, istilah ‘friendly fight’ muncul di Sabah sebagai langkah kawalan kerosakan,” katanya kepada FMT.

Ahad lalu, Perdana Menteri, Anwar Ibrahim menyifatkan pertembungan PH, GRS dan BN pada PRN Sabah sebagai ‘mesra dan biasa’ memandangkan politik Sabah mempunyai dinamika tersendiri, termasuk pembahagian kerusi serta kekuatan akar umbi berbeza mengikut kawasan.

Pertembungan antara GRS, BN dan PH berlaku di empat kerusi, iaitu Kemabong, Bandau, Moyog serta Karamunting.

Untuk rekod, pada PRN Sabah kali ini, GRS menjalin kerjasama dengan PH, yang turut berpakat dengan BN, tetapi tiada kerjasama antara BN dan GRS.

Mei lalu, sembilan cawangan DAP Melaka meluluskan usul membahagikan kerusi secara sama rata antara PH dan BN pada PRN akan datang, tetapi Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh membantah dengan berkata, BN tidak akan sesekali melepaskan sebahagian kerusi dimenanginya pada PRN lalu.

Pada 20 Mei lalu, Amanah Johor menggesa BN menyatakan pendirian sama ada PRN akan datang membabitkan pertandingan dua atau tiga penjuru.

Timbalan Pengerusi Amanah Johor, Dzulkefly Ahmad dilaporkan berkata, penjelasan itu penting bagi membolehkan PH Johor menentukan hala tuju strategik dalam menghadapi PRN akan datang.

Sementara itu, saintis politik, Wong Chin Huat dari Universiti Sunway berkata, tahap fragmentasi politik lebih rendah antara faktor utama mendorong ‘pertembungan mesra’ yang minimum di Semenanjung.

Katanya, PH dan BN juga bimbang ‘perpecahan undi’ akan membuka ruang kepada Perikatan Nasional, jadi dua gabungan pemerintah itu pada dasarnya akan mengikut prinsip menghormati status quo, iaitu rakan kongsi kekal bertanding di kerusi yang dimenangi mereka pada pilihan raya lalu.

“Rundingan utama hanya akan tertumpu kepada pembahagian kerusi yang kini berada di tangan parti lawan. Maka, kemungkinan pertembungan persahabatan antara PH-BN bukanlah sifar, tapi tetap tipis.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.