
Maka satu demi satu pihak pun membuat sokongan terbuka agar Nurul Izzah Anwar menjadi timbalan presiden Parti Keadilan Rakyat. Dinasti politik secara mudahnya diberi pengertian, selepas ibu atau bapa, maka anak cucu cicit tokoh yang sama pula akan meneruskan kepimpinan atau kuasa. Soalan seterusnya ialah, adakah fenomena dinasti politik ini sihat?
Pada 2009, Ernesto Dal Bo membuat satu kajian yang menarik mengenai hal ini, dan menjudulkan kertas ilmiahnya sebagai ‘Political Dynasties’. Ia terbit di jurnal berpengaruh, ‘The Review of Economic Studies’. Kajian Dal Bo menyorot kepada dinasti politik di Amerika Syarikat.
Ada dua hal yang penting untuk difahami di sini. Pertama, dinasti politik berlaku di mana sahaja. Ia berlaku meluas di AS, negara yang ‘terpaling demokrasi’; di India, negara demokrasi terbesar dunia; di Korea Utara, negara yang dianggap tiada demokrasi; di Iran, negara teologi-demokrasi malah di Malaysia, negara dengan demokrasi hibrid. Dinasti politik itu biasa.
Kedua, menurut Dal Bo; “apabila seseorang memegang lebih banyak kuasa, kemungkinan individu tersebut akan memulakan atau meneruskan satu dinasti politik menjadi lebih tinggi”. Oleh itu, kuasa politik dalam sistem demokrasi secara de facto menjadi boleh diwarisi.
Jika dipandang secara negatif, kita akan mendapati dinasti politik menghalang dan mengganjalkan pemimpin yang berpotensi untuk berkembang. Dalam hal ini, kasihanlah Rafizi Ramli, timbalan presiden yang sedang menyandang. Beliau berada di tebing genting.
Pihak yang melihat dinasti politik sebagai satu kehodohan mempunyai alasan untuk berhujah demikian. Ayesha Ali yang melihat bagaimana bantuan pembangunan diagih selepas banjir besar di Pakistan dalam kertasnya ‘Do Political Dynasties Hinder Development? Evidence from a Natural Disaster’ memperlihatkan taburan bantuan yang berat sebelah. Kita mungkin boleh menghujahkan betapa Pakistan kurang semak imbang berbanding Malaysia.
Siddharth Eapen George dan Dominic Ponattu dalam makalah akademik ‘Like Father, Like Son? The Effect of Political Dynasties on Economic Development’ pula melihat fenomena dinasti politik di India. Mereka mendapati bahawa penubuhan dinasti tidak mendorong ahli politik terkemudian untuk berprestasi lebih baik. Lojiknya seorang anak yang mewarisi dinasti politik bapanya terdorong untuk perlu melakukan lebih baik daripada ayah, namun; dalam masa sama mereka turut mewarisi pengundi atau penyokong yang setia kepada pendahulu justeru melemahkan insentif untuk berprestasi baik. Ini selalunya kerana, budaya kebergantungan kepada satu-satu kelompok politik (dalam hal ini dinasti) bermuarakan keputusan yang negatif.
Memang kalau dilihat secara permukaan, dinasti politik tidak menyokong persekitaran demokrasi itu sendiri. Ada banyak contoh di dunia ini untuk disandarkan.
Akan tetapi, gejala dinasti politik tidak sepenuhnya ‘tidak sihat’ meskipun dikait dengan fiil nepotisme-kronisme. Secara lojik, seseorang tokoh pemimpin inginkan penerus yang paling hampir dengan idealisme yang diyakininya untuk menyambung apa yang diterokainya. Ia juga untuk menjamin legasi dan tugas yang selalu dianggap belum selesai.
Jean Lacroix dalam kertasnya, ‘A Positive Effect of Political Dynasties: the Case of France’s 1940 Enabling Act’ pula menyorot dinasti politik di Perancis. Lacroix berpendapat dinasti politik mungkin berbeza mengikut asal usulnya dan bahawa dinasti demokratik – iaitu dinasti yang pengasasnya merupakan pendukung ideal demokratik – menunjukkan sokongan yang lebih kuat terhadap demokrasi berbanding dinasti lain. Maka susur galur yang mewarisi dinasti politik ini mungkin tampak melemahkan perwakilan dalam sistem demokrasi, namun ia juga boleh mengukuhkan kestabilannya dengan memastikan kawalan luar terhadap ahli politik. Oleh itu, beliau berpendapat kelemahan dan kelebihan dinasti politik perlu ditimbang antara satu sama lain. Dalam erti kata lain jika sesebuah negara, atau parti politik mempunyai mekanisme semak imbang yang baik maka dinasti politik boleh menjadi satu kelebihan yang berpanjangan.
Ada beberapa kes yang positif dalam hal dinasti politik. Salah satu kelebihan dalam hal ini adalah parti atau rakyat beroleh individu yang benar-benar berdedikasi kepada khidmat awam. Di AS misalnya, dinasti keluarga Kennedy menyediakan pelapis aktivis dan pemimpin yang komited. Rose Kennedy menghela sama anak-anaknya bersama ketika melakukan kerja kebajikan, dan mereka melihat sendiri kehidupan golongan yang kurang bernasib baik. Demikian juga Joe Kennedy mengajar anak-anak lelakinya cara membina hubungan politik dan mengurus rundingan sulit dalam hal ehwal politik. Maka penghasilan yang ada ialah adik-beradik Kennedy menjadi penggiat politik cekatan demi membuktikan mereka seperti orang tua mereka.
Di negara mundur seperti Filipina, dinasti politik juga pernah memberikan hasil yang berkesan. Dinasti politik pasangan Fernando (Bayani dan Marides) misalnya berjaya memimpin Marikina sebagai datuk bandar sepanjang 1992 sehingga 2010 dengan cekap. Marikina menjadi bandar salah satu bandar yang paling bersih, paling kurang birokrasi, dan paling berdisiplin di negara itu, bahkan selepas tahun-tahun terakhir Marides sebagai Datuk Bandar, bandar ini kekal mendapat kesan baiknya. Jika adapun penduduk Marikina yang mengkritik keluarga Fernando, mereka selalunya ialah penghuni baru datang, atau golongan liberal-kiri yang anti konservatisme.
Di Malaysia, hampir semua parti mengamalkan dinasti politik. Tidak perlu menuding jari kepada PKR. Ia berlaku dalam Umno, DAP, dan PAS. Ada dinasti Razak, dinasti Lim, atau dinasti Nik dan Hadi. Mungkin satu-satunya parti yang belum dijangkiti dinasti politik ini adalah Amanah.
Saya bukan ahli PKR dan tidak pasti apakah ada semak imbang dalam parti tersebut yang boleh menguruskan fenomena dinasti politik agar tidak terjerumus kepada kebobrokan. Terpulanglah kepada ahli PKR untuk membuat penilaian dan keputusan di musim pemilihan ini. Memilih atau tidak memilih dinasti politik, ia tetap demokratik jika dijalankan dengan penuh pencirian demokrasi. Namun, untuk memastikan dinasti politik ini memberi impak positif, dan bukannya negatif; kewarasan perlu ada. Ya, selain semak imbang yang kuat.
Apakah kewarasan itu? Mudah, ahli PKR mesti beringat yang hanya ada dua tahun lebih untuk mendepani pilihan raya umum seterusnya. Parti tidak dapat memasuki medan pertempuran jika ada pertelagahan berpanjangan, atau rajuk yang tidak berpantangan.
Selamat memilih.
Artikel ini adalah pandangan penulis dan tidak semestinya mewakili FMT.