
Oleh Dr Muzaffar Syah Mallow
Sudah sampai masanya pihak kerajaan mempertimbangkan dengan serius bagi mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi memantau tahap keselamatan di semua tapak pembinaan dalam negara kita khususnya tapak pembinaan berisiko tinggi yang boleh membawa kepada kejadian tidak diingini kepada orang ramai.
Ini susulan berita mengenai seorang lelaki dan wanita maut selepas sebuah kren statik tumbang dan menghempap kereta dinaiki mereka di Persiaran Astana, Klang.
Walaupun insiden terbaru yang berlaku itu masih dalam siasatan, namun isu melibatkan aspek keselamatan di kawasan tempat kerja khususnya di kawasan tapak pembinaan yang penuh dengan jentera berat, mesin serta alatan bahaya memerlukan proses pemantauan menyeluruh.
Untuk rekod ini bukanlah insiden terbaru yang berlaku, pada Ogos lalu seorang pemandu kereta wanita maut apabila kereta dipandunya dihempap besi penyangkut dipercayai terjatuh dari kren di tapak pembinaan di Jalan Raja Chulan, Kuala Lumpur.
Insiden itu dalam siasatan polis mengikut Seksyen 304A Kanun Keseksaan (Akta 574) kerana menyebabkan kematian dengan cuai.
Aspek keselamatan di tempat kerja perlu diberi keutamaan sama ada majikan mahupun pekerja. Semua pihak perlu saling bekerjasama meningkatkan kesedaran kepentingan menjaga keselamatan di tempat kerja kerana insiden kemalangan bukan saja akan melibatkan individu bekerja di tempat berkenaan malah akan memberi kesan kepada orang sekeliling.
Semua tempat kerja perlu mematuhi peraturan ditetapkan melalui Akta Keselamatan Dan Kesihatan Pekerjaan (AKKP) 1994 (Akta 514) yang dikuatkuasakan sejak 1994.
Akta 514 itu memberi fokus ke arah pembentukan sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan dalam negara.
Akta 514 itu menyediakan satu bentuk rangka perundangan bagi memupuk, merangsang dan menggalakkan mutu keselamatan dan kesihatan yang tinggi di tempat kerja dengan meletakkan tanggungjawab memelihara keselamatan dan kesihatan pekerjaan kepada semua pihak di tempat kerja terbabit.
Selain pematuhan Akta 514, pihak berkuasa berkaitan juga perlu menjalankan pemeriksaan di setiap kawasan pembinaan yang ada dalam negara kita bagi memastikan pekerja yang mengendalikan atau menjalankan sesuatu tugas terdiri daripada mereka yang betul pakar dalam bidang ditugaskan.
Pihak berkuasa juga perlu memastikan setiap pekerja terutama pekerja asing yang banyak bekerja di tapak pembinaan mempunyai permit, visa atau lesen sah seperti diperuntukkan Jabatan Imigresen.
Insiden kemalangan melibatkan kren tumbang hingga mengorbankan nyawa orang awam serta pekerja di dalam kawasan pembinaan tidak boleh dipandang ringan. Aspek pematuhan undang-undang serta polisi mengenai penjagaan keselamatan mesti sentiasa dipatuhi pada setiap masa.
Dr Muzaffar Syah Mallow ialah pensyarah kanan Fakulti Syariah & Undang-undang USIM.
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT.