Haiwan perlu bebas, zoo perlu diharamkan

Haiwan perlu bebas, zoo perlu diharamkan

Sahabat Alam Malaysia berpendirian zoo tidak lebih daripada taman hiburan dan perlu diharamkan.

S.M

S. M. Mohamed Idris

Peristiwa gorila ditembak di Zoo Cincinnati telah mendapat perhatian ramai. Ianya memang tragik untuk hilang walaupun seekor haiwan yang merupakan salah satu gorila yang paling terancam di dunia sama ada di zoo atau di habitatnya.

Keputusan untuk menembak gorila itu mencetuskan bantahan dari kumpulan pencinta haiwan dan pemuliharaan di seluruh dunia yang menganggap keputusan untuk menembak gorila itu sebagai satu peristiwa yang amat menyedihkan dan tragik serta “kematian yang tidak sewajarnya dan tidak masuk akal”.

Pembunuhan tidak berperasaan haiwan yang tidak bersalah itu tidak akan berlaku jika tidak kerana kecuaian ibu bapa. Adalah menjadi tanggungjawab ibu bapa serta penjaga untuk memastikan anak-anak dalam keadaan selamat di tempat seperti zoo dan taman negara dan tidak membiarkan mereka berfikir bahawa tempat seperti itu selamat bagi kanak-kanak.

Seorang ibu yang cuai telah menyebabkan kematian haiwan yang tidak bersalah. Pengarah zoo mempertahankan tindakan menembak itu dengan mendakwa bahawa gorila dalam keadaan gelisah dan keliru, dan ini memang dijangkakan; diburukkan lagi oleh kejahilan, mengerling, orang ramai yang menjerit yang menambahkan lagi kekeliruan dan ketakutan haiwan itu.

Seterusnya ini telah membawa kepada tindak balas mengerikan oleh Pasukan Respons Haiwan Berbahaya zoo tersebut.

Kontroversi ke atas kematian gorila ini mengikuti satu lagi insiden di zoo di Santiago, Chile beberapa minggu yang lalu, apabila dua ekor singa ditembak mati selepas seorang lelaki memasuki kandangnya dan berbogel dalam usaha untuk membunuh diri.

Dalam kes itu, pihak zoo juga mempertahankan tindakan mereka dengan berkata tiada ubat penenang yang cepat boleh didapati. Kemudian terdapat pula manusia yang tidak berakal iaitu seorang wanita yang melompat ke dalam kandang harimau di Zoo Toronto hanya kerana mahu mengambil topinya yang jatuh.

Insiden ini boleh dielakkan sekiranya mereka tahu bahawa tindakan mereka boleh mengakibatkan hidupan liar yang tidak bersalah dibunuh. Ini lanjutan daripada manusia yang tidak menggunakan akal.

Kurungan telah mengambil nyawa haiwan di zoo dan kini tiba masanya bagi Sahabat Alam Malaysia (SAM) bertanyakan persoalan asas yang lebih penting – kenapa kita memerlukan zoo?

Penyokong zoo sering berhujah bahawa institusi ini menjadi sumber pendidikan bagi orang ramai dan memainkan peranan dalam pemuliharaan dengan melindungi spesies terancam untuk ditempatkan semula ke dalam habitat asal.

Bagaimanapun, perspektif SAM amat berbeza. Mereka yang melihat haiwan di zoo menyaksikan haiwan dalam situasi tiruan yang tidak dapat menawarkan apa-apa nilai dalam bentuk pendidikan terutama sekali dalam zaman maklumat semasa, dan haiwan dijadikan trofi hidup yang dipenjara seumur hidup.

Berhubung pemuliharaan, zoo yang sering dikaitkan dengan pemuliharaan untuk menambah bilangan haiwan terancam ke dalam habitatnya semula terbukti satu fantasi kecuali berjaya bagi memperkenalkan semula singa tamarin emas yang dibiakkan di zoo ke hutan pantai Atlantik di Brazil.

Dalam kurungan, haiwan ini tidak lebih daripada menjadi pameran yang dikeluarkan dari ekosistem. Dengan menafikan fakta ini dan menggalakkan kanak-kanak untuk melihat haiwan liar dengan cara ini, kanak-kanak mempelajari bahawa haiwan ini hanya bernilai dalam hubungannya kepada kemampuan mereka untuk menghiburkan kita.

Pada hakikatnya, tidak kira berapa banyak pihak zoo cuba untuk meniru habitat asal haiwan liar, tiada yang boleh dibandingkan kepada kehidupan di dalam habitat asalnya bagi haiwan ini.

Bagi pemangsa seperti harimau, hidup dalam kurungan yang merupakan sebahagian kecil habitat semula jadi mereka dan dibekalkan dengan makanan, mereka kehilangan peluang untuk memenuhi kecenderungan liar mereka. Hasilnya singa yang dikurung dan hidupan liar lain yang hidup berkeliaran dalam kawasan yang jauh lebih luas mempamerkan tingkah laku yang stereotaip, simptom penderitaan mental.

Harambe mati disebabkan zoo memperhambakan gorila dan semua spesies hidupan liar lain untuk hiburan manusia. Kurungan dan penahanannya telah mengambil nyawanya.

Ini menguatkan lagi pendirian SAM bahawa zoo perlu diharamkan dan hentikan daripada menyimpan haiwan dalam kurungan memandangkan zoo tidak lebih daripada taman hiburan dengan sepanduk pendidikan yang hanya segelintir orang sahaja yang mengambil peduli untuk membacanya. Adalah menjadi hak semua haiwan untuk hidup bebas daripada eksploitasi dan hak mereka dilindungi oleh undang-undang.

S. M. Mohamed Idris ialah presiden, Sahabat Alam Malaysia, Pulau Pinang.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.