Tapir ‘penyeri’ taman agroteknologi Cherating mati dirempuh MPV

Tapir ‘penyeri’ taman agroteknologi Cherating mati dirempuh MPV

Tapir jantan seberat 120kg itu dilanggar sebuah MPV ketika melintas jalan di KM35 Jalan Kuantan-Kemaman.

tapir kena langgar kuantan
Taman Agroteknologi Mardi Cherating dalam hantaran di laman Facebook berkata tapir itu adalah penyeri dan disayangi mereka yang berkhemah di taman itu. (Gambar Facebook)
KUANTAN:
Seekor tapir jantan yang sering kelihatan di Taman Agroteknologi Mardi Cherating mati selepas dirempuh sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) di KM35 Jalan Kuantan-Kemaman, tengah malam semalam.

Pemangku Ketua Polis Kuantan Mohd Adli Mat Daud berkata kejadian kira-kira 12.10 tengah malam itu dipercayai berlaku ketika haiwan berkenaan melintas jalan sebelum dilanggar sebuah Perodua Alza dipandu lelaki berusia 41 tahun.

“Pemandu kenderaan itu bagaimanapun tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya dalam kenyataan.

Adli berkata bangkai tapir yang dianggarkan melebihi 120kg itu diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang untuk tindakan selanjutnya.

Sementara itu, seorang penduduk Badrol Hisham Mohamad, 44, yang merupakan antara individu terawal berada di lokasi kemalangan berkata beliau terus menghubungi polis dan Perhilitan supaya tindakan segera dapat diambil.

“Tapir berkenaan dipercayai dirempuh kereta yang dinaiki sekeluarga dari arah Kemaman menghala ke Kuantan berdekatan Taman Agroteknologi Mardi Cherating.

“Ketika kejadian terdapat orang awam yang memberhentikan kenderaan dan membantu mengawal lalu lintas kerana kedudukan tapir berada di tengah jalan dengan keadaan gelap dikhuatiri mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya yang lain,” katanya.

Taman Agroteknologi Mardi Cherating dalam hantaran di Facebook turut berkongsi kisah duka mengenai tapir itu yang merupakan antara keunikan taman berkenaan.

“Hilanglah antara keunikan di Taman Agroteknologi Mardi Cherating dan kehilangan besar buat pencinta haiwan ini.

“Akhirnya pergi tapir yang biasa menyerikan Taman Agroteknologi Mardi Cherating. Tapir ini merupakan haiwan terlindung namun biasa ditemukan mereka yang berkhemah di taman ini,” menurut hantaran itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.