Bunuh Anjing: Peka tak teragak-agak lapor SPRM

Bunuh Anjing: Peka tak teragak-agak lapor SPRM

NGO percaya wujud 'kemusykilan' dalam bayaran dibuat UPM terhadap kontraktor swasta untuk membunuh anjing liar di sekitar kampus.

Lebih 20 NGO membabitkan kira-kira 100 aktivis berhimpun di luar UPM gesa Naib Canselor Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan Pengarah Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Ng Yee Guan diambil tindakan.
KUALA LUMPUR:
Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam (Peka) tidak menolak kemungkinan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyalahgunaan wang dalam kes pembunuhan anjing di Universiti Putra Malaysia (UPM).

Presiden Rajesh Nagarajan berkata, pihaknya percaya wujud ‘kemusykilan’ dalam bayaran dibuat pihak universiti terhadap kontraktor swasta untuk membunuh anjing liar di sekitar kampusnya.

Katanya, kontraktor itu mengenakan RM400 kepada UPM bagi kerja melupus setiap ekor anjing liar, namun apabila Peka membuat penyamaran kadar dikenakan hanya RM220.

“Jadi kita nak SPRM siasat benda ini,” katanya ketika berhimpun di luar bangunan UPM.

Terdahulu, lebih 20 NGO membabitkan kira-kira 100 aktivis berhimpun dalam hujan di luar UPM menggesa Naib Canselor Ahmad Farhan Mohd Sadullah dan Pengarah Pejabat Pengurusan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Ng Yee Guan diambil tindakan susulan kes pembunuhan anjing.

Kumpulan itu membawa plakad ‘Hentikan pembunuhan genosid terhadap anjing jalanan di Malaysia’, ‘Hentikan kekejaman terhadap haiwan’ dan ‘Anjing juga ciptaan tuhan’.

Rajesh berkata, pihaknya memberikan tempoh hingga Khamis depan kepada kedua-dua mereka untuk membuat penjelasan atau Peka membuat laporan kepada SPRM termasuk berhimpun di bangunan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT).

“Selain itu, jika mereka tidak memberikan penerangan yang munasabah, saya telah diarahkan oleh anak guam saya untuk memfailkan suatu kes di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur iaitu menyalahgunakan kuasa sebagai seorang penjawat awam.

“Tiada sebarang tindakan yang diambil sehingga kini. Walaupun kami telah membuat laporan polis, kami telah pun mengadakan bantahan, masih tiada tindakan ke atas mereka,” katanya.

Awal minggu ini, Ketua Polis Serdang, Farid Ahmad, mengesahkan pihak berkuasa memulakan siasatan terhadap dakwaan membunuh anjing liar di kampus UPM, selepas seorang pengadu menyatakan tidak puas hati terhadap tindakan universiti yang dikatakan mengupah syarikat kawalan perosak swasta bagi tujuan itu.

Farid berkata, siasatan dijalankan bawah Seksyen 30(1) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (Akta 772) yang memperuntukkan hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun, atau kedua-duanya sekali.

Peka sebelum ini mendakwa UPM mengupah sebuah syarikat berpangkalan di Sentul untuk ‘membunuh’ anjing pada kadar RM400 seekor.

Satu invois bertarikh November 2024 yang didakwa dihantar kepada UPM menunjukkan caj untuk ‘menangkap dan melupuskan anjing liar’ namun tidak menyatakan kaedah pelupusan haiwan berkenaan.

Invois itu turut memaparkan beberapa cop rasmi didakwa milik UPM.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.