Zoo Negara rancang bawa masuk komodo, burung cenderawasih dari Indonesia

Zoo Negara rancang bawa masuk komodo, burung cenderawasih dari Indonesia

Timbalan Presiden Zoo Negara Rosly Lana perkara itu masih dalam perbincangan dan memerlukan rundingan rasmi kerajaan Malaysia-Indonesia.

komodo n cenderawasih
Dalam usaha menarik pengunjung ke Zoo Negara komodo dan burung cenderawasih akan dibawa masuk sekali gus menjadi tarikan utama.
AMPANG:
Zoo Negara merancang menambah dua lagi tarikan baharu iaitu komodo dan burung cenderawasih bagi memperkaya koleksi haiwan sedia ada sekali gus menarik lebih ramai pengunjung tempatan serta antarabangsa.

Timbalan Presiden, Rosly Lana, berkata rancangan itu kini dalam peringkat awal dan memerlukan rundingan rasmi antara kerajaan Malaysia dan Indonesia kerana melibatkan urusan antara negara (G2G).

“Jadi kita mohon dengan kerajaan Malaysia dan perlu diluluskan Indonesia.

“Sekarang masih dalam perbincangan,” katanya kepada FMT, mengulas langkah Zoo Negara menambah tarikan termasuk jenis haiwan untuk menjadi tatapan pengunjung, selepas panda gergasi dari China yang menjadi tarikan utama dihantar pulang dua tahun lalu.

Komodo, yang juga dikenali sebagai naga gergasi Indonesia adalah spesies biawak terbesar di dunia dan hanya ditemui di Kepulauan Komodo, Rinca, Flores dan beberapa pulau kecil lain di Indonesia Timur.

Haiwan pemangsa itu boleh mencapai panjang lebih 3m dan berat melebihi 70kg.

Kehadirannya dijangka menambah nilai pendidikan serta pemuliharaan kepada pengunjung terutama dalam memahami ekosistem reptilia purba.

Burung cenderawasih pula terkenal sebagai ‘burung syurga’ kerana bulunya yang berwarna-warni dan tarian mengawan yang menakjubkan.

Spesies itu banyak ditemui di Papua dan Maluku, dan menjadi simbol keindahan alam Indonesia.

Ketika ini, Zoo Negara menempatkan lebih 4,000 haiwan terdiri daripada lebih 300 spesies mamalia, reptilia, burung dan ikan dari dalam dan luar negara.

Antara tarikan utama ialah harimau Malaya, badak air, zirafah, tapir, singa Afrika serta koleksi burung tropika.

Sebelum ini, Zoo Negara juga pernah menjadi ‘rumah kedua’ kepada dua panda gergasi dari China – Fu Wa dan Feng Yi selama 11 tahun mulai Mei 2014 sebelum kembali ke republik itu Mei lalu.

Haiwan itu dipinjamkan bawah program pemuliharaan panda gergasi yang dimeterai Malaysia dan China sempena ulang tahun ke-40 hubungan dua hala kedua-dua negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.