Nanti kena tangkap! – Ibu

Nanti kena tangkap! – Ibu

Saya sering sahaja ditegur oleh emak saya, supaya jangan campur atau bercakap sembarangan kerana nanti kena tangkap.

 

shut

Oleh Khairul Naim Rafidi

Saya masih ingat ketika kecil dahulu, saya memang suka mencampuri dan ‘menyampuk’ perbualan orang lebih tua (pantang dalam kalangan masyarakat Melayu).

Saya tidak pasti sehingga sekarang, sama ada perilaku saya itu merupakan tabiat buruk atau tidak. Pada ketika itu, selepas sahaja tamat siri-siri perbualan orang tua (terutama hal berkaitan dengan politik), saya akan mengkritik ‘lubang-lubang’ hasil perbincangan tidak formal tersebut.

Lazimnya, saya sering sahaja ditegur oleh emak saya, supaya jangan campur atau bercakap sembarangan kerana nanti kena tangkap.

Saya jadi takut. Namun begitu, ketakutan itu cuma sementara, saya akan terlupa dan terus dengan tabiat tersebut. Pesanan emak saya membuatkan saya terfikir, ‘bercakap pun boleh ditangkap? Ingat mencuri sahaja boleh ditangkap’. Walau bagaimanapun, kata-kata emak itu saya lontar jauh-jauh.

Apabila masuk sahaja ke sekolah menengah, saya terus dengan tabiat tersebut. Tetapi kali ini berbeza, dengan bahan bacaan dan kematangan yang sedikit bertambah, saya mula faham maksud melontarkan pandangan atau berekspresi.

Selalu sahaja dahulu saya dipandang pelik dan jelik atas sebab berbeza pandangan. Namun begitu, saya tidak kisah, itu cerita lama. Mungkin saya akan ceritakan lain kali.

Sama ada malang atau tuah, tabiat ‘buruk’ saya menjadi semakin melampau dan ekstrem ketika melangkah ke program Pra Undang-Undang di UiTM Kuantan. Baru-baru ini, ketika melepak sambil melayan secangkir kopi, rakan-rakan ketika menuntut di Kuantan dahulu telah mengungkit kembali kisah ucapan saya di tepi Pantai Teluk Cempedak sejurus tamat acara larian pantai.

Beliau mengingatkan saya tentang ungkapan-ungkapan yang saya telah keluarkan pada waktu itu, antaranya kepentingan mengangkat budaya intelektualisme, aktivisme dan advokasi. Waktu itu rata-rata masih berumur 18 dan 19 tahun, mungkin agak sukar untuk kelompok tersebut memahami frasa-frasa tersebut, tetapi saya tidak peduli, saya mahu juga berekspresi.

Disebabkan tabiat ‘buruk’ tersebut, pernah sahaja saya dilucutkan jawatan sebagai pemimpin pelajar di kampus (lebih kurang tiga hari sahaja) kerana memberi ucapan di Dungun berkenaan dengan kebebasan akademik.

Pengucap mahasiswa lain ketika itu adalah Adam Adli, Safwan Anang dan Ekhsan Bukharee. Waktu itu saya berucap atas kapasiti sebagai Setiausaha Agung Kumpulan Aktivis Mahasiswa Independen (KAMI). Kemudian, dituduh pula berucap di atas pentas PAS. Tetapi, keputusan bagi perlucutan tersebut ditarik balik kerana tidak dibuat menurut undang-undang.

Saya masih juga tidak peduli. Jika ada sahaja ruang, saya akan terus melontar kata dengan fikrah dan faham saya pada ketika itu. Sehingga ke peringkat Sarjana Muda, saya masih dengan tingkahlaku yang sama.

Hari ini, saya di sedang menuntut di tahun akhir. Mungkin kerana sibuk dengan fail-fail yang makin menimbun, soalan-soalan tutorial yang kadang-kala menyesakkan, ruang saya untuk berekspresi seperti dahulu makin berkurang. Tetapi, saya masih seperti dahulu, tidak sesekali berubah.

Cuma untuk tulisan kali ini, satu sahaja tujuan saya.

Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada emak saya, kerana mengajar saya bahawa jangan bercakap sembarangan kerana nanti akan ditangkap. Saya berani untuk kata bahawa disebabkan ungkapan itulah, saya terus meneroka dan menggali sama ada benar atau tidak saya akan ditangkap.

Hari ini, kata-kata emak saya itu benar belaka, dan saya telah lihat di depan mata, bahawa bercakap adalah satu jenayah kerana ramai yang telah ditangkap. Maka, saya ingin memohon maaf kepada emak, kerana saya akan terus juga bercakap, tetapi bukan cakap sembarangan, saya akan terus baca dan faham kerana kebenaran akan terus kekal. Saya tidak akan lupa pesan emak.

Terima kasih dan selamat hari ibu!

Khairul Naim Rafidi adalah pengasas Sekolah Undang-Undang Rakyat (SUUR) dan mahasiswa tahun akhir undang-undang UiTM Shah Alam.

Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.