
Ketua Biro Guaman Pemuda PKR, Khairul Naim Rafidi, berkata permohonan AGC di bawah Kaedah 137 Kaedah-kaedah Mahkamah Persekutuan 1995 adalah peruntukan sah yang telah lama wujud, walaupun bersifat amat terhad.
Katanya, Kaedah 137 hanya boleh digunakan untuk mencegah ketidakadilan serius atau penyalahgunaan proses mahkamah, serta sama ada ambang undang-undang ketat itu dipenuhi bergantung kepada kuasa mutlak mahkamah tertinggi.
Tegasnya, permohonan itu tidak boleh dianggap pendengaran semula atau rayuan baharu.
“Ia tidak membenarkan penilaian semula merit keputusan (Julai 2025), dapatan fakta atau tafsiran undang-undang yang telah diputuskan.
“Oleh itu, tindakan memfailkan permohonan semakan di bawah Kaedah 137 tidak boleh dengan sendirinya ditafsirkan sebagai usaha untuk menghidupkan semula pendakwaan atau campur tangan eksekutif.
“Mengaitkan permohonan undang-undang ini secara langsung dengan perdana menteri adalah tidak selari dengan prinsip pengasingan kuasa di bawah Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan.
Khairul mengulas kenyataan bekas setiausaha agung Muda, Amir Hadi, semalam yang mendakwa beliau dimaklumkan AGC telah mengemukakan permohonan semakan dan satu pertuduhan baharu akan difailkan terhadapnya di bawah Akta Perhimpunan Aman.
Amir menyifatkan tindakan itu pengkhianatan terhadap agenda reformasi dan menegaskan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bertanggungjawab sepenuhnya kerana AGC di bawah Jabatan Perdana Menteri.
Amir, yang juga pengarah eksekutif NGO Mandiri, dibebaskan Ogos lalu daripada tuduhan gagal memberi notis mencukupi kepada polis berhubung satu perhimpunan dianjurkan pada 2022.
Mahkamah Majistret Kuala Lumpur memberikan pembebasan itu selepas Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman, peruntukan yang menjadi asas pertuduhan terhadap Amir, dibatalkan Mahkamah Persekutuan.
Pada Julai 2025, mahkamah tertinggi itu sebulat suara memutuskan mendenda penganjur gagal memberi notis lima hari sebelum mengadakan perhimpunan kepada polis, adalah tidak berperlembagaan.
Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan berkata, kerajaan telah melaksanakan moratorium terhadap prosiding undang-undang di bawah Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman sebagai sebahagian daripada agenda reformasi undang-undang.
Khairul menegaskan kerajaan tetap komited melaksanakan reformasi institusi dan memelihara kebebasan kehakiman sambil melindungi hak rakyat.
“Pemuda PKR berpandangan reformasi sebenar menuntut penghormatan terhadap proses undang-undang yang sah serta kesediaan untuk membenarkan institusi kehakiman menjalankan fungsinya secara bebas, profesional dan berperlembagaan, walaupun dalam situasi mencabar dan sensitif.
“Perbezaan pandangan politik tidak wajar dijadikan asas untuk mendakwa keseluruhan agenda reformasi telah dikhianati selagi proses undang-undang masih berjalan dan tertakluk sepenuhnya kepada keputusan mahkamah.”