Oleh David Marshel
35 tahun yang lepas iaitu pada 25 Januari 1981 negara diselubungi dengan berita yang amat memilukan apabila sekurang-kurang 32 orang disahkan meninggal dunia dalam tempoh dua hari di Lunas, Kulim akibat minum samsu murah. Selain kehilangan nyawa, ramai juga hilang keupayaan untuk melihat keindahan bumi buat selama-lamanya. Walau pun pada awalnya terdapat pelbagai pandangan dari pihak Kerajaan Persekutuan hinggalah peringkat pejabat daerah akan keperluan untuk mengharamkan samsu/arak dari bumi Malaysia namun setelah 35 tahun arak murah masih bermaharajalela di sanubari peminat setianya terutama dalam kalangan masyarakat India.
Selain meragut nyawa, 49 orang lagi dimasukkan ke hospital, dengan lima daripadanya menjadi buta kerana punca yang sama, samsu haram. Peristiwa hitam ini bukan saja berlaku di Lunas malah telah berlaku/sedang berlaku di kebanyakan pelosok negara. Antara tragedi yang masih segar dalam pemikiran saya adalah insiden di Seremban yang menyaksikan 18 kematian pada tahun 1977 dan tahun 1979 pula berlaku 21 kematian di Selangor dan Bukit Mertajam, Pulau Pinang. Semua ini berlaku disebabkan samsu haram yang dijual murah kepada golongan pendapatan rendah atau kelas pekerja rendah.
Ucapan Dr Siti Mariah Mahmud (PAS-Kota Raja) di Parlimen menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan menerima pendapatan sebanyak RM 1.75 billion bagi tahun 2010. Satu sumber pendapatan yang amat tinggi bagi negara tetapi tidak bermakna kerana pendapatan tersebut dijana dengan kos kepada kesihatan dan nyawa manusia. Peruntukan undang-undang mengklasifikasikan arak sebagai minuman dengan kandungan alkoholnya melebihi dua peratus (2.0 peratus) sahaja sementara yang di bawah peratusan itu bukan arak.
Masalah sosial akibat penjualan arak murah seperti pergaduhan, gangguan seksual, penderaan anak dan isteri, gangsterisme, kemalangan, dan pelbagai masalah sentiasa menghantui masyarakat di Malaysia terutamanya dalam kalangan komuniti India yang berada di luar kawasan bandar.
Penjualan arak murah mudah didapati hampir di kebanyakan tempat di Malaysia, seraya menyebabkan belia-belia India mudah terjebak dengan pengambilan arak. Statistik kerajaan membuktikan bahawa hampir 45% manusia yang minum arak murah di Malaysia adalah golongan belia yang dibawah umur 18 tahun.
Harga penjualan arak yang murah mendorong kepada pengambilan dalam kuantiti yang banyak, sekaligus menyebabkan pelbagai penyakit, antaranya yang paling lazim dihidap ialah kerosakkan hati hempedu (liver cirrhosis) dan pelbagai komplikasi lain.
Insiden yang tidak bermoral (seperti di atas) dan semakin merebak di kalangan generasi muda adalah berpunca dari samsu haram. Walaupun tragedi hitam di Lunas telah pudar dari pandangan mata biasa namun berpuluh ribu kematian selepas insiden tragedi hitam di Lunas masih sedang berlaku di Malaysia akibat pengambilan arak murah yang dilesenkan.
Kematian yang disebabkan oleh kandungan alkohol yang tinggi dan sikap sesetengah pengambilan dalam kuantiti yang banyak menyebabkan komplikasi kesihatan yang serius. Hospital hanya merekodkan kematian akibat kegagalan hati berfungsi dan tidak menyatakan ia berpunca dari pengambilan arak. Kerajaan tidak pernah membuat kajian atau bancian kematian akibat pengambilan arak, khasnya arak yang murah.
Kini di pasaran terdapat lebih dari 300 jenis arak buatan tempatan dengan lesen dijual di paras bawah RM30 dengan kandungan 40% alkohol dengan isipadu 750ml, manakala yang paling murah dijual ialah RM 1.70 sebotol isipadu 125ml dengan kandungan 38% alkohol, ia sangat murah berbanding air bergas seperti 100 Plus atau sebungkus milo ais. Pelbagai jenama yang menarik perhatian remaja bawah umur 18 tahun untuk mencuba arak-arak murah ini. Malangnya ada maklumat kita terima bahawa pelajar sekolah gemar dengan arak murah kerana tertarik dengan nama-nama jenama contohnya Vodka Oren, Apple, Laici, Sarsi dan beratus jenama menjurus remaja ingin mencuba.
Apakah sebab kerajaan benarkan menjual arak semurah ini? Apakah muslihat kerajaan disebalik penjualan arak murah ini? Ubat-ubatan pun lebih mahal dari arak.
Pergerakan Anti-Arak Murah Malaysia telah melancarkan kempen tandatangan untuk awareness dan tindakan seterusnya. Kami telah menganjurkan beberapa siri jelajah termasuk ke lima buah negeri sepanjang tahun 2015. Usaha kami tidak sia-sia apabila setakat ini telah mendapat sebanyak 40 ribu tandatangan dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk pemimpin dari pelbagai parti politik di Malaysia. Antara pemimpin-pemimpin yang menyokong pergerakkan kami ialah YB Prof. Ramasamy, Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang; Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Azmin Ali; bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhkriz Mahathir; President Keadilan, Datuk Seri Wan Azizah; dan MP dari DAP, PKR, AMANAH dan beberapa lagi pemimpin dari parti berasaskan kaum India.
Kami menggesa Kementerian Kesihatan agar memandang serius terhadap isu arak murah. Kementerian Kesihatan yang dipimpin oleh Presiden MIC perlu memberi keutamaan kepada isu arak murah kerana kini hampir 70 hingga 80 peratus yang meminum arak murah ini ialah dari kaum India, dan kini masalah sosial kaum India meningkat antara puncanya ialah arak murah.
Kenapa Menteri kesihatan ini tidak sedar atau apakah ada agenda tersembunyi disebalik penjualan arak murah.
Ada pihak mempertikaikan tuntutan kami contohnya “sekiranya arak murah diharam arak mahal pula boleh minumkah?”. Pergerakan kami ada jawapan untuk semua soalan yang diajukan sepanjang kempen tandatangan.
Jawapan :
? Seseorang pendapatan rendah meminum arak, maka dia membeli dengan murah dan meminum dengan kuantiti yang banyak lalu menyebabkan ulser. Beliau akan ke hospital kerajaan dan disana biasanya doktor memberi ubat gastrik. Ubat ini pula tidak akan menyembuh beliau dan sakitnya akan parah jika tidak dirawat segera. Secara tidak langsung produktiviti beliau akan lemah, malah keluarganya pula bergantung padanya. Jika mati disebabkan penyakit akibat arak, keluarganya akan sengsara .
? Bagi yang minum arak mahal pada kuantiti yang banyak, beliau juga akan menghadapi komplikasi sama seperti diatas tetapi besar kemungkinan beliau akan ke hospital swasta yang dilengkapi segala rawatan moden, termasuk pengambilan ubat-ubatan dan vitamin, cara pengambilan makan secara sihat dan bercuti sakit. Hasil perlindungan insuran dan pendapatan gaji bulanan yang tinggi membantu beliau sembuh dengan cepat. Jika berlaku kematian pun keluarga dia akan dapat pampasan insuran. Inilah bezanya golongan pendapatan rendah dan golongan pendapatan tinggi .
Untuk makluman pada 6 Feb 2016 kami akan mengadakan forum bertemakan “Selepas 35 tahun Tragedi Hitam” di Dewan Kathu Raja, di Paya Besar, Lunas pada jam 7 malam. Kami sangat mengharapkan sokongan masyarakat awam dalam menjayakan forum tersebut sekaligus memberi sokongan padu untuk menyerukan aspirasi pembangunan generasi muda tanpa arak murah.
Jika inginkan maklumat sila layari Page FB “Malaysian Anti-Cheap Liquor Movement”. HARAMKAN ARAK MURAH SELAMAT RAKYAT MALAYSIA
David Marshel merupakan Ahli Majlis Perbandaran Seberang Perai
Di atas kepercayaan kebebasan bersuara tanpa wasangka, FMT cuba untuk berkongsi pandangan dengan pihak ketiga. Artikel yang disiarkan ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mempunyai kaitan dengan FMT
