Minggu lepas saya baca pelajar universiti berlapar hingga #pecahusus; hari ini saya baca seorang ibu sanggup belikan anak Nissan GT-R jika anaknya mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan.
Satu keadaan yang sangat ironi, seorang pelajar yang berjaya masuk ke menara gading, berlapar kerana hanya berbaki RM100 untuk mengharungi bulan itu; manakala seorang lagi anak yang belum menghabiskan pembelajaran boleh meminta kereta bernilai hampir RM400,000!
Di mana kedudukan anda dan di mana agaknya kedudukan saya jika anak saya juga meminta-minta?
Cukuplah dengan apa yang diperjuangkan sepanjang minggu ini demi survival mahasiswa yang kebuluran dan tak cukup duit. Sekarang mari kita lihat remaja dan pelajar yang bertuah ini.
Terkenang juga berita dari Pantai Timur Semenanjung (Kelantan) apabila seorang bapa memberi hadiah sebuah kereta Mini Cooper untuk anaknya yang mendapat keputusan cemerlang 5A dalam UPSR. Kontra dengan status negeri termiskin, bapa itu yang juga seorang penjual ayam sanggup menaruh lebih RM130,000 demi menyambut kejayaan anaknya yang berusia 12 tahun.
Banyak lagi contoh mewah boleh disenaraikan, walhal dalam kalangan rakan-rakan dan saudara-mara sendiri pasti wujud ‘offering’ atau ‘demand’ sedemikian. Kereta, berangan kemas mewah, gajet mewah, duit puluhan ribu dan sebagainya menjadi ganjaran kejayaan. Seolah-olah kejayaan bukan lagi satu kepuasan peribadi.
Biarlah, mereka ada kemampuan dan duit untuk membeli. Mereka beli guna duit mereka dan ia sama sekali pilihan mereka! Yang kita sibuk kenapa?
Sebenarnya saya rasa terkilan dan gentar jika anak-anak ini pada masa hadapan akan gagal untuk mempertimbangkan nilai sebenar sesuatu kejayaan.
Sayang, manja dan kemewahan tidak sepatutnya menjadi senjata yang mengagalkan anak dalam kehidupan. Apabila anak-anak dihadiahi dengan barangan yang jauh bernilai daripada kejayaan mereka, maka apakah yang akan mereka harapkan bagi kejayaan seyogia yang lain?
Teringat kepada sebuah filem yang baru-baru ini saya tonton dengan keluarga, Charlie and the Chocolate Factory (2005), watak beberapa kanak-kanak yang di’angkat’ secara berlebihan oleh ibu bapa dan bagaimana mereka watak itu diakhiri secara kejam. Kejam kerana sikap mereka sendiri yang terlalu tinggi ‘permintaan’ mereka dan ibu bapa pula terlalu terikut-ikut telunjuk anak. Kalau anda ada anak, silalah tonton filem ini, banyak pengajarannya.
Berbalik kepada keresahan saya, atau lebih kepada persoalan saya, adakah sihat untuk anak-anak dan ibu bapa itu untuk memberi dan menerima ganjaran bernilai tinggi walaupun dalam dalam hidup hidup ini masih banyak yang perlu dihadapi?
Seolah-olah UPSR, PMR dan SPM itu keputusan muktamad hidup, dan kejayaan itu sudah menjamin yang terbaik.
Dalam masa yang sama, saya juga kasihan kepada remaja dan anak-anak yang benar-benar berjaya dengan hasil usaha sendiri, kejayaan lebih besar berbanding keberadaan mereka. Tetapi tidak pernah mendapat apa-apa hanya kerana daripada keluarga kurang berada, mereka mesti rasa dunia ini tidak adil, bukan?
