
Saifuddin Abdullah (PN-Indera Mahkota) berkata, beliau ditanya sama ada peperiksaan Tahun 4 itu akan menggantikan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) yang dimansuhkan pada 2021.
“Adakah kita akan kembali menjadi negara berorientasikan peperiksaan? Murid-murid ini akan dipercepatkan dewasanya kerana nak lulus peperiksaan.
“Kalau dulu UPSR tuisyen dari darjah 1. Sekarang kalau dah peperiksaan Tahun 4 tuisyen daripada sebelum prasekolah?” soalnya ketika membahaskan titah diraja di Dewan Rakyat.
Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan kerajaan akan melaksanakan pengukuran pembelajaran Tahun 4 mulai tahun ini bagi empat mata pelajaran utama iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik dan sains.
Selain itu, turut diumumkan pengukuran pembelajaran Tingkatan 3 bagi lima mata pelajaran iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris, matematik, sains dan sejarah bermula 2027.
Nama lain bagi pengukuran itu adalah Matriks Pembelajaran Malaysia.
Saifuddin, yang juga ketua biro pendidikan Perikatan Nasional (PN), turut mempersoalkan perumusan kerajaan yang menggubal dua pelan berasingan bagi prauniversiti dan pendidikan tinggi.
Beliau membandingkan perkara itu dengan satu pelan menyeluruh oleh kerajaan terdahulu pimpinan PN.