
Siapa sangka, hanya beberapa jam selepas gambar suspek pembunuhan lelaki warga Korea Utara, Kim Jong-nam yang memakai baju lengan panjang putih bertulis “LOL” tersebar, pembekal pakaian mengambil peluang mengaut keuntungan menjual pakaian bertulisan sama.
Pakaian dengan rekaan serupa dijual secara berleluasa dalam talian selepas pembekal menirunya daripada rakaman kamera litar di lapangan terbang didedah, lapor The New Paper.
Suspek ditahan pada pagi Rabu selepas Jong-nam, abang kepada pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un diserang pada pagi Isnin di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (klia2).
Dalam satu laporan akhbar South China Morning Post, baju itu disenaraikan di Taobao.com, sebuah laman web membeli-belah dalam talian China pada harga 6,324 yuan (RM4,098.85).
Baju yang dihuraikan sebagai “Baju-T sama dipakai pengintip wanita Korea Utara”, bagaimanapun ditarik balik selepas beberapa minit.