Menara Petronas bakal pindah ke Filipina

Menara Petronas bakal pindah ke Filipina

Kejap, jangan terkejut, ia hanyalah replika yang direka menjadi kostum bagi kategori pakaian kebangsaan pada pertandingan Miss Universe 2017.

miss-klcc
fmt-ohsem-inside-article1Bangunan Menara Berkembar Petronas bakal diterbangkan ke Manila, Filipina untuk pertandingan Miss Universe 2017 yang berlangsung pada 31 Januari di Manila, Filipina.

Dua pereka di bawah label Rizman Ruzaini (RR), Rizman Nordin dan Wan Ruzaini mencabar diri dengan rekaan yang bakal dikenakan Miss Universe Malaysia 2017, Kiran Jassal yang dipercayai menjadi pilihan era ini.

Mengimbas pakaian pemenang kategori pakaian kebangsaan terbaik oleh peserta Thailand pada 2016 dalam pertandingan yang sama, beliau berpakaian replika tuk tuk, pengangkutan ikonik negara itu.
Rizman berkata kini giliran Malaysia membawa Menara Berkembar Petronas ke pentas ratu cantik dunia.

miss
Gambar kredit: Miss Universe Poll Fanpage

Jadi tak perlulah berkerut dahi atau menggaru kepala, ternyata menara berkembar Petronas lebih “tinggi dan hebat” daripada tuk tuk, kita harapkan keputusannya juga sebegitu.

Pasangan ini mengakui mengambil masa 2 bulan menyiapkan kostum jumpsuit unik tersebut kerana gagal menempatkan “menara” pada posisi yang sesuai. Hanya selepas percubaan kali ke-2, barulah ia berjaya direalisasikan.

“Dalam penerbangan pulang bercuti beberapa bulan lalu, kami sempat bertanya kepada 2 kanak-kanak asing mengenai keterujaan mereka melawat Malaysia. Mereka menjawab ‘twin tower’,” ujar Rizman sekali gus menjadikannya inspirasi.

Menariknya mengenai kostum kebangsaan menara berkembar ini, ia bertatahkan batu kristal swarovski yang menjadikannya lebih mewah dan bergemerlapan.

Ruzaini akui mereka menggunakan kira-kira 100,000 butir kristal swarovski yang dijahit tangan secara teliti.

“Semoga kita semua berharap pakaian ini mampu menang. Kami sangat teruja!” kata mereka kepada FMT Ohsem.

Ini adalah kali pertama kedua-dua pereka muda ini diberi peluang menunjukkan bakat pada pertandingan ratu cantik berprestij.

Sebelum ini pasangan RR pernah mereka pakaian selebriti tempatan seperti Ziana Zain, Era Fazira, Rozita Che Wan, Nora Danish dan ramai lagi termasuk untuk pelbagai acara fesyen.

Selain bertanggungjawab terhadap kategori pakaian kebangsaan, RR juga ditugaskan mencipta gaun malam dan gaun “rahsia” yang akan hanya didedahkan pada malam pertandiangan.

“Berkenaan gaun ‘rahsia’, kami hanya boleh dedahkan satu perkara, iaitu warnnanya, emerald green,” dedahnya yang enggan berbicara lanjut mengenainya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.