
Jika selama ini anda hanya berbasikal di padang, jalan raya, trek basikal dan jelajah basikal meredah hutan serta sungai, kali ini anda diberi peluang untuk mencuba di tempat baharu.Pengalaman itu boleh ditimba menerusi Cabaran Mara Digital Downmall 2016 yang memberi peluang kepada peserta berlumba basikal dalam premis kompleks beli-belah.
Menarik dan baharu, sukan ini bagaimanapun sudah lama bertapak di Eropah dan di negara jiran seperti Indonesia.
Ketua Pegawai Eksekutif Festival Live Extreme Games Asraf Khan berkata, perlumbaan yang akan diadakan pada 10 dan 11 December di Mara Digital Mall Kuala Lumpur bakal memberikan kelainan selain menjadi perintis untuk lebih banyak perlumbaan berkonsep sama pada masa depan.
“Perlumbaan ini popular di luar negara. Mengambil kira aspek pembaharuan ini, kami penggiat basikal memperkenalkan perlumbaan ini di Malaysia pula.
“Kami memberi cadangan kepada pihak Mara dan mereka terus bersetuju, sekali gus membuka peluang kami untuk mengadakan perlumbaan di premis tersebut,” katanya.
Mengulas mengenai format pertandingan Asraf berkata, perlumbaan akan bermula di tingkat 4 Mara Digital Mall dan berakhir di tingkat bawah dengan mengambil kira kepantasan peserta selaku kriteria utama.
“Kami percaya elemen menurun tangga dan struktur rekaan dalaman kompleks akan menjadi cabaran terbesar peserta. Bagi memastikan semuanya berjalan lancar dan selamat, kami mewajibkan pengunaan alat keselamatan seperti topi keledar dan lain-lain,” katanya.
Perlumbaan itu dibahagikan kepada 2 kategori bagi umur 8 hingga 17 tahun dan terbuka 18 tahun ke atas yang hanya dibuka kepada rakyat Malaysia.
“Mungkin selepas kejayaan perlumbaan ini nanti, kita boleh menganjurkan acara sama di peringkat negara dan antarabangsa kelak,” katanya
Buat masa ini, kira-kira 60 orang sudah mendaftar menyertai perlumbaan yang hanya terhad kepada 100 orang.
Asraf berkata pemenang tempat pertama untuk kategori 18 tahun ke atas akan menerima hadiah berjumlah RM3,000 dan bagi kategori 8 hingga 17 tahun pula, RM300.
Katanya, mereka yang mahu menyertai perlumbaan tersebut dikenakan bayaran RM100 seorang. Pendaftaran boleh dilakukan secara dalam talian di laman Facebook ION Malaysia Brunei atau LXG Festival.