Bidang landskap, sektor pekerjaan yang berpotensi tinggi

Bidang landskap, sektor pekerjaan yang berpotensi tinggi

Kerajaan menetapkan 30% kawasan perancangan pembangunan perbandaran tempatan dikekalkan hijau dan memacu industri landskap negara.

Benefit1

fmt-ohsem-inside-article1Ramai daripada kita yang mempunyai salah tanggapan terhadap bidang landskap. Bercakap sahaja mengenai bidang ini, kebanyakan terus berpendapat ia sebagai satu pekerjaan yang selari dengan tukang kebun di mana meliputi kerja penyusunan pokok, penjagaan tanaman dan sebagainya.

Tidak kurang, ada yang menterjemah tugas “tukang kebun” seperti menyiram pokok bunga, mencabut rumput dan menjaga tanaman hiasan sebagai hanya sesuai dilakukan oleh pekerja warga asing.

Namun, hakikat sebenarnya berbeza. Ia merupakan satu bidang yang berpotensi tinggi menjana pendapatan lumayan sekiranya dikendalikan secara professional.

Perkara itu diakui sendiri Timbalan Exco Hal-ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan Badan Bukan Kerajaan Melaka, Datuk Amiruddin Yusof yang turut menggesa supaya mentaliti memandang rendah bidang itu perlu diubah.

Malah beliau percaya pekerjaan dan perniagaan dalam bidang landskap mampu menjadi pemangkin dalam meningkatkan tahap sosioekonomi masyarakat kerana permintaan yang semakin menggalakkan dalam bidang ini.

“Negara amat banyak projek perumahan, perniagaan dan pembinaan fasiliti untuk dibuat landskap kemudian selenggaranya, jumlah kerja-kerja landskap ini amatlah besar dengan pembangunan pesat projek seperti ini. Ini potensi yang perlu diambil peluang,” katanya.

“Namun ia bukan bidang yang mudah untuk diceburi, kena ada ilmu kena ada usaha tanpa mengenal penat lelah baru boleh berjaya. Bila berjaya percayalah pulangannya amat lumayan,” kata Amiruddin kepada Bernama selepas Majlis Dialog Industri Landskap di Kolej Komuniti Masjid Tanah di sini baru-baru ini.

Kerajaan melalui Dasar Landskap Negara dilancar 2011 bertujuan memacu Malaysia menjadi Negara Taman Terindah 2020 antara lain menetapkan 30% kawasan perancangan pembangunan perbandaran tempatan dikekalkan hijau dan memacu industri landskap negara bagi menjana pendapatan tinggi untuk rakyat.

Amiruddin berkata selain mencari pekerjaan berpendapatan tinggi, mereka terutama generasi muda yang mempelajari ilmu landskap perlu berani mengambil peluang melibatkan diri dalam keusahawanan landskap.

“Bila tamat belajar dapat sijil kelulusan landskap…kena tambah pengetahuan dengan banyak mengkaji, dapatkan pengalaman bekerja dan luaskan rangkaian dahulu. Dengan cara ini peniagaan diusahakan itu akan memperoleh pendapatan lumayan,” katanya.

Pengarah Bahagian Kolaborasi dan Keusahawanan, Jabatan Pendidikan Kolej Komuniti Dr Noriah Abdul Malek berkata menjadi dasar Kementerian Pendidikan Tinggi melahirkan graduan berpotensi menjadi usahawan yang seterusnya mampu menjadi pemangkin usaha meningkat tahap sosioekonomi masyarakat setempat.

“Kementerian mahukan graduan institusi pengajian ini bukan hanya menjadi pencari kerja sebaliknya menjadi penjana pekerjaan terutama untuk masyarakat setempat dan bidang landskap berpotensi ke arah usaha ini.

“Ini kerana sektor pertanian dan industri asas tani yang mana terkandung dalamnya bidang landskap merupakan antara sektor utama yang ditekankan dalam Bajet 2017,” kata Noriah.

Beliau berkata bagi mencapai hasrat ini Kolej Komuniti termasuk Kolej Komuniti Masjid Tanah yang turut menawarkan sijil dalam bidang itu memainkan peranan melahirkan lebih ramai tenaga mahir untuk memenuhi keperluan bidang landskap di negara ini.

Penyelia Kanan Tajul Green Sdn Bhd Abdul Syamil Mohd Tahir, yang bertugas sebagai penyelia landskap syarikat itu, berkata generasi muda dinasihatkan tidak takut menceburi bidang landskap kerana potensi bidang itu amat besar.

“Landskap pada masa ini tidak ketandusan kerja kerana keperluan landskap terutama tenaga mahir pada masa ini amat tinggi berbanding bidang lain yang agak tepu dengan graduan mencari peluang pekerjaan,” katanya.

Beliau yang juga bekas pelajar landskap Kolej Komuniti Masjid Tanah berkata berdasarkan pengalamannya selama 8 tahun bekerja dalam bidang itu, kerja-kerja landskap di negara ini sentiasa dalam ‘permintaan tinggi’ dan seharusnya semua pihak termasuk generasi muda mengambil kesempatan dalam bidang berpotensi ini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.