Bukan lagi ‘tukang’, TVET kini lahirkan teknokrat gaji tinggi

Bukan lagi ‘tukang’, TVET kini lahirkan teknokrat gaji tinggi

Trend peningkatan enrolmen sebanyak 53% membuktikan ibu bapa melihat TVET jaminan masa depan kukuh bagi anak mereka.

TVET menawarkan pendapatan lumayan tertumpu kepada kemahiran tinggi seperti pengimpalan bawah laut dan sektor semikonduktor yang berkembang pesat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Pendidikan dan latihan teknikal dan vokasional (TVET) kini muncul sebagai platform melahirkan teknokrat berpendapatan tinggi bagi mengisi 3.3 juta peluang pekerjaan bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030.

Langkah itu dilihat sebagai anjakan strategik memacu daya saing negara menerusi penguasaan teknologi tinggi dan inovasi graduan tempatan bagi menjadikan Malaysia hab industri bernilai tinggi.

Presiden Persatuan Sains Teknologi dan Inovasi (Asti), Yunus Yasin, berkata keberkesanan TVET bergantung kepada sejauh mana unsur sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM) dikaitkan dalam kurikulum sedia ada.

Yunus Yasin
Yunus Yasin.

“Sebenarnya, TVET secara sendirinya sudah mempunyai unsur STEM di dalamnya. Jika kurikulum tersebut wajar dan cara pengajaran sesuai, sudah tentu graduan baharu boleh melakukan inovasi yang meningkatkan daya saing kilang berkenaan,” katanya kepada FMT.

Beliau berkata, tahap daya saing graduan negara amat bergantung kepada kualiti latihan yang diterima serta pembinaan infrastruktur selari dengan peralatan industri masa kini.

Mengulas lanjut, Yunus berkata bidang TVET menawarkan pendapatan lumayan tertumpu kepada kemahiran tinggi seperti pengimpalan bawah laut dan sektor semikonduktor yang berkembang pesat.

“Pembelajaran TVET nasional harus fleksibel dan mampu mengikuti trend terbaru untuk menghasilkan graduan setimpal dengan keperluan industri yang boleh bertukar secara cepat,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Kumpulan Ibu Bapa Bertindak bagi Pendidikan (PAGE), Noor Azimah Abdul Rahim, melihat penekanan kerajaan terhadap NIMP 2030 berjaya mengangkat martabat graduan daripada sekadar ‘tukang’ kepada teknokrat yang dihormati.

Katanya, trend peningkatan enrolmen sebanyak 53% dalam kalangan lepasan sekolah membuktikan ibu bapa kini melihat TVET sebagai strategi jaminan masa depan yang kukuh, bukan lagi satu ‘perjudian’.

Noor Azimah Abdul Rahim
Noor Azimah Abdul Rahim.

“Inisiatif kerajaan menaikkan taraf TVET nampaknya berhasil. Malah, pindaan undang-undang pembangunan kemahiran bertujuan memperkasa tenaga kerja menerusi tadbir urus dan penguatkuasaan yang lebih baik,” katanya merujuk pindaan Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan 2006 (Akta 652) dan Akta Tabung Pembangunan Kemahiran 2004 (Akta 640).

Bagaimanapun, Azimah menegaskan pengukuhan STEM di peringkat sekolah rendah dan menengah tetap menjadi asas kritikal sebelum pelajar melangkah ke arus TVET atau ijazah.

Menurutnya, pembelajaran STEM perlu lebih menarik minat dan menekankan kepentingan Program Dwibahasa (DLP) memandangkan bahasa Inggeris adalah lingua franca dalam industri teknologi tinggi.

“Di peringkat pendidikan tinggi, bahasa Inggeris mendominasi. Kerjasama dengan universiti antarabangsa tetap dijalankan dalam bahasa itu, biarpun di China.

“Kami mahu kerajaan lebih prihatin menyediakan lebih banyak kelas DLP agar ia menjadi landasan terbaik untuk pelajar yang memilih STEM,” katanya.

Sejak awal tahun ini, kerajaan mula menyelaraskan semula dasar pendidikan kemahiran bagi memastikan tiada pertindihan fungsi antara agensi, sekali gus memastikan penggunaan dana awam lebih efisien.

Fokus kini beralih kepada usaha melahirkan tenaga kerja mahir dalam sektor ekonomi baharu, termasuk teknologi hijau dan automasi, selaras sasaran NIMP 2030 untuk meningkatkan nilai ditambah dalam sektor pembuatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.