
Pagi-pagi dah ada orang merungut mengenai kesesakan lalu lintas. Tetapi bukankah ia satu fenomena biasa di pusat-pusat bandar utama? Oh, mungkin hujan dan penyelenggaraaan jalan raya yang tidak diduga pada waktu puncak merumitkan lagi keadaan sehingga memaksa anda menghadap “trafik jam” yang lebih buruk daripada biasa.Duduk dalam kereta berjam-jam bukan pilihan sesiapa pun. Kita mahu sampai pejabat tepat pada masanya atau balik melihat anak-anak atau pun sampai rumah secepat mungkin untuk merehatkan diri.
Malangnya, nasib kita berbeza. Kita merugikan beberapa minit dan jam di atas jalan kerana kesesakan. Kalau dah tersangkut di tengah jalan, kereta pun lama tak bergerak, apa yang boleh anda lakukan untuk menyaingi rasa bosan?
Kalau anda selalu menjadi ‘mangsa’ kesesakan, bekalkan kenderaan anda dengan barang-barang di bawah. Ia boleh menjadi berguna:
- buku cerita
- pemotong kuku, pengilap kuku
- peta
- beg plastik kosong
- buku mainan seperti teka silang kata, sudoku
- coklat
- buku nota dan pen
- tisu basah
- telefon pintar berinternet
Apa anda boleh lakukan dengan semua ini?
Sudahlah menghadap jam, duduk dalam kereta tak tahu apa nak buat pun. Elak rasa bosan dengan bekalan di atas:
1. Baca buku cerita, ini adalah masa yang terbaik. Biasanya ia aktiviti yang paling kerap dipilih apabila kenderaan langsung tidak bergerak.
2. Luang masa untuk diri sendiri. Potong kuku atau gilapkannya. Anda juga boleh memilih untuk membuat sedikit pembersihan diri yang mudah seperti ‘glos gigi’.
3. Layari peta dan ketahui jalan alternatif. Ataupun baca peta untuk mengetahui tempat, nama jalan dan lokasi sekitar anda. Ia boleh atasi rasa bosan. Percayalah!
4. Masa untuk bersihkan kereta. Ya, pungut sampah atau sisa dalam kereta. Guna tisu basah untuk mengelap sekitar bahagian tempat duduk dan ‘dashboard’.
5. Buku permainan seperti teka silang kata dan sudoku adalah peneman terbaik selain membantu menajamkan minda anda.
6. Tenteramkan jiwa yang sedang stress dengan mengambil coklat. Sebaiknya coklat hitam, kerana ia merembeskan hormon anti-stress sekali gus memberi ketenangan daripada kesesakan.
7. Senaraikan pelan atau rancangan harian, mingguan dan bulanan anda dalam buku nota. Ini masanya untuk mengimbas semula dan merancang aktiviti anda tanpa gangguan. Anda juga boleh merekod perbelanjaan dan bajet untuk masa akan datang.
8. Layari laman web, belajar sesuatu. Kalau tidak pun, hubungi rakan lama atau ibu anda. Bercakap dengan mereka, gunakan masa anda sebaiknya untuk ‘keep in touch’ dengan mereka. Tetapi ingat, pastikan anda menggunakan peralatan ‘hands-free’.
9. Buat senaman ringan untuk tangan dan kaki, selagi selamat dan tidak mengundang kemalangan. Buatlah gerakan ringan, sudah mencukupi.
10. Pastikan radio dalam kenderaan berfungsi untuk anda berhibur.
Apa pun yang anda pilih, pastikan anda tidak membahayakan diri, penumpang serta pengguna jalan yang lain. Utamakan keselamatan di jalan raya!