
Mereka berpandangan, menambah kapasiti jalan hanya berisiko mengulangi masalah sama kerana rangkaian lebuh raya sedia ada di Lembah Klang masih gagal mengurangkan kesesakan secara menyeluruh.
Perunding pengangkutan, Rosli Khan, berkata isu utama bukan kekurangan jalan, sebaliknya kebergantungan tinggi kepada kenderaan persendirian, yang kebanyakannya hanya membawa seorang penumpang.
“Jadi, apa rasionalnya menambah lagi struktur sama menggunakan model yang terbukti tidak berkesan?,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, Ketua Pengarah LLM, Mohd Hadzmir Yusoff, dipetik berkata pembinaan lebuh raya baharu termasuk jenis bertingkat, serta penggunaan teknologi pintar antara pendekatan utama menangani peningkatan jumlah kenderaan.
Beliau berkata, jumlah kenderaan di lebuh raya kini mencecah antara 5.5 juta hingga enam juta sehari.
Mengulas lanjut, pengalaman banyak bandar besar seperti Jakarta dan Bangkok menunjukkan penambahan jalan sering mengundang lebih banyak kenderaan, sebelum kesesakan kembali ke tahap asal atau menjadi lebih buruk.
Katanya, kerajaan perlu mengubah dasar pengangkutan dengan memberi tumpuan kepada pergerakan manusia bukan semata-mata pergerakan kenderaan.
“Ini bukan teori, ini realiti yang berlaku berulang kali di bandar besar seluruh dunia.
“Kita mesti belajar daripada bandar yang lebih maju dalam menangani kesesakan seperti London, Singapura atau New York,” katanya.
Pengasas dan Penasihat Kanan MY Mobility Vision, Wan Agyl Wan Hassan, pula berkata persoalan paling besar perlu dijawab ialah sama ada masalah mobiliti bandar di Malaysia benar-benar berpunca daripada kekurangan jalan.

Menurutnya, pendekatan semasa terlalu tertumpu kepada infrastruktur fizikal seperti lebuh raya dan jambatan, sedangkan cabaran sebenar berkait rapat dengan sistem mobiliti bandar secara keseluruhan.
“Ini termasuk bagaimana pengangkutan awam beroperasi, bagaimana bandar dibangunkan dan sama ada rakyat mempunyai alternatif pergerakan yang benar-benar praktikal selain memandu,” katanya.
Beliau berkata, ramai rakyat terus memandu bukan semata-mata kerana pilihan, tetapi kerana sistem pengangkutan awam belum cukup cekap, selesa dan boleh diramal.
Katanya, laluan pejalan kaki yang tidak selamat, kekurangan laluan berbumbung ke stesen transit dan bas pengantara yang terperangkap dalam kesesakan menyukarkan orang ramai beralih kepada pengangkutan awam.
“Akibatnya, rakyat terus bergantung kepada kereta kerana alternatif yang ada belum cukup kompetitif untuk mengubah tabiat perjalanan harian mereka,” katanya.
Pengerusi Persatuan Pengguna Pengangkutan Awam Malaysia, Ajit Singh, turut menolak cadangan itu dan berkata kerajaan sepatutnya memberi keutamaan kepada penambahbaikan pengangkutan awam.
“Kerajaan seharusnya menambah baik pengangkutan awam. Jika lebuh raya bertingkat mahu dibina, pastikan kewangan kerajaan tidak digunakan,” katanya.

Pakar pengangkutan, Gary Foong, pula menyifatkan cadangan LLM sebagai langkah jangka pendek jika tidak disertai perancangan mobiliti bandar yang lebih menyeluruh.
Beliau berkata, kesesakan terus meningkat walaupun beberapa lebuh raya baharu dan bertingkat sudah dibina, termasuk SUKE, DASH, EKVE dan NPE, selain cadangan sambungan seperti NPE2 dan Lingkaran Tengah Utama Expressway.
Katanya, keadaan itu menunjukkan pendekatan menambah kapasiti jalan semata-mata tidak mencukupi untuk menyelesaikan masalah kesesakan dalam jangka panjang.
“Dari sudut kapasiti, pembinaan lebuh raya bertingkat memang boleh meningkatkan keupayaan rangkaian tanpa terlalu bergantung kepada pengambilan tanah baharu yang mahal dan terhad.
“Namun, cabaran di kawasan bandar lebih kompleks kerana melibatkan kekangan ruang, kos pembangunan lebih tinggi serta kesan sosial dan alam sekitar,” katanya.