MOT diminta pertimbang turun cukai jalan kenderaan diesel

MOT diminta pertimbang turun cukai jalan kenderaan diesel

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata penurunan harga bahan api tidak dapat dilaksanakan ketika ini.

roadtax
Cukai jalan untuk kenderaan diesel secara amnya lebih tinggi daripada kenderaan petrol dengan kapasiti enjin sama disebabkan surcaj diesel tambahan atas kadar asas.
BATU KAWAN:
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim meminta Kementerian Pengangkutan (MOT) mengkaji kemungkinan mengurangkan kadar cukai jalan bagi kenderaan diesel ketika tekanan harga bahan api semakin meningkat susulan konflik Timur Tengah.

Beliau berkata, perkara itu telah dibincangkan dengan Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook.

“Turun harga minyak (diesel) sekarang ini kita tak mampu, tapi cukai jalan, itu boleh (kaji),” katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Jabatan Pengangkutan Jalan ke-80 di Stadium Batu Kawan.

Di Malaysia, cukai jalan untuk kenderaan diesel secara amnya lebih tinggi daripada kenderaan petrol dengan kapasiti enjin sama disebabkan surcaj diesel tambahan, tetapi kadar lebih rendah dikenakan di Sabah, Sarawak, Labuan, Langkawi dan Pangkor.

Anwar berkata, cadangan pengurangan cukai jalan itu dibangkitkan kerana dianggarkan terdapat 1.8 juta kenderaan diesel di Malaysia.

Walaupun jumlahnya agak kecil berbanding jumlah keseluruhan kenderaan, katanya, pengguna dalam segmen itu masih terjejas dengan kenaikan harga bahan api baru-baru ini.

Harga diesel di Semenanjung Malaysia kini ditetapkan pada RM5.12 seliter berbanding RM5.97 seliter. Tetapi, ini kekal lebih tinggi daripada paras sebelum ketegangan di Timur Tengah memuncak.

Pada sidang media kemudian, Loke berkata, pengurangan cukai jalan itu dicadangkan MOT dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) bagi membantu pemilik kenderaan tidak dilindungi oleh mana-mana skim seperti BUDI Diesel.

“Jadi, ini perlukan sedikit masa untuk kita lihat apakah implikasinya, berapa peratusan daripada cukai itu boleh diturunkan dan berapa hasil yang perlu kita kurangkan ataupun korbankan. Jadi, ini akan diumumkan dalam masa terdekat.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.