Selamba buang sampah dari balkoni rumah kondominium

Selamba buang sampah dari balkoni rumah kondominium

Tinggal di kondo mewah di Shah Alam tetapi masih ada yang berperangai jahil dan tiada kesedaran sivik.

buang-samaph
fmt-ohsem-inside-article1 Kesedaran sivik bukan sesuatu yang boleh ditunjuk ajar, sebaliknya ia sikap yang perlu dimiliki sebagai tanggungjawab umum setiap manusia. Jangan kata kerana tidak belajar sivik di sekolah maka tidak tahu beretika secara bertamadun.

Ada juga yang mentafsir sivik dengan status, tetapi percayalah, yang kaya atau miskin, duduk di banglo atau rumah teres biasa, kalau tiada sivik umpama tiada pendidikan asas tentang kemanusiaan.

Saban hari ketika pulang dari kerja, sekitar pukul 6 petang, saya ternampak satu tindakan oleh salah seorang penghuni di kondo saya yang kurang sivik, mungkin saya sifatkannya sebagai “kurang ajar”. Ia menyedarkan saya, bukan semua orang yang duduk di bangunan tinggi siap dengan sistem keselamatan yang ketat, kemudahan gym, kolam renang dan sebagainya lagi-lagi di kawasan elit itu benar-benar “bertamadun”.

Kadang-kala mereka boleh menjadi lebih “jahil” daripada mereka kita anggap tidak berpendidikan atau tidak berwang.

Sebaik melepasi pondok pengawal, saya mendongak kepala untuk melihat balkoni rumah. Saya selalu berbuat demikian, melihat unit kecil rumah saya dari darat, semacam rasa puas. Sambil itu mata melayari beberapa rumah lain, balkoninya. Ada yang bersih dan kosong, ada yang menempatkan tiang sidai kain, ada yang menyimpan pokok dan ada pula yang menempatkan kerusi rehat.

Sambil berjalan, terlihat seorang lelaki di ruang balkoni rumahnya yang saya percaya baru selesai menyapu rumah. Ketika itu dia sedang mengangkat penyodok di atas gerigi balkoni untuk membuang sampah ke luar.

“Wah, kelihatan seperti seorang yang berpendidikan, duduk rumah kondo yang agak sederhana mahal harganya, tetapi perangai!!!!”

Sambil berjalan, saya terus memastikan pandangan saya tidak berganjak daripada lelaki pertengahan usia itu. Saya memandang tajam ke arahnya sambil memastikan dia juga melihat saya yang sedang marah ini.

Segera, pelannya gagal. Dia terus mengangkat semula penyodok dan kembalikannya ke dalam ruang balkoni sambil berasa serba salah.

Saya tidak kisah siapa dia sekalipun, saya sudah bersedia dengan telefon bimbit pintar sambil membuka aplikasi kamera untuk mengambil foto dan menghantar kepada pihak pengurusan kondominium. Ya, saya sembunyikan diri di sebalik dinding di luar lobi lift supaya lelaki tidak melihat saya.

Mungkin dia sedar atau mungkin dia tidak mahu dikaitkan dengan sebarang masalah, saya nampak dia berjalan masuk sambil mengendong penyodoknya itu.

Bayangkan apa yang dilakukan lelaki itu selama ini? Segala sampah yang bertaburan di atas jalan di tingkat bawah, sampah yang selalu dibersihkan oleh ‘cleaner’ yang bekerja di kondo itu, rupanya kerja dia..

Tetapi dia bukanlah satu-satunya ‘manusia’ yang membuang sampah.

Kalau dulu saya pernah berhadapan dengan pengalaman buruk di sebuah flat kos rendah di mana ada orang membuang sampah dari tingkat atas yang hampir mengena saya, kini di kediaman sendiri yang kononnya diduduki golongan professional pun sama sahaja.

Bukan itu sahaja, saya sering melihat putung rokok di sekitar koridor dan atas dinding serta atas tetingkap. Ada sahaja sampah seperti pembungkus gula-gula, penutup botol, straw dan lain-lain menunjukkan rakyat kita masih mempunyai masalah sivik tidak kira di mana sahaja mereka tinggal.

Saya juga pernah melihat kereta orang, macam tong sampah. Semua bungkusan makanan, resit tol dan sebagainya disimpan dalam kereta. Bila ada masa dan jumpa tong sampah mereka buat ‘spring cleaning’. Walaupun orang mengecam mereka pengotor sekurang-kurangnya golongan ini ada sivik untuk hanya membuang sampah dan tong sampah.

Tetapi ada pula segelintir lagi, bawa kereta besar, dalamnya cantik bersih, sebutir sampah pun tak nampak tetapi perangai suka buang sampah dari luar kereta termasuk ketika kenderaan itu dalam pemanduan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.