
Ketua Polis Serdang Muhamad Farid Ahmad berkata, Ammar Ariffin, 27, ditemui di dalam sebuah bilik bersama teman wanitanya di unit kondominium milik wanita itu.
“Dia ditemui oleh sepasukan polis IPD Serdang yang menjalankan pemeriksaan di lokasi itu berdasarkan maklumat yang diterima,” katanya, lapor Berita Harian.
Ammar dipercayai bersembunyi di unit kondominium itu selepas terbabit kemalangan kecil dengan kenderaan seorang pegawai tentera di Subang pada malam 22 Ogos lepas.
Selepas kemalangan itu, Ammar ‘melarikan diri’ namun kemudian berjaya dihubungi pegawai tentera itu berdasarkan nombor plat keretanya.
Terdahulu Ammar yang bertugas di Pangkalan Udara Subang dilaporkan hilang selepas menyertai kursus di Institut Latihan Pengurusan Material (Insmat) TUDM Bandar Kinrara.
Kali terakhir dia dilihat adalah ketika mandi bersama tiga rakannya di Sungai Kedondong, Batang Kali kira-kira 4.30 petang, 23 Ogos lepas.
Rakan sebilik Ammar cuba menghubunginya kira-kira 6 petang pada 24 Ogos, namun telefonnya dimatikan. Keluarganya turut tidak dapat menghubunginya sejak 24 Ogos.
Keesokan harinya, keluarganya membuat dua laporan polis. Seorang pegawai tentera udara dari Insmat turut membuat laporan selepas Ammar gagal melaporkan diri.
Muhamad Farid berkata, tiada kecederaan didapati pada badan anggota tentera udara itu, dan tiada unsur jenayah dikenal pasti dalam kejadian.
Pada masa ini, pihak polis sedang berusaha mendapatkan butiran lanjut daripada Ammar mengenai kehilangannya sebelum ini, tambahnya.