Projek kondominium beku susulan dicabar pemilik rumah warisan

Projek kondominium beku susulan dicabar pemilik rumah warisan

Lembaga Rayuan Pulau Pinang gantung kerja utama projek 27 tingkat berhampiran deretan rumah warisan sementara menunggu perbicaraan penuh.

condo penang artist
Kondominium dan pejabat 27 tingkat di Jalan Chow Thye ingin dibina berhampiran Jalan Burmah di George Town.
GEORGE TOWN:
Pasangan ekspatriat yang berjuang menyelamatkan deretan rumah warisan telah memperoleh penangguhan sementara selepas syarikat pemaju milik kerajaan negeri, PDC Properties, diarahkan menggantung kerja-kerja utama projek kondominium dan pejabat 27 tingkatnya, dekat Jalan Burmah.

Peguam pemilik rumah, Cheong Yew Sheng, berkata Lembaga Rayuan Pulau Pinang pada Jumaat memutuskan PDC hanya boleh menjalankan kerja perobohan terhad di Jalan Service dan Jalan Irrawadi.

Pemaju mesti mengekalkan zon penampan 50 kaki (kira-kira 15.24m) dari lapan rumah sebelum era perang dunia, di Jalan Chow Thye.

“Semua kerja pembinaan lain, termasuk kerja-kerja menanam cerucuk dan rancangan menempatkan semula bangunan warisan itu telah dibekukan sehingga rayuan didengar,” kata Cheong kepada FMT.

Cheong berkata, lembaga itu juga mengarahkan Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) memantau rapi proses perobohan dan mengeluarkan arahan henti kerja serta-merta sekiranya terdapat tanda-tanda struktur warisan berdekatan mungkin terjejas.

“Sekurang-kurangnya kami berjaya mendapatkan perintah penangguhan kerja-kerja menanam cerucuk dan pembinaan kondominium buat masa ini,” kata Cheong.

Kes itu difailkan pasangan British-Jerman, Louise Goss-Custard dan Thomas Schmidt, yang memiliki antara satu banglo berusia seabad, bertentangan deretan rumah warisan di Jalan Chow Thye.

Mereka berhujah projek PDC melibatkan 361 pangsapuri dan 138 suite pejabat akan memusnahkan warisan berusia seabad berkenaan.

Pengurusan kes seterusnya di hadapan lembaga rayuan ditetapkan 21 Jan depan.

Sebelum ini, PDC dan MBPP mengekalkan pendirian tapak tersebut terletak di luar zon penampan warisan Unesco, dan langkah perlindungan warisan yang mencukupi telah dimasukkan dalam kelulusan projek tersebut.

Namun, pasangan itu menegaskan penempatan semula rumah-rumah lama tersebut akan merosakkannya secara kekal, sekali gus menghapuskan sebahagian penting sejarah hidup George Town.

Projek yang menerima kelulusan perancangan pada Mac 2024, terdiri sebuah podium enam tingkat dengan menara suite pejabat 16 tingkat, dan blok kediaman 21 tingkat.

PDC berhujah penggantungan penuh adalah tidak adil memandangkan jutaan ringgit sudah dilaburkan.

Cheong berkata, anak guamnya meragui lapan bangunan warisan itu boleh dipindahkan tanpa mengalami kerosakan struktur yang teruk.

Lim En You turut mewakili pasangan berkenaan, manakala N Murelidharan dan Lai Chian Loong hadir bagi pihak PDC.

Lembaga rayuan itu dipengerusikan Amardas Jethanand, dengan Alias Abdullah dan Naveen Singh Sidhu sebagai ahli.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.