
“Sikap berdiam diri dan tidak mengecam tindakan dalam kes keganasan ke atas Tun Mahathir seolah olah merestuinya seperti Donald Trump tidak mengecam keganasan di insiden perhimpunan anti perkauman di Amerika semalam di mana seorang terbunuh,” kata Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Raja Bahrin Shah.
Katanya, sikap “berdiam diri” Datuk Seri Najib Razak sama seperti pendirian samar Trump susulan tindakan puak haluan kanan berkulit putih di Virginia, Amerika Syarikat yang menyerang sekumpulan penunjuk perasaan aman.
Semalam, kekecohan tercetus di forum “Nothing to Hide” anjuran Pemuda PPBM. Ia selepas beberapa objek dilontarkan ke pentas di mana Dr Mahathir berucap, sebelum keadaan bertukar kelam kabut dengan puluhan pemuda terlibat dalam aksi tumbuk menumbuk dan membaling kerusi.
Penganjur turut menahan 3 remaja berusia antara 17 dan 19 tahun sebelum mereka diserahkan kepada polis untuk disiasat.
Raja Bahrin berkata beliau tidak yakin dengan siasatan polis kerana serangan sebelum ini terhadap rajan sejawatnya dari Shah Alam, Khalid Samad diambil ringan, malah pesalah hanya dijatuhkan denda RM100.
“Begitu murahnya nilai keselamatan nyawa seorang wakil rakyat pembangkang.
“Soalan utama sekarang adalah berapa ratus ringgit pula nilai ancaman keselamatan nyawa ke atas seorang lagi ahli pembangkang bernama Mahathir Mohamad walaupun beliau seorang bekas perdana menteri Malaysia. Mengikut sejarah silam, keselamatan ahli pembangkang hampir tiada nilainya kepada pihak berkuasa,” kata Raja Bahrin.
November lalu, sekumpulan pemuda menyerang Khalid di luar bangunan Parlimen selepas pemimpin Amanah itu terlibat dalam perang mulut bersama wakil rakyat Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman di Dewan Rakyat. Antara kumpulan penyerang itu termasuk 2 anak Tajuddin, Faizal dan Firdaus Tajuddin.
Raja Bahrin berkata berdasarkan pengalamannya, pihak berkuasa mengambil sikap “tidak acuh” terhadap keganasan seperti itu.
“Kami pernah juga membuat aduan tentang àncaman pihak tertentu dengan ungkapan halal darah, wajib dihapuskan dan berbagai lagi dakwaan takfiri,” katanya, dipercayai merujuk kenyataan seorang mufti negeri yang mengundang reaksi keras dari pembangkang.
“Kenapa kerajaan terus membisu atas isu-isu ini seolah-olah merestui perbuatan tersebut?” soalnya.