Adun PAS ‘manfaat’ sidang DUN Perlis tangguh untuk persoal kepimpinan, kata penganalisis

Adun PAS ‘manfaat’ sidang DUN Perlis tangguh untuk persoal kepimpinan, kata penganalisis

Syaza Shukri berkata keadaan itu dijangka menyebabkan situasi politik di Perlis dijangka kekal mencabar susulan krisis penghujung tahun lalu.

Dewan Undangan Negeri DUN Perlis
Sidang DUN Perlis dijadualkan berlangsung bermula 21 hingga 23 April depan, namun Setiausahanya Mohd Anwar Sahul Hameed dalam surat rasmi mengumumkan penangguhannya tanpa tarikh baharu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Adun PAS dilihat ‘memanfaatkan’ penangguhan sidang DUN Perlis untuk terus mempersoalkan kepimpinan kerajaan negeri, kata penganalisis.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata keadaan itu dijangka menyebabkan situasi politik di Perlis dijangka kekal mencabar yang bermula dari peralihan pimpinan daripada PAS kepada Bersatu pada penghujung tahun lalu.

Syaza Shukri.
Syaza Shukri.

“Perang dingin di Perlis dilihat masih belum berakhir walaupun PAS sebelum ini menyatakan penerimaan terhadap kepimpinan baharu.

“Saya jangka Adun PAS akan terus menggunakan sebarang peluang mempersoalkan, malah mungkin mencabar legitimasi kepimpinan Bersatu di negeri itu,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas gesaan enam Adun PAS yang penjelasan Menteri Besar Abu Bakar Hamzah berhubung penangguhan persidangan DUN secara mengejut yang didakwa tanpa sebarang alasan munasabah.

Sidang DUN Perlis dijadualkan berlangsung bermula 21 hingga 23 April depan, namun Setiausahanya Mohd Anwar Sahul Hameed dalam surat rasmi mengumumkan penangguhannya tanpa tarikh baharu.

Abu Bakar berkata tarikh baharu sidang DUN akan diumumkan minggu depan sambil menjelaskan perkara itu perlu dibincangkan terlebih dahulu di peringkat pentadbiran sebelum sebarang keputusan muktamad.

Sidang DUN itu sepatutnya menjadi yang pertama sejak krisis politik Perikatan Nasional (PN) Perlis Disember lalu yang menyaksikan Adun Sanglang Shukri Ramli dari PAS meletak jawatan dan diganti dengan Abu Bakar dari Bersatu.

Shukri memberi alasan kesihatan namun sebelum itu lapan Adun PN termasuk tiga dari PAS dikatakan menyerahkan akuan berkanun dengan tidak lagi menyokong beliau sebagai menteri besar.

Susulan perkembangan itu, Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengumumkan keahlian Saad Seman (Chuping), Anwar Ismail (Bintong) dan Ridzuan Hashim (Guar Sanji) terhenti.

Zaharuddin Sani Ahmad Sabri
Zaharuddin Sani Ahmad Sabri.

Penganalisis dari Global Asia Consulting Ahmad Zaharuddin Sani Ahmad Sabri pula berkata pendirian enam Adun PAS itu menguatkan tanggapan perbezaan antara PAS dan Bersatu dalam PN di Perlis masih belum berakhir.

“Bantahan enam Adun PAS termasuk bekas menteri besar menguatkan ‘perang dingin’ dalam PN masih berlarutan… krisis dalaman belum selesai.

“Ini akan menimbulkan persoalan rakyat,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.