Baling batu dari tingkat 13, polis rakam keterangan remaja

Baling batu dari tingkat 13, polis rakam keterangan remaja

Remaja berusia 13 tahun hadir ke balai polis bersama ibu bapa selepas kejadian tular di media sosial.

Mohd Rosdi Daud
Ketua Polis Cheras, Rosdi Daud, kata polis merakam keterangan seorang remaja selepas tular kejadian baling batu dari tingkat 13 sebuah PPR. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Polis merakam keterangan seorang remaja lelaki yang dipercayai membaling seketul batu dari tingkat 13 sebuah blok PPR di Taman Desa Petaling, semalam.

Ketua Polis Cheras, Rosdi Daud, berkata remaja tempatan berusia 13 tahun itu hadir ke balai polis bersama ibu bapa bagi membantu siasatan selepas kejadian tular di media sosial.

“Siasatan awal mendapati remaja lelaki dipercayai membaling batu dan kerusi plastik ke bawah blok tersebut sehingga menimbulkan kegusaran serta kebimbangan penduduk setempat,” menurut kenyataan.

Tiada sebarang kecederaan berlaku dalam kejadian itu.

Dalam kes berasingan, polis menahan seorang lelaki warga asing yang melarikan diri daripada sekatan jalan raya di Pekan Sungai Besi, Selasa lepas.

Kejadian berlaku pada 6.23 pagi apabila kereta dinaiki tiga lelaki bertindak memecut selepas diarahkan untuk berhenti oleh anggota bertugas di Jalan Suasa 6, Sungai Besi.

“Semasa meloloskan diri, kenderaan suspek melanggar dua kenderaan orang awam di kawasan perumahan sebelum dipintas unit rondaan Balai Polis Sungai Besi dengan bantuan kereta peronda di kawasan Kampung Pandan, Ampang,” katanya.

Pemeriksaan mendapati suspek warga Indonesia berusia 53 tahun itu tidak mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah serta tiada lesen memandu. Usaha mengesan dua lagi rakan giat dijalankan.

Suspek direman 14 hari bermula Selasa lepas bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.