Serang wanita buat ‘live’, 3 individu ditahan bantu siasatan

Serang wanita buat ‘live’, 3 individu ditahan bantu siasatan

Salah seorang suspek dikatakan memukul muka, kepala dan badan mangsa sehingga menyebabkan kecederaan ketika mangsa membuat siaran langsung di media sosial.

Tangkap layar video tular menunjukkan seorang wanita diserang ketika sedang membuat siaran langsung di media sosial.
PETALING JAYA:
Tiga individu ditahan polis berhubung kes seorang wanita diserang ketika sedang membuat siaran langsung di media sosial dalam keretanya, dalam kejadian di Sungai Petani semalam.

Ketua Polis Kuala Muda, Hanyan Ramlan, berkata kejadian berlaku kira-kira 5.02 petang apabila mangsa dikatakan diserang suspek yang menaiki sebuah Toyota Vellfire di hadapan sebuah rumah kawasan terbabit.

“Sebuah kereta yang dinaiki empat individu dikatakan menghampiri mangsa yang berada di dalam kereta.

“Seorang suspek bertindak memukul muka, kepala dan badan mangsa sehingga menyebabkan kecederaan.

“Kami menahan seorang lelaki berusia 30 tahun dan seorang wanita berusia 29 tahun untuk membantu siasatan. Kes disiasat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 427 Kanun Keseksaan,” katanya, lapor Bernama.

Tambahnya, mangsa yang juga wanita berusia 28 tahun turut ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 448 Kanun Keseksaan.

“Semua suspek ditahan tengah malam tadi di sekitar daerah itu,” katanya.

Terdahulu, tular rakaman menunjukkan seorang wanita yang sedang membuat siaran langsung di media sosial, diserang dan dipukul wanita lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.