SKMM siasat individu hina kerabat Terengganu

SKMM siasat individu hina kerabat Terengganu

Seorang individu disiasat susulan hantaran berserta mengancam dan jelik melampau dibuat di X.

mcmc enforcement
SKMM berkata, kandungan dimuat naik didapati menyentuh sensitiviti institusi diraja dan mengandungi unsur penghinaan. (Gambar SKMM)
PETALING JAYA:
Seorang individu disiasat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) kerana dipercayai memuat naik kandungan bersifat mengancam, menghina, dan jelik melampau terhadap kerabat diraja Terengganu menerusi akaun peribadinya di X.

Dalam kenyataan, SKMM memaklumkan kandungan itu didapati menyentuh sensitiviti institusi diraja dan mengandungi unsur penghinaan serta ancaman berpotensi mencetuskan kebencian, ketegangan awam, dan gangguan terhadap ketenteraman negara.

“Bagi membantu siasatan, individu berkenaan telah dipanggil untuk sesi rakaman percakapan yang dijalankan di Balai Polis Lanchang semalam,” menurut kenyataan itu.

SKMM berkata, seunit telefon bimbit berserta kad sim telah disita bagi tujuan analisis forensik digital, manakala kes disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, membawa hukuman maksimum penjara dua tahun atau denda RM500,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

SKMM menegaskan tidak akan berkompromi terhadap sebarang penyalahgunaan media sosial yang mengandungi unsur ancaman, hasutan kebencian atau penghinaan terhadap institusi diraja.

Orang ramai diingatkan agar tidak menyalahgunakan platform digital untuk menyebarkan kandungan menyalahi undang-undang.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.