SKMM teroka ‘langkah undang-undang’ kawal aplikasi janji temu sejenis

SKMM teroka ‘langkah undang-undang’ kawal aplikasi janji temu sejenis

Kementerian Komunikasi berkata SKMM telah menyekat laman web Grindr dan Blued.

handphone
Kementerian komunikasi berkata pengawasan terhadap gedung aplikasi tertakluk kepada dasar yang ditetapkan oleh penyedia platform sendiri. (Gambar Freepik)
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang mengkaji langkah undang-undang bagi menangani kebimbangan berkaitan penggunaan aplikasi janji temu sejenis, kata Kementerian Komunikasi.

Kementerian itu berkata setakat ini SKMM belum menerima sebarang permintaan mengeluarkan Grindr, Blued dan Growlr daripada gedung aplikasi.

namun telah menyekat laman web Grindr dan Blued.

“Bagaimanapun, SKMM kini sedang meneliti beberapa langkah undang-undang untuk membendung aplikasi ini,” katanya dalam jawapan bertulis Parlimen kepada Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap).

Nurul Amin bertanya sama ada SKMM telah bekerjasama dengan penyedia gedung aplikasi untuk menyekat muat turun aplikasi sedemikian.

Grindr, Blued dan Growlr digunakan secara meluas untuk janji temu sejenis dan rangkaian sosial.

Di beberapa negara, termasuk China, Arab Saudi, Qatar dan Emiriah Arab Bersatu, aplikasi itu telah dikeluarkan daripada gedung aplikasi rasmi atau disekat.

Kementerian Komunikasi berkata kawalan terhadap aplikasi di platform seperti Google Play dan Apple App Store tertakluk kepada dasar ditetapkan oleh penyedia masing-masing, iaitu syarikat asing beroperasi di luar Malaysia.

“Namun, SKMM kekal komited untuk melakukan pemantauan secara proaktif bagi memastikan persekitaran internet tempatan bebas daripada kandungan yang melanggar undang-undang,” katanya.

“Jika mana-mana aplikasi, termasuk aplikasi janji temu, didapati digunakan untuk menyebarkan kandungan terlarang atau menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang, SKMM akan mengambil tindakan,” katanya.

Tindakan itu boleh merangkumi permintaan untuk menurunkan kandungan daripada platform, menyekat akses, atau merujuk kes kepada agensi penguatkuasaan seperti polis untuk siasatan lanjut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.