
Ketua Penerangan Bersatu, Tun Faisal Ismail Aziz, berkata parti telah mengenal pasti individu bertanggungjawab memuat naik hantaran itu.
“Individu berkenaan merupakan salah seorang pentadbir halaman dan mempunyai kaitan dengan seorang pemimpin Bersatu yang telah dipecat daripada jawatan semalam,” katanya dalam hantaran di Facebook.
Beliau turut memaklumkan laporan telah dibuat kepada Meta, syarikat induk Facebook bagi pemulihan segera akses halaman rasmi parti, selain Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).
“Satu laporan polis juga telah dibuat untuk siasatan jenayah,” katanya sambil menambah Bersatu memandang serius perkara ini kerana membabitkan pencerobohan akses digital dan penyalahgunaan platform komunikasi rasmi parti yang boleh mengelirukan ahli serta orang ramai.
“Bersatu menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan menyeluruh dan mengambil tindakan tegas terhadap individu terlibat.”
Semalam, 17 pemimpin Bersatu dilaporkan dipecat parti, termasuk Hamzah, yang juga timbalan presiden.
Kemudian, laman Facebook rasmi parti memuat naik beberapa hantaran memperlekeh Presidennya, Muhyiddin Yassin, termasuk mempersoalkan ketiadaannya dalam gambar Hamzah bersama beberapa pemimpin PAS di Masjid Rusila, Terengganu serta beberapa hantaran lain mendesak Muhyiddin meletak jawatan.
Laman itu turut memuat naik gambar Hamzah dengan tulisan “Solid 2/3 (sokongan) daripada bahagian”, berserta kapsyen “Reset. No fear, no regret”.