
SKMM memaklumkan prosiding jenayah di Thailand tersebut berpunca daripada empat artikel dalam talian yang mengelirukan dan tidak tepat mengenainya, yang diterbitkan ketika Hunter menetap di negara berkenaan.
SKMM menyatakan kes fitnah jenayah di Thailand tersebut dimulakan oleh pihak berkuasa Thailand, selaras kerangka undang-undang domestik dan tatacara negara itu.
SKMM berkata pihaknya dan Hunter mencapai suatu penyelesaian di Mahkamah Jenayah Bangkok Selatan selepas beberapa sesi pengantaraan.
Selepas perjanjian penyelesaian ditandatangani, SKMM memaklumkan mahkamah mengenai keputusan menarik balik laporan yang dibuat berkaitan kes tersebut.
Sebelum ini, SKMM membuat laporan polis di Malaysia dan Thailand berhubung empat penerbitan tersebut, mendakwa ia mengandungi tuduhan serius dan tidak berasas yang telah mengelirukan orang awam serta menjejaskan reputasinya.
SKMM menjelaskan ia terpaksa mengambil tindakan undang-undang kerana penerbitan berkenaan berpotensi menjejaskan integritinya dan menghakis keyakinan orang awam terhadap tugas statutorinya.
Sementara itu, SKMM memaklumkan pihaknya juga telah menyelesaikan saman fitnah sivil di Malaysia melibatkan 13 artikel yang didakwa memfitnah melalui perintah persetujuan bertarikh 4 Feb.
SKMM menyatakan kedua-dua kes jenayah di Thailand dan saman sivil di Malaysia dianggap selesai, tertakluk pada kepatuhan Hunter terhadap syarat-syarat perjanjian penyelesaian dan perintah persetujuan tersebut.
Warga Australia itu, yang pernah menetap di Malaysia, kini menetap di Thailand. Beliau dikenali menerusi penulisan kritis mengenai politik Malaysia.