Prestasi makin baik, Anwar bimbang jika ada usaha lemahkan negara

Prestasi makin baik, Anwar bimbang jika ada usaha lemahkan negara

Perdana menteri berkata mungkin ada pihak cemburu dengam pencapaian Malaysia.

kl skyline
Malaysia merekodkan prestasi baik termasuk pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang memberi perkembangan positif ekonomi. (Gambar Envato Elements)
PUTRAJAYA:
Perdana Menteri Anwar Ibrahim bimbang jika wujud usaha tertentu untuk melemahkan dan mengkhianati prestasi negara yang menurutnya kini pada landasan positif serta peningkatan membanggakan.
Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim.

Anwar berkata pencapaian itu menimbulkan rasa cemburu pihak tertentu termasuk dari dalam dan luar negara yang tidak dapat menerima hakikat Malaysia sedang mencatat kemajuan dalam pelbagai aspek.

“Saya bimbang kalau-kalau ada usaha melemah dan mengkhianati.

“Banyak yang cemburu dari dalam dan luar negara, tidak boleh terima kenyataan kita sedang meningkat baik,” katanya berucap pertemuan bersama warga Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Ihya Ramadan.

Antara peningkatan baik direkodkan termasuk pengukuhan nilai ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) yang memberi perkembangan positif ekonomi sekali gus memberi manfaat langsung kepada rakyat dan sektor perniagaan serta pelaburan negara.

Ketika Anwar mula mentadbir, nilai ringgit pernah berada sekitar RM4.50 berbanding dolar AS sebelum mengukuh ke paras kira-kira RM3.89 ketika ini.

Bagi mengekalkan kedudukan itu, Anwar berkata KDN perlu memainkan peranan untuk memastikan kestabilan serta keselamatan terus terjamin.

Beliau turut mengingatkan semua pihak untuk sentiasa bersedia menerima reformasi dan perubahan sebagai satu kewajipan demi menambah baik prestasi serta membawa negara ke tahap lebih tinggi.

“Terimalah kenyataan reformasi dan perubahan satu kewajipan yang kita harus kerjakan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.