Sekolah boleh tentu aktiviti, pakaian murid ketika cuaca panas

Sekolah boleh tentu aktiviti, pakaian murid ketika cuaca panas

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek mohon pentadbir sekolah ikut garis panduan diberikan dari semasa ke semasa.

murid lintas jalan lalu
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek menyeru pentadbir sekolah sentiasa peka perubahan cuaca dan mengambil langkah proaktif memastikan persekitaran pembelajaran selamat serta kondusif, walaupun berdepan cuaca luar jangka. (Gambar Fail)
NIBONG TEBAL:
Kementerian Pendidikan (KPM) prihatin terhadap kebajikan, kesihatan dan keselamatan murid, guru serta warga sekolah ketika berdepan situasi cuaca, termasuk cuaca panas ketika ini, khususnya di utara negara.

Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata pentadbir sekolah diberi autonomi membuat keputusan dalam menguruskan aktiviti dan operasi ketika cuaca panas, termasuk pakaian sukan menggantikan uniform sekolah.

“Perkara ini sudah kita ulang, ingatkan setiap kali cuaca panas bahawa kita ada garis panduan dan nasihat daripada Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) serta Kementerian Kesihatan (KKM). Jadi, saya mohon semua pentadbir sekolah mengikut garis panduan yang diberikan dari semasa ke semasa.

“Keadaan tersebut boleh diuruskan melalui garis panduan itu yang (antara lain) membenarkan dari segi pakaian dan aktiviti dalam cuaca panas,” katanya selepas merasmikan Program dan Semarak Sejahtera Warga Emas Pusat Aktiviti Warga Emas di Jalan Sungai Acheh di sini.

Hadir sama Ketua Pengarah Jabatan Kebajikan Malaysia, Che Murad Sayang Ramjan.

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata, garis panduan itu merangkumi aspek pemakaian, termasuk kebenaran membuat penyesuaian seperti penggunaan pakaian sukan dan pengurusan aktiviti fizikal murid bergantung kepada tahap cuaca semasa.

“Pihak pentadbir sekolah mempunyai ruang untuk melihat keadaan dari semasa ke semasa dan membuat keputusan sesuai demi kebajikan murid dan guru, asalkan berpandukan nasihat MetMalaysia dan KKM.”

Beliau menyeru pentadbir sekolah sentiasa peka terhadap perubahan cuaca dan mengambil langkah proaktif bagi memastikan persekitaran pembelajaran selamat serta kondusif, walaupun berdepan cuaca luar jangka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.