
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata operasi berterusan dijalankan bagi mengesan kes warga asing menjalankan perniagaan dengan menggunakan lesen rakan tempatan walaupun mereka tidak mempunyai pas kerja atau perniagaan yang sah.
“Mereka mungkin ada rakan niaga tempatan atau pemodal, tetapi jika masuk menggunakan pas sosial dan menjalankan perniagaan, itu tetap menyalahi undang-undang dan tindakan akan diambil,” katanya di majlis perhimpunan bulanan Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Saifuddin turut mendedahkan hasil operasi di Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) mendapati sebanyak 81 unit chalet diusahakan oleh warga asing melalui model kerjasama dengan rakan tempatan, sekali gus menjejaskan usahawan tempatan yang mematuhi peraturan.
Beliau berkata pembinaan kemudahan pelancongan berskala besar sepatutnya dikesan lebih awal oleh pihak berkuasa tempatan, memandangkan ia bukan dibangunkan dalam tempoh singkat.
“Kita akan teruskan siasatan termasuk melibatkan ejen pelancongan dan pihak berkaitan bagi mengenal pasti punca serta pelaku,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas saranan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim supaya tindakan penguatkuasaan tegas diambil terhadap warga asing yang menyalahgunakan pas lawatan sosial atau kelonggaran visa, untuk bekerja di Malaysia.
Mengulas lanjut, Saifuddin berkata isu itu dibincangkan beberapa kali dalam Jemaah Menteri dan tindakan penguatkuasaan oleh KDN melalui agensi berkaitan akan terus dipertingkatkan.
“Dalam penguatkuasaan, kita gunakan beberapa akta termasuk Akta Imigresen, melibatkan kes masuk tanpa melalui pintu rasmi, salah guna pas sosial, serta dia patut keluar tetapi tak keluar iaitu terlebih tinggal,” katanya.