Saifuddin pertahan berkas remaja bawah Sosma

Saifuddin pertahan berkas remaja bawah Sosma

Menteri KDN berkata, gadis 16 tahun itu saksi penting dalam kes seludup migran.

Saifuddin Nasution
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail berkata, remaja terbabit berada di tempat duduk penumpang kenderaan ketika bapanya yang didakwa terlibat dalam penyeludupan migran ditangkap. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail mempertahankan penahanan seorang gadis berusia 16 tahun di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma), menyatakan remaja itu diperlukan bagi membantu siasatan kes penyeludupan migran rentas sempadan yang kompleks.

Beliau berkata, remaja itu berada di tempat duduk penumpang kenderaan ketika bapanya ditangkap.

“Dan bapanya … memang itu pekerjaannya (sebagai pengangkut). Jadi, anaknya berusia 16 tahun ini tentunya saksi penting dalam siasatan kita,” katanya dalam Dewan Rakyat ketika menggulung perbahasan Titah Diraja.

Saifuddin seterusnya memaklumkan bahawa remaja itu ditahan selama sembilan hari.

Beliau juga berkata, remaja itu ditahan mengikut Seksyen 4 Sosma bagi membantu siasatan berhubung penyeludupan migran, yang disifatkannya sebagai jenayah rentas sempadan yang serius.

Menurut Saifuddin, polis sedang menyiasat penyeludupan migran dari Myanmar ke Malaysia melalui sempadan Thailand ketika ‘pengangkut’ tersebut ditangkap.

Ramkarpal Singh (PH–Bukit Gelugor) kemudian bertanya sama ada kerajaan akan mengenakan moratorium sementara terhadap Sosma sementara menunggu pindaan dibentangkan.

Saifuddin menjelaskan bahawa tiada moratorium akan dilaksanakan buat masa ini.

Bagaimanapun, katanya, Jemaah Menteri telah memberi lampu hijau kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) untuk mengusahakan pindaan Sosma dan pihaknya akan mengadakan libat urus dengan pihak berkepentingan dalam masa terdekat.

Tambahnya, pihaknya menyasarkan untuk membentangkan pindaan tersebut apabila Parlimen bersidang pada Julai atau Ogos.

Saifuddin berkata, antara aspek Sosma yang paling banyak dikritik adalah tahanan tidak dibenarkan ikat jamin serta prosiding yang mengambil masa terlalu lama.

Katanya, kerajaan sedang meneliti pengelasan kesalahan mengikut tahap keseriusan dan menyegerakan pengendalian kes.

Mahkamah khas juga sedang dipertimbangkan untuk mendengar kes-kes Sosma memandangkan tempoh kes sedemikian yang berlarutan, tambahnya.

Penahanan remaja itu di bawah Sosma menarik perhatian umum selepas FMT melaporkan rayuan ibunya agar remaja itu dibebaskan.

Dia ditahan pada sekatan jalan raya berhampiran plaza tol Jitra, Kedah.

Wanita itu mendakwa polis menahan kenderaan yang dinaiki anaknya atas alasan ia digunakan untuk menyeludup migran.

Selain remaja itu, bapanya dan individu lain yang berada di dalam kereta itu turut ditahan.

Ketika ditahan seminggu, remaja itu dilaporkan muntah-muntah dan mengalami alahan kulit.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.